Friday 15 May 2015

Senja Haram: the Debate

Sambungan cerpen..

Mencipta tamadun

"Bagaimana membina tamadun baru yang betul-betul bertenaga?" tanya Muneer.

"Lihat dari kaca mata Shariati?" kata Mohtashemi.

"Ali Shariati? Sosiologis Iran?" tanya Saiful bersungguh.

"Dua syarat penting untuk betul-betul mencipta tamadun jaya."

"Apa?" Muneer tidak sabar.

Jalan-jalan yang dilalui bas ini, nyata sempit, gelap dan lampu-lampu jalan tidak berfungsi di kiri kanan.  Bas melepasi Sekolah Rendah Al-Saidah di kanan.  Kedai-kedai makan terasing hidup segan. Tetapi di musim haji tentu hidp berani.  Bengkel kereta, kedai gunting rambut kurang sibuk.

"Pertama, fenomena migrasi atau hijrah. Ingat Nabi kita berhijrah ke Madinah untuk membina masyarakat baru. Sebelum itu umat Islam berhijrah ke Habsyah. Kedua-duanya, Ali Shariati melihat faktor manusia itu sendiri, mendasar kepada ayat al-Quran yang bermaksud: Tuhan tidak akan merobah nasib sesuatu kaum, jika mereka sendiri tidak mahu merubahkannya."

Saiful sedih pedih mengenangkan Saidina Uthman yang membeli telaga Raumah untuk minuman Muslimin dan membeli tanah untuk meluaskan masjid Nabi dikepung kejam pemberontak.  Khalifah tua itu dan keluarganya dihalangi dari keluar rumah.

Bekalan air putus.  Ummul-mukminin, isteri Nabi, Habibah Abi Sufyan yang datang menatang air sejuk dipukuli muncung keldainya dan tali pelana diputuskan.  Nyaris jatuh tersungkur.

Dan rupa-rupanya benteng dari kalangan Abdullah bin Umar, Abdullah bin Zubair dan cucu-cucu Rasulullah, Hassan dan Hussain tidak bisa lagi menahan pembunuhan ke atas sahabat Nabi yang dijanjikan syurga itu.

"Ibnu Khaldun menekankan pegangan kepada agama ialah unsur paling utama dalam mencipta sebuah tamadun. Usia tamadun itu akan lebih terjamin lama jika penghayatan terhadap agama lebih kuat.  Juga, kemewahan yang dinikmati boleh merosakkan tamadun kalau tiada 'moral order' berkuasa untuk mewarasinya."

Suara Muneer menyentak Saiful ke alam nyata dan dia terkenangkan tamadun Melaka yang perkasa itu, runtuh oleh alpa kemewahan dan cepat dapat direbut Portugis.

"Malek Ben Nabi, pemikir Algeria itu pun setuju kekayaan hidup, menjurus kepada kejatuhan moral roh manusiawi, pengumpulan harta tanpa tunjang agama dan budaya bakal menghuru-harakan." Mohtashemi mengambil giliran memberi pandangan.

"Saiful, apa kata Saiful?" Soal Mohtashemi keras, suara meningkah deru enjin yang menenggelamkan sejenak diskusi mereka. 

"Setuju. Emile Durheim sendiri melihat kemodenan meruncing menjadikan manusia gawat kacau. Timbul masalah mal-adjustment atau kegagalan manusia untuk hidup dalam suasana baru.  Seperti Ibnu Khaldun, Durkheim pun ikut menyebut, kesatuan sosial dalam masyarakat asas kepada tamadun maju." Saiful memberi hujah.

Tiba-tiba Saiful teringatkan tamadun yang sedang mekar di negaranya.  Hebat gagah. Selesa santak semua orang lupa, lalu penyakit masyarakat berbenih bercambah.  Akhlak lupus dan berantakan.  Masyarakat atas ke bawah boros.  Juga spontan diri terkenangkan kejatuhan RM, ketika dia baru tiba, RM100 bersamaan 128 Saudi Riyal.  Kini, kejatuhan menjunam-junam, RM100 bersamaan 107 Saudi Riyal. Javid, sarraf atau penukar wang bersebelahan Hotel Asia menyindir pahit.

"Kerana Soros atau kerana boros?"

"RM..ringgit Malaysia atau rupee Malaysia?"

"Iya, kemewahan sebabkan keruntuhan akhlak dan keborosan meruntuhkan ia lagi.  Padah melewakan nilai spiritual."

Bas mengambil jalan al-Haj melintasi hadapan Thaqafa Book Store.  Deretan kedai barangan antik ditinggalkan.  Penumpang diambil dan diturunkan sesuka hati di mana-mana.

Masjid Tanaeim kelihatan. Mereka turun, sembahyang sunat ihram dan berniat, lalu naik semula bas yang lain. Sedia menunggu.

"Jadi bangsa mana selepas ini memimpin dunia Islam? Semua bangsa sudah merasa sebagai peneraju rasanya,  kecuali Melayu!" Mohtashemi membuka perdebatan baru.

Saiful teringatkan pandangan professor Sayyid Naquib Al-Attas, kedatangan Islam telah merubah alam Melayu seluruhnya. Melayu berubah dari rangka mitos ke rangka fakta, akliah dan intelektualisme.

"Ingat surah Ali Imran ayat 140 - Dan hari-hari kejayaan itu dikurniakan kepada umat manusia dengan bergiliran." sambut Muneer.  Wajah campur Melayunya berseri-seri.

Saiful Izham terdiam. Sesak untuk menerima hakikat yang Melayu diharap-harap akan menjadi pemimpin umat Islam.  Dia terkenangkan bohsia dan bohjan di Kuala Lumpur.  Terbayangkan ratus ribu Melayu jadi penagih dadah di belakang lorong Haji Taib.

Takhta ulung


Tergambarkan sekian banyak penzinaan berlaku dan sekian banyak bayi dibuang.

Ciri-ciri tamadun unggul yang ditetapkan Ibnu Khaldun, Ali Shariati dan Malek Ben Nabi itu hampir tiada pada orang Melayu, dia berani berfikir begitu.  Biarlah nanti orang kata, dia pesimistik. Kejujuran tidak boleh ditutupi dengan kemunafikan dan solek hipokrit tebal.

"Banyak lagi yang perlu diperbaiki Melayu untuk mendapat takhta ulung itu.  Terlalu banyak..." Itu sahaja jawapan mampu diberi.

Bas bergerak, tidak jauh dari pusat sukan, ia membuat pusingan U sebelum tersangkak perlahan di hadapan pusat pemeriksaan Muslim. Sebelum itu mereka terpesona dengan reruntuhan tembok Zubaidah. Seketika tersekat di hadapan Musytasyfa Malik Abdul Aziz.

Bas mengambil Jalan Hassan Ibnu Thabit sekali lagi, langsung masuk ke bahagian Mekah yang sibuk.  Kedai kebab berderetan sebelum tiba di hadapan Pusat Panggilan Antarabangsa Andalusia. Bas memasuki 2nd Ring Road, di kanan apartmen mewah Ghailmah Tower teguh berdiri.

Bas meneran payah tergigil-gigil kala mendaki bukit kecil dengan hotel dan bilik kediaman murah sesak di kiri kanan.  Bas elok-elok turun tidak jauh dari pintu mengarah ke Bukit Marwah.  Seratus meter dari Maulid Nabi (tempat kelahiran Rasulullah) yang kini sudah dijadikan Maktabah (perpustakaan).  Mereka bergegas masuk ke Masjidil Haram. Takjub dengan keagungan Kaabah.

Senja merah jingga al-Haram selesai. Azan Isyak berdengung dilaungkan. Mereka terapung bahagia.

21 comments:

  1. Conclusion kisah senja di Masjidil-haram sebenarnya kalau diperhati betul-betul garapan cerpen indah ini. Kakak belum baca sebelum ini mestilah suka dan betul-betul menikmati dan menghayatinya.. Suka dan nampak ada realiti yg boleh kita nampak sebenarnya. Contoh currency RM berbanding SR sekarang ni. Duit kita semakin jatuh valuenya... banyak lagi kalau nak diulas

    ReplyDelete
    Replies
    1. cerita zaman ekonomi meleset tahun1997, nilai matawang lebih kurang sama dengan situasi sekarang...banyak yg boleh dipelajari dari cerpen ni..yg best boleh mengimbau kenangan di tanah suci..

      Delete
  2. rajin betul membaca cerpen... Huh... SS blogwalking pon dah rasa semput.... he he he...

    ReplyDelete
    Replies
    1. semuanya cerpen2 lama SS..sekarang ni dah lama x baca cerpen, betul tu, bergelut nk blogwalking, kalau boleh semua nk dibaca..

      Delete
    2. SS, jaga kesihatan, jgn semput.. haha..

      Delete
    3. haha...memang semput nak blogwalking..mencari masa..

      Delete
  3. entry terpanjang dan sabar jugak SB baca sampai habis..semput nyawa..boleh tahan, Nohas

    ReplyDelete
    Replies
    1. thanks sbb baca sampai habis..hehe..semoga ada manfaat..

      Delete
  4. latarnya simple je,just perjalanan ke miqat tapi ideologi dan persoalannya memang besar,cerita sebegini mengingatkan saya pada antologi cerpen suatu subuh yang bening...karya-karya unggul berlatarkan kehidupan biasa tapi membawa mesej yang sangat deep,zaman skrg tak taulah ada tak lagi antologi yang best macam tu,dah lama tak ikut perkembangan sastera

    ReplyDelete
    Replies
    1. yg dibincangkan topik besar - keruntuhan tamadun, siapa yg akan memimpin dunia Islam, digarap dgn background tanah suci Mekah..

      saya pun sama, dh lama x ikuti dunia sastera..

      Delete
  5. penulisnya memiliki pengetahuan yang luas . jadi garpannya nampak sempurna ... tamadun itu tak salah tapi manusia yang melaluinya terlebih batas kerana agama hanya dipinggir ... kiasan yg tajam bila direnungi ...

    ReplyDelete
    Replies
    1. bila tidak dilandasi dgn agama, manusia rakus merebut harta kemewahan, maka runtuhlah tamadun...teladan utk kita semua..

      Delete
  6. CERPEN YANG SANGAT MENARIK UTK DIHAYATI...MENGADAPT SIITUASI SEMASA DGN SEJARAH ISLAM YG GEMILANG..KAK CERPEN2 GINI BACA JER RETI TULIS XPANDAI..

    ReplyDelete
    Replies
    1. cerpen sebegini menarik utk dibaca, pelbagai ilmu dapat dipelajari...

      Delete
  7. rajin membaca cerpen..ada pengajaran terselit.. nilai RM sudah jatuh teruk

    ReplyDelete
    Replies
    1. cerpen lama, tahun 1997...byk pengajarannya disamping penceritaan suasana Mekah dan Madinah..

      Delete
  8. arghhh...respect tau dengan org yg boleh tekun baca novel or Cerita Pendek (CerPen) nih...kalau JM...baru 2 baris mata dh ngantuk!

    ReplyDelete
    Replies
    1. dah lama tak baca cerpen, JM...semua ni koleksi lama..

      Delete
  9. sis, ni kena baca pakai tablet sambil baring2 selesa atas katil dulu, baru boleh mendalami cerpen ni betul2... heheh ;3

    ReplyDelete
    Replies
    1. baring2 atas katil nanti terus zzzz...hehe...cerpen ni berat jg, tapi ditulis secara santai..

      Delete

Syukran jazilan for your comments. Merci beaucoup!