Friday, May 29, 2009

Ini ada satu cerita (3)

Orang Barat memang banyak muslihat untuk menghina orang Islam dan kebanyakan kita selalu alpa dan tidak mempunyai maklumat mengenai muslihat yang tersirat di sebalik sesuatu kejadian/perkataan/penciptaan.

Pertama kali mengetahui perkara ini apabila membaca tulisan Faisal Tehrani di dalam Majalah Eh!. Cerita di sebalik satu pastri ini yang diberi nama: croissant. Croissant merupakan French pastri yang terkenal, dijual di bakeri dan side-walk café seperti Delifrance. Melihat kepada bentuk croissant, ia seakan-akan bulan sabit.

Menurut wikipedia, ada pelbagai versi asal-usul pastri croissant tetapi ada dua versi yang mengaitkan penciptaan croissant dengan orang Islam:

1) Dicipta untuk meraikan kekalahan tentera Islam Khalifah Ummayah didalam peperangan, Battle of Tours (atau Battle of Poitiers) oleh puak Franks (satu kumpulan etnik Jerman Barat) pada tahun 732 dan mereka mencipta croissant yang berbentuk bulan sabit melambangkan agama Islam;

Battle of Tours (October 10, 732), juga dipanggil Battle of Poitiers atau dalam Bahasa Arab, معركة بلاط الشهداء‎ (ma‘arakat Balâṭ ash-Shuhadâ’) Battle of Court of The Martyrs, adalah pertempuran di antara tentera pimpinan Austrasian Mayor of the Palace Charles Martel dan Abdul Rahman Al Ghafiqi, gabenor Al-Andalus, dimana Abdul Rahman Al Ghafiqi telah terbunuh.

2) Dipercayai dicipta di Vienna pada tahun 1683 bagi meraikan kekalahan tentera Empayar Ottoman daripada menakluki bandar tersebut dan bentuk croissant merujuk kepada bulan sabit yang terdapat pada bendera Turki.

Versi ini diperkuatkan lagi melalui fakta bahawa di dalam Bahasa Perancis, croissant dirujuk sebagai Viennoiserie dan croissant dipercayai diperkenalkan di Perancis oleh Marie Attoinette, seorang puteri diraja Vienna yang berkahwin dengan putera diraja Perancis.


Alangkah kasihannya umat Islam, dihina berabad-abad lamanya..

Thursday, May 21, 2009

Super Duper Granny


"Kisah rumah-tangga, ada-ada saja"

"Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami-isteri"

Seorang wanita berumur 78 tahun telah ditangkap kerana menyerang dan memukul suaminya yang berusia 84 tahun di Lynnwood, Washington. Dia memukul suaminya dengan mangkuk, paip getah dan penyapu karpet. Suaminya mengalami patah tulang rangka, pinggul dan pergelangan tangan. Wanita tersebut percaya suaminya telah menipunya beberapa kali di sepanjang perkahwinan mereka.
Seorang saksi memaklumkan wanita tersebut mengaku telah menendang suaminya beberapa kali di bahagian perut sepanjang enam bulan yang lalu kerana mempercayai suaminya mempunyai hubungan dengan wanita lain lebih kurang 35 tahun yang lalu.

Fuhh! 35 tahun..dendamnya masih membara..ibarat gunung berapi memuntahkan laharnya..tapi sebenarnya hati merasa kasihan kepada suami itu..macamana agaknya dengan keadaannya yang lemah fizikal, ditendang, dipukul, dihentak...tidak terdaya untuk melawan..

Hati juga ada rasa geram, rasa padan muka..itulah jangan menipu isteri, main kayu tiga, curang..perasaan wanita itu halus, kadang-kala bisa menelah tindak-tanduk suami...sesetengahnya 'can forgive but not forget'



.......dan ada sesetengahnya berprinsip seperti dibawah.....












..Maafkanlah..itu yang lebih baik, terutama pabila usia sudah menjelang senja begini..

Ikut hati, mati. Ikut rasa,binasa.

Monday, May 18, 2009

Mongol. Mongolia

Entri ini terilham apabila membaca ulasan filem Mongol yang sedang ditayangkan di pawagam kala ini. Mungkin akan menontonnya, tidak di pawagam, menonton CD atau DVD sahaja…mungkin tidak juga…mungkin lama lagi…segalanya mungkin..

Harian Metro: Mongol (2007) Mongol sebuah filem epik daripada pengarah terkenal Rusia, Sergei Bodrov yang menerokai perjalanan hidup pahlawan Mongol, Genghis Khan. Filem bajet tinggi yang diterbitkan kolaborasi syarikat perfileman Kazakhstan, Jerman serta Mongolia ini membariskan bintang antarabangsa, termasuk aktor Jepun, Tadanobu Asano sebagai pelakon utama memegang watak Temudgin (Genghis Khan). Filem ini memaparkan aspek positif yang wujud pada pahlawan ini sebagai pemerintah berani dan bervisi berbanding kisah negatif yang mengaitkan Genghis Khan sebagai kejam, ganas dan jahat.

Menyatukan elemen aksi dan emosi di atas bumi Mongolia, Bodrov berjaya menggarap sebuah epik mengujakan yang menyentuh aspek kehidupan, perjuangan dan percintaan agung. Babak dan aksi tempur yang diselitkan dilihat sungguh halus dan teliti. Malah, pengucapan melalui skrip epik ini juga menjadi faktor keberkesanan jalan ceritanya. Satu pencapaian samar namun perlu diberi penekanan melalui filem yang berdurasi 120 minit ini adalah usaha pihak produksi untuk memaparkan kisah zaman silam di Mongolia ini begitu solid dan sempurna kerana tiada kecacatan atau silap yang mampu dikesan. Negara yang berlokasi di utara China itu berjaya digambarkan sepertimana keadaan sebenar – indah dan penuh dengan budaya
.


Sememangnya setiap manusia ada sisi cerah dan gelapnya. Sisi hitam dan putihnya. Namun, bagi manusia ini, tidak mahu mengetahui sisi cerahnya kerana sisi gelapnya tersangat kelam. Mungkin saya seorang yang ‘bias’, biarlah…

Mongol bagi orang Islam tetap hitam warnanya. Terlalu dalam lukanya, tidak tergambar dengan perkataan. Terlalu..terlalu…Siapakah yang bisa melupakan sejarah itu? Sejarah yang terkubur, tidak mampu dikembalikan ke asalnya, kegemilangannya…menurut pakar sejarah, niat untuk menjatuhkan kerajaan Abbasiah memang telah wujud di dalam hati Genghis Khan sejak sekian lama.

Oleh kerana jarak yang jauh dari bumi China ke bumi Iraq, Genghis Khan menumpukan serangan pertamanya ke atas bumi Afghanistan dan Uzbekistan. Bumi ini dipilih kerana ia mempunyai sumber asli yang banyak dan amat sesuai untuk dijadikan pengkalan tentera Tatar (Mongol) untuk siri-siri serangan yang seterusnya.

Serangan pertama ini berjaya. Tatar berjaya bertapak di bumi tersebut dan bumi sekitarnya (Turkimenistan, Kazakhastan, Tajikistan, Pakistan dan sebahagian dari Iran). Kesemua negara-negara ini dahulunya dikenali sebagai Daulah Khawarizmiah. Hasil dari kejayaan ini, pemerintahan Tatar mula kukuh di kawasan tersebut. Mereka mempunyai pengkalan dan pusat pentadbiran mereka di tengah-tengah kerajaan Islam.

Beberapa siri serangan tentera Mongol ke atas Daulah Islamiyyah dan kekalahannya di dalam Peperangan Ain Jalut boleh dibaca disini.

Namun, yang paling tragis ialah kejatuhan Kota Baghdad. Kota Baghdad di bawah kerajaan Bani Abbasiyyah pernah menjadi kota ilmu yang hebat. Kota Baghdad seperti Cordova juga memainkan peranan penting dalam penyebaran ilmu pengetahuan dan tamadun Islam, terutama pada zaman pemerintahan Khalifah Harun al-Rasyid dan puteranya, al-Makmun. Kegemilangan zaman pemerintahan kedua-dua pemerintah berwibawa ini mendorong ahli sejarah menamakannya Zaman Keemasan Kerajaan Abbasiyyah.

Sayangnya pada awal abad ke-13, kota besar itu diserang tentera Mongol pimpinan Hulagu Khan, cucu Genghis Khan 'Sang Penakluk Dunia'. Kota Baghdad jatuh ke tangan mereka tahun 1258. Terlalu banyak kemusnahan dan kematian yang menggambarkan kekejaman dan keganasan juga ketidaktamadunan tentera Mongol.

1. Baitul Hikmah, perpustakaan utama Baghdad yang mengandungi beberapa dokumen sejarah yang berharga dan buku-buku pelbagai cabang ilmu, dari perubatan hingga ke astronomi, telah dimusnahkan sehinggakan ada yang mengatakan air Sungai Tigris menjadi hitam kerana dakwat dari buku-buku yang dicampakkan ke dalam sungai.

2. Pembunuhan beramai-ramai secara kejam khalifah Al-Mu’tasim, pembesar dan penduduk Baghdad dan mayat mereka dicampakkan kedalam Sungai Tigris

3. Masjid, istana, perpustakaan dan hospital telah dimusnahkan. Monumen-monumen dan bangunan-bangunan hasil kerja beberapa generasi dibakar.

Mengapa hati seakan tidak teruja mahu menonton filem ini. Ya, mungkin sisi gelapnya menghijabnya…Islam sendiri ada panglima-panglima perang yang hebat lagi berhemah dan bertamadun..

Friday, May 15, 2009

Warung Kita

Setelah bekerja selama satu tahun lima bulan, barulah adik sorang kat ofis tu membuka rahsia. Kampung Baru's best kept secret dan bermulalah 'gastronomical adventure' bagi beberapa perempuan pelanggan tetap di ofis. Sudah masuk dua minggu memesan kuih-muih yang come nan lote dan sedap lagi murah. Tiga seringgit, kira murah juga mengikut standard bandaraya metropolis KL ni.

Perniagaan kuih-muih dan makanan ini diusahakan oleh kedua ibubapanya dan juga sepupunya. Kira famili businesslah ni. Sudah lama, dah established di Kampung Baru.


Ini dia warungnya: Warung Mak Ipah


Kuih-muih yang dijual disini ialah: karipap, keria, cucur badak dan kuih bom (ondeh-ondeh). Ada juga makanan sampingan iaitu mihun goreng, laksa, soto ayam, bihun sup, rojak buah dan bakso. Minuman panas dan sejuk juga ada dijual. Penjualan kuih-muih cuma beroperasi dari pukul 11.00 pagi hingga 2.00 petang.

Kuih-muih yang dijual. Now u see more, now u see less. First come, first serve basis.



Bahan-bahan untuk bihun sup, soto, laksa & bakso siap sedia untuk pelanggan. Disebelahnya, dua orang pekerja import dari seberang, ada permit ke, buk?


Jom, jalan-jalan cari makan di sini, di lorong ini, Lorong Raja Muda Musa 5


- Bon Appetite - Dapatkan CuteComment di SahabatMusleem.blogspot

Wednesday, May 13, 2009

Duduk

Oleh: KH Abdullah Gymnastiar

Rasulullah S.A.W. bersabda, bermaksud: "
Sesiapa yang ingin mengetahui kedudukannya di sisi Allah, maka hendaklah memperhatikan bagaimana kedudukan Allah di dalam hatinya. Maka sesungguhnya Allah menempatkan (mendudukkan) hamba-Nya, sebagaimana hamba itu mendudukkan Allah di dalam hati dan jiwanya

Saudaraku,

Yang termahal dalam hidup adalah keyakinan diri kepada Allah. Semakin kuat dan mendalam keyakinan itu, maka semakin beruntung hidup kita. Ketika itulah kita memiliki barang termahal dalam hidup. Apalah ertinya kita memiliki kekayaan melimpah sedangkan hati kita miksin daripada mengenali Allah. Apalah ertinya kita dikenali ramai jika kita tidak mampu mengenali Allah. Apalah ertinya kita berjawatan tinggi, jika kedudukan kita rendah di sisi Allah swt.

Intinya, semua yang ada selain Allah adalah cubaan dan fitnah belaka. Walau memiliki dan menguasai dunia sekalipun, kedudukan kita akan rendah apabila tidak mengenali Allah.

Ada tiga ukuran untuk mengetahui tinggi rendahnya darjat seseorang di sisi Allah, iaitu:

Pertama;
Sepanjang 24 jam waktu kita lalui setiap hari, berapa jam kita mengingati Allah. Sewaktu solat, adakah kita ingat Allah atau ingat yang lain. Ketika makan, adakah kita ingat pada Zat yang mengurniakan makanan itu atau malah mencela makanan.

Sewaktu ke tempat kerja, apakah kita sudah berniat sebagai jalan untuk beribadah atau sekadar mencari wang. Di dalam perjalanan, misalnya, apakah kita sibut berzikir serta membaca ayat suci Al-Quran atau mata kita berkeliaran. Bila hati kita selalu menyambung kepada Allah dalam apa keadaan sekalipun, maka sesungguhnya Allah telah meninggikan darjat.

Kedua:
Tinggi rendah darjat kita di sisi Allah dapat terlihat daripada senang tidaknya kita melakukan amalan yang dicintai Allah dan Rasul-Nya. Allah menyukai solat berjemaah kerana pahalanya 27 kali ganda daripada solat bersendirian.

Apakah kita termasuk orang yang akan segera ke masjid tatkala azan berkumandang, atau semakin sibuk dengan urusan dunia? Allah menyukai sikap menderma tapi apakah kita termasuk golongan dermawan?

Allah menyukai hamba yang dekat dengan Al-Quran. Apakah kita bersungguh-sungguh berinteraksi dengan Al-Quran? Semakin kita gigih “menyenangkan” Allah dengan melakukan amalan yang dicintaiNya, InsyaAllah darjat kita akan tinggi di sisi-Nya.

Ketiga:
Sejauh mana kegigihan kita menghindarkan diri daripada maksiat. Salah satu ciri dekatnya seorang hamba dengan Allah, terlihat daripada kesungguhannya menjauhi maksiat.

Hakikatnya, manusia biasa tidak akan pernah luput daripada dosa. Namun, orang yang berkedudukan tinggi di sisi Allah, akan segera bertaubat ketika dia terjerumus ke lembah maksiat. Dia menyesal, kemudian berazam untuk tidak mengulangi kesalahan dan menggantinya dengan lebih banyak amalan kebaikan.

Sebaliknya, orang yang jauh daripada Allah berasa cukup seronok berbuat dosa, tidak memiliki penyesalan dan sentiasa mengulangi perbuatan itu pada lain kesempatan.

Saudaraku,

Jangan ada yang ditakutkan dalam hidup ini, kecuali takut tidak dapat mengenal Allah. Harta, pangkat, jawatan atau ketampanan/kecantikan paras rupa sama sekali tidak bernilai apabila hati kita jauh daripada mengingati Allah.

Mulai sekarang, kita harus mengubah cara hidup iaitu menjadi orang yang bermanfaat kepada manusia dan berkedudukan tinggi di sisi Allah.

Friday, May 8, 2009

Teloi Kanan

Saya mengaku memang tidak pernah mendengarnya sebelum ini.
Nama Teloi Kanan tiba-tiba menjadi sebutan ramai apabila Mohd. Khairul Effendi Che Wan, 17; Som Jud Muniandy, 16; dan Muhamad Fazrel Ashraf Azizan, 15, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Teloi Kanan, Baling, Kedah berjaya merangkul pingat emas di Festival Sains, Teknologi dan Alam Sekitar di Helsinki, Finland. Festival yang mempertandingkan mengenai isu alam sekitar, dianjurkan oleh Environment Online (ENO) bermula 12 hingga 18 April dan disertai 80 buah negara.

Tiga projek yang dibentangkan oleh pelajar terlibat ialah Penanaman Pokok, Perubahan Cuaca dan Kajian Kualiti Air membabitkan penglibatan pelajar di Kuala Gula, Perak. Projek penanaman pokok bakau yang disasarkan lebih sejuta pokok itu melibatkan kawasan di pesisir Kuala Gula, Perak dan Padang Salim, Kuala Muda, Kedah dan ia merupakan antara kandungan pembentangan kertas kerja tersebut.


hutan paya bakau

Paya bakau…kawasan yang berlumpur ini apakah kepentingannya dalam kitaran eco-sistem? Paya bakau antara fungsinya ialah mencegah hakisan pesisir pantai dan juga sebagai penampan untuk angin ribut. Sistem akarnya yang unik menjadi tempat pembiakan beberapa organisma & algae dan beberapa spesies air yang lain seperti ikan, udang, kerang, sotong, ketam, dll. Kayu bakau yang tahan lama dan mampu terendam dalam air sering digunakan dalam pembinaan seperti tiang jeti. Selain itu, kayu bakau juga amat sesuai untuk dibakar untuk menghasilkan arang seperti yang terdapat di Kuala Sepetang, Perak.

Kawasan paya bakau juga merupakan destinasi yang popular untuk aktiviti melihat burung (bird-watching) kerana ia menjadi tempat tinggal dan tempat persinggahan burung-burung tempatan dan yang berhijrah (migrotary birds). Burung yang berhjrah sejauh dari utara Siberia, Russia dan juga dari kepulauan utara Jepun. Burung-burung ini akan tinggal selama beberapa bulan sebelum berhijrah ke selatan ke Australia dan New Zealand dan kemudian terbang kembali ke tempat asal mereka setelah cuaca di sana kembali stabil. Antara kawasan paya bakau yang popular untuk aktiviti ‘bird-watching’ di Malaysia ialah Santuari Burung Kuala Gula dan Taman Alam Kuala Selangor.

Bukit Fraser juga destinasi utama untuk aktiviti ‘bird-watching’ menganjurkan International Bird Race setiap tahun. Bukan perlumbaan burung-burung, ya adik-adik, tetapi perlumbaan manusia untuk mengenal seberapa banyak spesies burung. Bagi seorang Muslim, mengenal lalu menginsafi kebesaran Allah yang menjadikan makhluk-makhluknya yang pelbagai.

Tiong bukan sebarang tiong
Tiong dari Kuala Tahan
Renung bukan sebarang renung
Renung menginsafi kebesaran Tuhan

Burung...salah satu haiwan yang ceritanya ada didalam Al-Quran dan juga dalam beberapa kisah nabi-nabi.

Kisah Nabi Ibrahim
“Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata: “Ya Tuhanku, perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan orang-orang mati.” Allah berfirman: “Apakah kamu belum percaya?” Ibrahim menjawab: “Saya telah percaya, akan tetapi agar bertambah tetap hati saya.” Allah berfirman: (Kalau demikian) ambillah empat ekor burung, lalu jinakkanlah burung-burung itu kepadamu, kemudian letakkanlah tiap-tiap seekor daripadanya atas tiap-tiap bukit. Sesudah itu panggillah dia, nescaya dia akan datang kepada kamu dengan segera.” Dan ketahuilah bahwa Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” (Surah Al-Baqarah: 260)

* sebahagian ahli tafsir mengganti kata “jinakkanlah” dengan kata “potong-potonglah” dan kata “tiap-tiap seekor” diganti dengan “tiap-tiap bahagian” (dari burung yang telah dipotong itu). Kerana dalam ayat ini terdapat kata “Shur” yang dalam bahasa Arab bermakna jinakkanlah! atau potong-potonglah!
Kisah Nabi Sulaiman dengan burung Hud-Hud
“Dan dia memeriksa burung-burung lalu berkata: “Mengapa aku tidak melihat hud-hud, apakah dia termasuk yang tidak hadir” (Surah Al-Naml:20)

“Maka tidak lama kemudian (datanglah hud-hud), lalu ia berkata:”Aku telah mengetahui sesuatu yang kamu belum mengetahuinya: dan kubawa kepadamu dari negeri Saba’, suatu berita penting yang diyakini” (Surah Al-Naml: 22)

Dalam pengkisahan anak-anak Nabi Adam, ketika Qabil membunuh Habil, Allah telah mengilhamkan proses pengebumian menerusi perlakuan burung helang.

Burung...haiwan yang bertawakkal dengan rezeki Allah, tiada ia menyimpan stok makanan - pagi kosong, petang berisi seperti tajuk Forum Hal-Ehwal Islam pada malam Jumaat Hari Pekerja.

Akhir kalam…
“Otak burung unta lebih keeecil dari matanya……..”

Monday, May 4, 2009

Chemical Romance

Cintaku sekukuh pepejal
kejap mengikat molekul-molekul kasih
biarkan nukleus cintaku
beradiasi menggebu-gebu
menular ke sanubarimu


Pancaran gamma cintaku
menembusi strata sukmamu
membunuh mati sel-sel keraguan
terurai dalam radioterapi cinta
menguat atom-atom kepercayaan
immunisasi virus penyakit nan rawan


Cintaku..
tidak kau temui di dalam makmal
kerna ia bukan bahan ujikaji
tidak tercipta dari proses fermentasi
tidak terlihat di bawah mikroskop
juga...tidak terkesan di dada stateskop
ia lahir dari dasar hati
tak bisa terhidrasi dek panahan mentari pagi
tidak bereaksi dek proses oksidasi


Cintaku seharum ethanol
tersolusi dalam siraman kasihmu
meneutral keasidan dendammu
menebat rasa amarahmu


Biarku cuci luka cintamu
ku sterilise dengan kasih sayangku
ku bius kebas dengan rinduku


Cintaku..usah kau ragui
ia bukan satu ilusi
biar terpetri hingga ke infiniti....


nohas al-pakri
1 Mei 2009

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...