“Selamat
datang bulan yang akan membersihkan kami, bulan yang didalamnya semuanya baik,
puasa siang harinya dan bangun malamnya, sedekah dalam bulan ini sama dengan
membelanjai perjuangan jihad fisabilillah”
Begitulah
kata-kata aluan Sayidina Umar Ibnu Khattab bila menyambut kedatangan fajar
Ramadhan. Gembira dan rindu serta
terharunya hati orang-orang soleh menunggu kedatangan Ramadhan dengan penuh
debar kerana mereka masih lagi berpeluang menghirup udara Ramadhan yang penuh
berkat.
Sesungguhnya
syurga telah diperhias setiap tahun ketika masuk bulan Ramadhan. Pada malam pertama Ramadhan, datang angin
dari bawah Arasy yang bernama ‘Al Mutsirah’ menggoyang-goyangkan daun-daun
syurga dan menggerak-gerakkannya sehingga terdengar oleh bidadari dari jendela
atas syurga dan berseru:
“Siapakah
yang meminang kepada Allah untuk dikahwinkan dengan seorang dari kami?”
Kemudian
bidadari itu bertanya kepada malaikat Ridhwan.
“Ya Ridhwan,
malam apakah ini?”
Jawab
Ridhwan, “Inilah malam pertama dari bulan Ramadhan”
Kemudian
Allah berfirman: “Ya Ridhwan, bukalah pintu-pintu Syurga untuk orang-orang yang
berpuasa dari umat Muhammad SAW”.
Dan Allah
berfirman pula kepada malaikat Malik: “Ya Malik, tutuplah pintu-pintu Neraka
Jahim untuk orang-orang yang berpuasa dari umat Muhammad SAW.”
Itulah
diantara kelebihan bulan Ramadhan yang di dalamnya terdapat amalan puasa. Puasa ibadah yang dituju khusus kepada Allah
sebab ianya merupakan rahsia batin. Seseorang itu boleh meninggalkan makan
minum dan tidak menurut hawa nafsunya bila tidak dilihat orang, tetapi melalui
puasa seseorang itu sanggup meninggalkan makan, minum dan mengekang nafsu
walaupun bersendirian. Oleh sebab puasa
merupakan amalan kebatinan yang menuntut keikhlasan melakukannya untuk mendapat
ganjaran yang dijanjikan Allah sebagaimana firmanNya:
“Semua amal
anak Adam dilipatgandakan dari sepuluh sampai tujuh ratus, kecuali puasa. Maka
puasa itu adalah untuk-Ku dan Aku akan membalasnya, ia meninggalkan syahwat,
makan dan minum keranaKu dan puasa itu sebagai perisai”
Bulan
Ramadhan juga bulan yang dirindukan kerana setiap amalan yang dilakukan di
dalam bulan ini akan dilipatgandakan pahalanya oleh Allah. Amalan sunat yang dilakukan di dalam bulan
ini akan diberi pahala menyamai pahala fardhu pada bulan yang lain dan setiap
amalan fardhu yang dikerjakan didalam bulan yang mulia ini akan dilipatgandakan
menyamai pahala 70 fardhu pada bulan yang lain.
Berpuasa
mendatangkan kegembiraan, ketenangan dan kelapangan hati disamping mendapat
pahala keampunan dari Allah SWT sebagaimana sabda Nabi SAW:
“Orang yang
berpuasa itu mempunyai dua kegembiraan.
Kegembiraan pertama ketika masa berbuka puasanya dan kegembiraan yang
kedua ialah ketika menemui Tuhannya.”
Sumber: Buletin
Qariyah 1996, Masjid Darul Ehsan, Subang Jaya