Wednesday, November 26, 2008

Pedusi Sahmura

Sebuah kisah yang telah lama berada di dalam ‘inbox’ e-mail sejak 2002. Moga dapat dijadikan ikhtibar... please dont ask apa makna pedusi sahmura tu sebab teman pun tak tahu.. Tapi rasanya lebih kurang isteri la kot. Happy reading..
-----------------------------------------------
Saya lelaki. Pesan ibu, insan bernama lelaki pantang menangis. Insan bergelar lelaki tidak boleh menitiskan air mata. Insan berjenama lelaki, bukan lelaki jika dia tumpahkan permata jernih dari birai matanya. Pesan ibu saya ingat, pesan ibu kukuh teguh terbuku-terpaku di ruyung minda saya. 40 tahun bertapa di kepala, pesan ibu hari ini saya ingkar. Pesan ibu hari ini saya lupa. Pesan dari seorang insan bergelar wanita tidak saya gubriskan, juga kerana seorang insan yang berkerudung dibawah nama wanita.

Saya sudah lama tidak ketemu dia. Kali terakhir kami berutusan berita 20 tahun lalu. Kala itu warkah biru masih lagi menjadi pilihan. Dia rafiq terakrab saya. Sahabat yang saya kira terunggul. Taulan yang tidak keterlaluan saya katakan, diantara bebintang yang bergentayangan di langit hitam pekat, dialah satu-satunya bulan yang bersinar.

Saya sibuk menyiapkan disertasi saya tika monitor komputer saya disinggahi ikon kecil berupa surat. Tetikus pantas saya gerakkan ke ikon yang jarang-jarang saya terima itu. Sekali tekan, surat elektronik yang hadir dari pengutus yang tidak saya ketahui asal-usulnya terpampang menjamu diagonar mata.

Malaysia
3 Oktober 2002

Haziq,


Salam buat rafikku yang aku kira kala ini sibuk dengan tuntutan hidup yang sentiasa menggigit. Maaf, aku muncul tiba-tiba setelah lama menyepi diri. Aku sebenarnya ketandusan kata-kata. Aku sesungguhnya tidak tahu bagaimana harus aku lakarkan agar engkau tahu duka-lara hatiku. Sekuat gegar rusuh anak bumi Jakarta mengamuk kerana Suharto dibebaskan dari tuduhannya, sekuat itu jugalah gegar hatiku dibumi leluhur ini. 

Maruah wanita sentiasa berkapuh dikaki lelaki, kata orang. Aku pernah bersumpah akan sentiasa berpegang dengan kata-kata itu tapi metah, sumpah aku terlerai akhirnya. Aku persis bulan yang merayu pungguk. Aku juga jadi seperti Megat Panji Alam yang merindui Tejanya. Derita Megat dan seksa aku sama. Duka kami serupa. Cuma, pencarian aku ini tidak akan ada hentinya kerana aku tahu, aku hanya mengejar bayang-bayang semalam. Aku terlalu merindui dia, Haziq!
 
Mukadimah warkah yang tidak saya undang itu menjemput tanda tanya bertamu disanggar hati. Kenapa dia jadi begitu? Mengapa dia jadi perindu setia? Hati saya turut merusuh bersama-sama dengan bait-bait perutusan yang saya jelajah-jamah seterusnya.

Haziq,
 
Dahlia Bukvic gadis Kosovo. Aku mula mengenalinya di kampus Universiti Islam Antarabangsa ketika bumi leluhurnya gegak-gempita digegar hujan peluru, ketika tanah kelahirannya dentum-dentam dimamah-ratah letupan. Dahlia pelajar fakultiku. Dia pelajar cemerlang walaupun dalam resah mengenangkan kaum keluarga di bumi Kosovo yang diancam pembersihan etnik askar Serbia.

Dahlia tidak mudah didekati. Tidak ada ruang untuk aku menghampirinya buat sekian lama hinggalah ke suatu tarikh keramat. Kerajaan Malaysia mengusulkan mengumpulkan dana untuk mangsa Kosovo. Aku menghulur bantuan dan detik itulah aku berjaya menghadirkan diri dalam hidupnya.

Kami kahwin selepas itu walaupun bonda Syarifah menghalang. Cinta aku pada Dahlia teguh-utuh biarpun bonda sering menimbulkan onar. Kata bonda, Dahlia bukan anak bangsawan Melayu seperti kami justeru itu dia tidak layak menjadi sebahagian dari kaum keluargaku. Bonda tidak rela keturunannya berumbut-berumbi asing.

Persoalan yang singgah diendokarp minda saya kian terjawab. Saya mula mengerti gejolak hati dia. Saya mula faham susur-galur kisah dia. Namun debar saya kian berganda bila saya terus meluncuri batas-batas warkah dia selanjutnya.

Lima tahun usia perkahwinan kami, kami masih berdua. Kasihku pada Dahlia mula tergugat. Aku kepingin anak yang bisa panggil aku ayah! Mungkin ini balasan kerana mengingkari titah bonda. Aku jadi keliru. Dahlia tenang. Dia sentiasa tenang. Tika mendapat perkhabaran buruk tentang keluarganya di Kosovo dulu pun, dia tetap tenang.

Aku jadi kalut. Aku jadi tidak sabar. Aku jadi bingung dengan kesabarannya. Bonda pula kian mendesak-mengasak. Bara mula berasap. Bonda pula menyiram petrol. Tahap kesabaran aku mula teruji. Api kemarahan aku marak menjulang. Termakan dengan kata-kata bonda yang Dahlia mandul, cinta aku mula beralih arah. Sarah pilihan bonda aku terima. Dan Dahlia tetap setia dengan aku. Sungguh aku tidak mengerti wanita itu, Haziq. Sabarnya tidak ada penghujung! Haziq.
 
Aku mula abaikan Dahlia. Tambahan pula, setelah dua bulan berkongsi kasih dengan Sarah. Dia mengandung. Dahlia, jarang sekali aku jenguk. Mual rasanya aku bila memandang wajahnya. Aku jadi begitu tidak sabar dengannya. Semua yang dilakukan serba tidak kena dimataku. Percaya atau tidak, 

Haziq, aku pernah menjirus tangannya dengan air teh yang panas berasap cuma kerana dia terlewat membawakan air itu padaku! Ranting tubuhnya, aku kira sudah lali dengan sepak terajangku. Pernah dia tersungkur kelantai terkena penanganku suatu hari itu, Haziq. Darah merah pekat berhamburan dari kepalanya yang terhantuk dibucu meja, tapi aku bangga melangkah keluar meninggalkan dia menanggung kesakitan sendirian.
 
Sembilan bulan Sarah mengandung, sembilan bulan jugalah Dahlia tidak ku pedulikan. Nafkah zahir batinnya aku tidak pernah ambil peduli. Aku kira lara dia makin bertambah selepas kelahiran Zaireen Zalikha, anak aku dan Sarah. Dahlia sudah tidak ada dalam kamus hidupku!
 
Rasa kesal tiba-tiba sahaja datang bertamu. Saya jadi bingung. Mengapa begitu mudah kasih terhenti? Kenapa begitu senang cinta mati? Dia bukan lagi rafik yang pernah suatu ketika dulu saya kagumi.

Haziq,
Aku kira kau tahu kisah Masyitah penyisir rambut puteri Firaun. Masitah dan keluarganya, Firaun rebus didalam kawah menggelegak kerana tidak mengakui kebesarannya. Apapun seksaan Firaun, Masitah tetap sabar. Dahlia juga sesabar itu, Haziq. Hatinya turut kurebus dengan kata nista tapi sungguh, dia tidak pernah melawan. Dia tidak jadi seperti ayam yang berketak bila dimarahi manusia. Dia umpama rumput dilaman yang boleh aku pijak sesuka hatiku.

 
Allah itu Maha Kaya. Itu ketentuan yang tidak dapat aku sangkalkan. Sarah berubah selepas melahirkan anak kami. Dia abaikan aku. Dia abaikan Zaireen Zalikha. Kata Sarah, dia tidak betah menjadi ibu. Potongan badan dia yang menggiurkan dulu telah rosak kerana mengandungkan Zaireen Zalikha, katanya. Dia kesal kerana hamil. Dan yang sungguh menghancurkan hatiku, katanya dia kesal kerana berkahwin denganku! 
 
Anak kami terbiar, Haziq. Bonda mahukan cucu lelaki penyambung zuriat. Penyambung darah bangsawan kami tapi anak aku perempuan. Sarah tinggalkan aku bersama-sama Zalikha yang masih lagi menyusu. Bonda pula tidak mahu ambil tahu. Tahukah engkau betapa rusuh hatiku tika itu, Haziq? 
 
Saya sebak. Sebak mengenangkan betapa agungnya kuasa Tuhan. Allah tidak pernah mungkir janji pada umat ciptaan-Nya. Yang baik dibalas baik. yang buruk mendapat pembalasan setimpal. Dalam memelihara ego seorang lelaki, saya terpaksa akur, dia wajar menerima pembalasan seperti itu dari Allah. 
 
Haziq,

Aku terpaksa menjilat nanah yang aku cipta sendiri selepas peninggalan Sarah. Aku ketemu Dahlia. Zalikha perlukan seorang ibu. Zalikha perlukan perhatian. Aku rela sembah Dahlia tika itu, Haziq, kalau-kalau dia tidak mahu mengambil Zalikha. Dia tidak menolak. Aku bertambah terpukul dengan keadaan. Mengapa semurni itu hati dia, Haziq? Zalikha lena dalam dakapan dia. Dan engkau tahu Haziq, sememangnya Allah itu sungguh Pengasih. Zalikha kehilangan ibu. Paling mengharukan aku, Zalikha bisa membesar dari sumur Dahlia! 

 
Dahlia tidak pernah hamil. Dia tidak pernah mengandung. Mana mungkin ada susu tapi itulah kebesaran Ilahi. Aku langgar sumpah kita Haziq. Lelaki tidak seharusnya menangis. Tatkala melihat detik itu, permata jernih ini turun tidak berhenti-henti. Jendela mataku berlangsir hujan! Saya seakan tidak percaya membaca zarah-zarah tulisannya itu. Besar kuasa-Nya.
 
Dada saya berombak menahan sebak.
 
Kami hidup bahagia selepas itu Haziq. Sarah telah kulepaskan secara baik. Bonda Syarifah akur dengan keputusan aku. Dia lebih banyak diam sejak Sarah tinggalkan aku. Mungkin malu dengan Dahlia. Hari-hari yang kami lalui selepas itu cukup manis. Zalikha membesar dengan kasih sayang Dahlia. 
 
Haziq! waktu yang berlalu terasa begitu pantas. Usia perkahwinan kami masuk ke tahun yang ke-20. Zalikha sudah jauh besar. Dia ke Australia menyambung pelajarannya. Aku sibuk dengan perniagaanku. Dahlia tidak pernah merungut. Dia isteri setia, Haziq. Setiap hari, pulang dari kerja, makanan akan sentiasa siap terhidang. Aku jadi selesa dengan keadaan itu. Dan mungkin kerana itulah aku take things for granted! Hanya bila ada keperluan kami bercakap. Bukan aku tidak menyayanginya, Haziq. Cuma aku kira dia cukup tahu kasih sayangku padanya walaupun tidak kuucapkan. 
 
Satu hari, Dahlia mengadu padaku. ada ketulan di payu daranya. Kulit disekitarnya juga berkerut-kedut dan lebih merisaukannya, adalah lelehan darah yang keluar disamping rasa sakit. Aku terlalu sibuk dengan urusan perniagaanku hinggakan permintaannya untuk menjalani pemeriksaan terbiar begitu sahaja. Aku terlupa tanggungjawabku padanya dalam kesibukan aku mengejar keuntungan.
 
Dedaun masa yang telah gugur tidak akan dapat dilekatkan semula pada pohon kehidupan. Itulah yang aku pelajari beberapa bulan selepas itu, Haziq. Dahlia pengsan. Menangis hingga kering segala air dalam badan pun tak akan dapat mengubah ketentuan Ilahi, Haziq.
 
Dahlia menghidap barah payudara. Mengapa tidak aku terfikir apa yang diberitahunya itu adalah simptom penyakit maut itu? Menurut doktor, barah payu dara adalah pembunuh utama wanita diMalaysia. Pesakit yang datang awal untuk membuat pemeriksaan biasanya mempunyai harapan yang tinggi untuk sembuh. Malangnya Dahlia sudah diperingkat kritikal. Dahlia dibedah segera. Sumur yang pernah menghilangkan dahaga Zalikha terpaksa dibuang kedua-duanya.

 
Aku rasa sungguh bersalah pada Dahlia. Kalaulah aku tidak terlalu menurut sibukku, sudah tentu barah Dahlia tidak separah ini. Tika itu, baru aku sedar betapa susahnya menjadi seorang isteri. Aku ambil alih tugas dirumah kala Dahlia terlantar di hospital.

Rumahku tak ubah seperti tong sampah yang terbarai dipunggah kucing liar! Semuanya serba tidak kena. Kain baju yang tidak basuh bertaburan. Pinggan mangkuk bersusun di dalam sink. Aku terpaksa belajar membahagikan masa menjenguk Dahlia dan mengemas rumah. Hanya Tuhan sahaja yang mengerti hatiku tika itu, Haziq. Baru aku sedar, betapa selama ini, insan yang bergelar isteri itu memikultanggungjawab yang sungguh berat.
 
Aku ikhlas mengaku Haziq, jika aku diberi pilihan, aku lebih rela mengambil tempat Dahlia menanggung sakitnya daripada menanggung tanggungjawabnya sebagai seorang isteri! Kesihatan Dahlia semakin menyusut. Aku diburu rasa menyesal yang tidak berkesudahan. Kata doktor, barah Dahlia sudah mengakar ke tulang belakangnya. Barah penyakit perjalanan sehala. Tidak ada perjalanan pulang. Tiketnya menuju ke satu destinasi sahaja. Mati!

Satu hari, Dahlia memanggilku. Suaranya lemah sekali. Tidak seperti hari-hari sebelumnya. Aku jadi kaget Haziq. Tiba-tiba sahaja aku begitu takut kehilangannya, walaupun aku telah ketahui saat seperti ini akan tiba, aku seakan tidak mahu menerima kenyataan itu. 
 
Wajah Dahlia tenang. Dia cuba menguntum senyuman yang aku kira terukir dalam kesakitan yang teramat sangat. Kepalanya kuriba, Haziq. Tuhanku, tika ku elus rambutnya yang sudah kehilangan seri itu, satu-persatu rambutnya gugur. Lebih mengguris hatiku Haziq, ada parut panjang dikulit kepalanya. Parut luka Dahlia yang terhantuk dibucu meja satu ketika dahulu masih bersisa! Aku tidak dapat menahan sebakku. Betapa berdosanya aku! 
 
Dahlia semakin lemah. ada air mata tergenang dibibir matanya. Jendela mataku sudah tidak mampu kubendung lagi. Dahlia pohon agar aku halalkan segala makan minumnya. Juga, dia pohon padaku, halalkan air susunya membesarkan Zalikha walaupun dia bukan ibu kandung Zaireen Zalikha. Dia pohon ampun dariku kerana tidak mampu mengurniakan anak yang dikandung dalam rahimnya sendiri. Haziq. Tangannya kupegang erat. Aku tidak rela melepaskannya pergi.
 
Bersama-sama hari yang baru mendaki dhuha serta diiringi kalimah syahada, Dahlia akhirnya terlena dalam dakapanku. Lena yang sungguh panjang! Aku masih lagi tidak dapat menerima kenyataan yang dia telah tiada. Zalikha tiba dari Australia petang itu juga. Sempat dia mengucup dahi ibunya. 
 
Haziq, Megat Panji Alam masih terbau harum rambut Tejanya. Aku masih lagi terbau harum puspa kemboja. Sungguh, aku amat merinduinya. Sungguh juga, aku terlalu menyayanginya. Dia pedusi sahmura, Haziq! 
 
Zaquan,
Malaysia.
 
Bait-bait terakhir warkah Zaquan cukup meruntun hati saya. Airmata saya seakan tidak mahu berhenti ini terpaksa saya seka. Besarnya pengorbanan seorang isteri. Saya juga seperti Zaquan, tidak pernah menyedari betapa agungnya seorang insan bernama wanita ini. Zaquan terlewat. Saya tidak mahu terlewat. Saya kira anda juga tidak mahu terlewat. Selagi detik masih merangkak, selagi jantung masih berdegup, hargailah dia! Pedusi Sahmura!

Wednesday, November 12, 2008

Rumah Yang Gelap

Diriwayatkan jika roh sudah keluar dari tubuh manusia dan selepas tiga hari, maka roh itu berkata: “Wahai Tuhanku, perkenankanlah aku sehingga aku berjalan dan melihat tubuhku yang dulu aku berada di dalamnya.”

Maka, Allah memperkenankan kepadanya. Lalu dia datang ke kuburnya dan melihat dari jauh. Maka, dia menangis dengan suatu tangisan yang cukup lama. Lalu dia merintih:”Aduhai tubuhku yang miskin, wahai kekasihku. Ingatlah akan hari kehidupanmu. Rumah ini adalah rumah serigala, bala bencana, rumah yang sempit, rumah kesusahan dan penyesalan.”

Selepas lewat lima hari roh berkata:”Wahai Tuhanku, perkenankanlah aku untuk melihat tubuhku.” Maka, Allah memperkenankannya. Lalu dia datang ke kuburnya dan melihat dari jauh. Dan mengalirlah dari lubang hidungnya dan mulutnya air nanah.

Firman Allah bermaksud: “Mereka tidak dapat berbicara pada hari roh (Jibril atau ruhul qudus) dan malaikat berdiri dengan berbaris.” (Surah An-Naba’, ayat 38).

Ibnu Abbas berkata : “Jika datang hari raya, Asyura dan Jumaat yang pertama dari Rejab, malam Nisfu Syaaban, Lailatul Qadar dan malam Jumaat, roh mayat semua keluar dari kubur mereka dan berdiri di pintu rumahnya sambil berkata: “Belas kasihanlah kamu semua kepada kami pada malam yang berkat ini dengan sedekah satu suap, sebab kami memberikan sedekah.”

“Jika kalian bakhil dengan sedekah, dan kamu sekalian tidak mahu memberikannya, maka hendaklah kalian mengingati kami dengan bacaan surah Al-Fatihah pada malam yang penuh keberkatan ini.”

“Adakah seorang belas kasihan kepada kami, apakah daripada salah seorang ada yang mengenangkan ratapan kami wahai orang yang menempati rumah kami, wahai orang yang menikmati wanita (isteri) kami, wahai orang yang berdiri memperluaskan mahligai kami, yang sekarang kami dalam kesempitan kubur kami.”

“Wahai orang yang membahagi harta benda kami, wahai orang yang mensia-siakan anak yatim kami”.

“Adakah salah seorang daripada kamu sekalian ada yang mengenang perantauan kami?”
“Buku amal kami dilipat dan kitab amal kalian dibuka. Dan bukanlah bagi mayat yang berada dalam kubur melainkan pahalanya. Maka, janganlah kalian melupakan kami dengan sebuku rotimu dan doamu, sebab kami orang yang berhajat kepada kamu sekalian, selama-lamanya.”

Kubur setiap hari menyeru manusia sebanyak lima (5) kali….

Aku rumah yang terpencil, maka kamu akan senang dengan selalu membaca Al-Quran
Aku rumah yang gelap, maka terangilah aku dengan solat malam
Aku rumah yang penuh dengan tanah dan debu, bawalah amal soleh yang menjadi hamparan
Aku rumah ular berbisa, maka bawalah amalan Bismillah sebagai penawar
Aku rumah pertanyaan Munkar dan Nakir, maka banyaklah bacaan “Laa ilahailAllah, Muhammadar Rasulullah”, supaya kamu dapat jawapan kepadanya.

Sunday, November 2, 2008

Women's Power

Peluang menghadiri Majlis Mahabbah Bersama Muslimat Hizbullah dan berwacana dengan mereka iaitu Wafa dari media relation of Hizbullah dan Rima, political council member of Hizbullah, sememangnya sangat mengujakan minda.
Menurut sahabat yang menjadi pemandu merangkap 'tourist guide' kepada Wafa and Rima, kedua-dua orang penting Women Association of Hizbullah ini datang ke Malaysia untuk menghadiri satu seminar di Pulau Pinang yang dianjurkan oleh sebuah badan NGO iaitu International Resident. Sedangkan saya dan kebanyakan sahabat tidak mengetahui langsung tentang seminar tersebut, mereka telah meninggalkan tanahair yang masih belum stabil untuk turut serta berperanan di peringkat antarabangsa.

Menurut sahabat itu lagi, daripada perbualannya dengan Wafa dan Rima, beliau sangat kagum dengan kepekaan mereka tentang hal-hal yang berlaku di seluruh dunia terutama yang melibatkan umat Islam dan agama Islam itu sendiri. Mereka berusaha untuk turut serta dan memberi buah fikiran sebagai orang Islam dan juga sebagai salah satu 'super power' yang disegani oleh pihak kawan dan lawan. Menurut mereka 'if you don't grab it, the enemy will definitely make their entry". Musuh-musuh Islam sentiasa merangka-rangka pelbagai cara untuk melemahkan umat Islam dan menjauhkan umat Islam dari ajaran agama.

Bila diberitahu bahawa hotel yang mereka diami terletak di salah satu kawasan elit di Lembah Klang, mereka seakan terpana dan terkeluar dari mulut mereka "If we know that, we won't stay there". Kemewahan duniawi sudah mereka tanggalkan dalam diri dan hati mereka. Bagi mereka, tidak ada masa untuk memikirkan hal-hal kemewahan dan kelazatan duniawi yang sering melalaikan dan mealpakan diri dari memikirkan masalah-masalah umat Islam sejagat.

Mendengar butir-butir bicara bermotivasi daripada mereka yang berpengalaman dalam 'physical war' dengan Israel Laknatullah, menyuntik semangat agar tidak berasa lemah dalam usaha meningkatkan dakwah Islamiah dalam pelbagai bidang. Tiada kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah S.W.T.

Mendengar secara 'first hand' pengalaman dan aktiviti muslimat Hizbullah di era peperangan dan juga dalam membangun kembali negara Lubnan (terutama selatan Lubnan) selepas beberapa siri peperangan, terbayang di minda segala kesengsaraan, kekalutan, ketakutan dan juga ketabahan rakyat Lubnan yang mempunyai jiran yang kejam iaitu Israel. Namun, lawan tetap lawan walaupun bertempur menggunakan peralatan primitif berbanding peralatan canggih Israel yang dibantu oleh US.

Kini majoriti selatan Lubnan telah hancur dibedil Israel. Kini mereka berusaha membina kembali negara mereka selari dengan pembangunan modal insan. Modal insan yang berjiwa pejuang sedang dibangunkan di Lubnan untuk melahirkan profesional-profesional Muslim yang sanggup mati mempertahankan agama dan negaranya. Melahirkan sekurang-kurangnya satu keluarga, seorang syahid.

Dalam sesi perbincangan, timbul persoalan dari seorang hadirin, "adakah ada perselisihan diantara puak Hizbullah (syiah) dan puak sunni di Lubnan? Adakah satu puak mendakwa mereka lebih baik dari puak yang lain?"

Rima dan Wafa memaklumkan di Lubnan ada 18 sect (mazhab) iaitu sunni, syiah, maronite, khatolik, dll tetapi mereka tetap bersatu dalam menghadapi musuh dan tidak tunduk kepada fitnah-fitnah yang membawa kepada perpecahan yang mana akhirnya menyebabkan musuh-musuh Islam bertepuk tangan.
"As for syiah and sunni, we believe in one Allah, one Kitab and one Rasul. Unity among our people is important to face huge challenges and to move towards victory"

Konklusinya, peranan pemerintah sangat besar dalam usaha mendidik generasi pelapis agar teguh jiwa perjuangannya dalam menghadapi musuh-musuh Islam. Seeru ala barakatillah...Wallahhua'lam.
p/s: Seorang sahabat berkata "kalau saya jadi mereka berdua, rasanya tak berani keluar dari Lubnan. Entah-entah, nama dah ada dalam senarai Moussad atau CIA". Dan jawapannya, perjuangan Islam bukan untuk mereka yang pengecut dan 'faint-hearted', apatah lagi untuk berdepan dengan musuh-musuh tradisi umat Islam.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...