Tuesday 23 June 2009

Wakaf Sementara

oleh: Prof Dr Barjoyai Bardai Pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Universiti Tun Abdul Razak  

Konsep wakaf ialah urusan menyerahkan kekayaan peribadi untuk dimanfaatkan masyarakat. Wakaf selalu dikaitkan dengan tanah perkuburan dan pondok teduhan yang biasa disediakan oleh mereka berkemampuan untuk faedah penduduk setempat. Bagi kebanyakan umat Islam di Malaysia, memberi wakaf bermakna menyerahkan harta yang biasanya dalam bentuk tanah atau hartanah kepada Baitulmal atau Jabatan Agama Islam Negeri sebagai amanah untuk diuruskan bagi kebajikan seluruh umat. Konsep wakaf boleh dikembangkan dengan menjadikannya institusi amanah bagi pihak umat Islam untuk memastikan kekayaan diperuntukkan kepada mereka dapat diuruskan lebih sempurna. 

 Diriwayatkan daripada Ibnu Umar: "Saidina Umar membeli sekeping tanah. Beliau berjumpa Rasulullah SAW untuk meminta nasihat berkaitan dengannya. Beliau berkata: Ya Rasulullah, saya sudah membeli sekeping tanah di Khaibar. Saya belum pernah memiliki tanah yang begitu bernilai seperti ini. Jadi apakah yang patut saya lakukan ke atas tanah ini? Rasulullah SAW menjawab: Jika kamu suka, kamu boleh menyimpan hak milik tanah itu kekal di tangan kamu dan berikan hasilnya sebagai sedekah.

 

" Saidina Umar memberikan hasilnya sebagai sedekah dengan mengisytiharkan tanah itu tidak boleh dijual atau dipindah milik. Hasil pendapatannya diagihkan kepada kumpulan fakir miskin, sanak saudara terdekat, usaha pembebasan abdi dan apa juga program ke jalan Allah. Menurut Ibnu Aun, dalam prinsip wakaf apa yang penting ialah tidak menyimpannya dengan niat untuk menjadi kaya. Harta kekayaan boleh diserahkan kepada Baitulmal dan Jabatan Agama Islam Negeri untuk diwakafkan secara kekal atau sementara. Mesir yang ada kepakaran dalam pelaksanaan sistem kehidupan Islam, menubuhkan kementerian khusus iaitu Kementerian Wakaf. Di Mesir, semua wakaf dihadkan tidak melebihi 30 tahun tetapi boleh diperbaharui. Disebabkan tanah perkuburan adalah kawasan luas di tengah bandar raya, maka berjuta penduduk yang tidak mempunyai tempat tinggal memilih untuk tinggal atas tanah perkuburan yang diwakafkan keluarga kaya di Kaherah. Hartanah ini secara beransur-ansur berubah kegunaan apabila tempoh wakaf berakhir. Kementerian wakaf mempunyai tanggungjawab besar untuk menguruskan harta wakaf bagi faedah kesejahteraan seluruh umat Islam khususnya yang berada di sekitar lokasi harta itu. Banyak hartanah diwakafkan kepada masjid dan kemudian tidak diurus pengurus wakaf. Masalahnya ialah saiz dan had kegunaan hartanah ditetapkan pewakaf iaitu untuk tapak masjid dan kubur. Ramai umat Islam berasa mereka tidak mampu untuk mewakafkan harta kerana ingin mewariskan harta mereka kepada anak. Jika konsep wakaf sementara boleh diperkenalkan, pasti lebih ramai umat Islam tampil ke depan. Harta dalam bentuk tanah, wang, rumah dan lain-lain boleh diwakafkan untuk 20 hingga 30 tahun sementara menunggu diperlukan oleh pemiliknya. 

Harta wakaf itu boleh diuruskan secara berkesan oleh badan korporat sebagai pemegang amanah bagi memastikan ia mendatangkan hasil yang boleh dimanfaatkan untuk membangun umat Islam. Yang penting, hasil atau faedah disalurkan kepada kumpulan yang berhak. Pemberi wakaf tidak terhad kepada individu Muslim, termasuk institusi, badan korporat dan badan kerajaan dengan andaian bahawa permodalan wakaf adalah badan professional pengurus dana yang akan menjadi pemegang amanah kepada harta milik pemberi wakaf untuk manfaat kumpulan sasar ditetapkan. - Berita Harian, 6 Mei 2009 

4 comments:

  1. alangkah baik kalau kita benar2 mamahami konsep wakaf ini kan...ramai yang akan mendapat manfaatnya (terutamanya golongan kurang bernasib baik)

    ReplyDelete
  2. Ya,memang benar utk kemaslahatan umat Islam itu sendiri.

    ReplyDelete
  3. Jom kita beramal dan berwakaf...

    ReplyDelete
    Replies
    1. ada banyak sekolah agama & pondok yg boleh kita beri sumbangan secara wakaf..jom menambah saham akhirat..

      Delete

Syukran jazilan for your comments. Merci beaucoup!