Assalamualaikum, salam Jumaat..
Alhamdulillah, dah masuk hari ke-11 bulan Ramadhan. Dah 11 hari kita berpuasa. Bagaimanakah kita melayan Ramadhan?
Artikel dibawah ni ditulis oleh saudara Hilal Asyraf. Saya baca entry ni dalam blog beliau, Langit Ilahi. Tak ingat tahun bila, rasanya tahun 2010-2011. Sebab artikel ni menarik, saya copy dan simpan dalam word untuk bacaan di masa depan.
Siapakah Hilal Asyraf? beliau ialah penulis terkenal. Masa dia tulis entry ni, beliau masih lagi pelajar di Universiti Yarmouk, Jordan.
Sudah 10 tahun dalam simpanan, hari ni saya terbitkan semula, harap dihalalkan.
Semoga bermanfaat.
---------------------------------------------
Ramadhan sudah
mula masuk ke belasan.
Rasa sekejap
waktu berpapasan.
Atas kepantasan
waktu ini saya teringat akan satu ucapan. Ucapan Sheikh Muhammad Audeh
Al-Hawari, pakar bidang Hadith di Yarmouk yang menjadi khatib pada hari ke-7
Ramadhan tahun lepas.
Saya masih
ingat bagaimana bulu roma saya menegak ketika itu memikirkan ucapannya.
Seakan-akan
bicaranya adalah jarum-jarum yang ditembak menusuk jiwa.
“7 hari telah
berlalu, seminggu telah berjalan. Wahai hamba Allah, apakah yang telah kamu
buat dalam Ramadhan ini?”
Apakah yang telah kamu lakukan dengan harta?
Sheikh Muhammad
Audeh Al-Hawari menyeru lagi ketika itu:
“Allah telah
memberikan kamu harta. Harta kamu adalah milik Allah SWT. Bukan kepunyaan kamu,
bukan kepunyaan bapa kamu atau datuk kamu. Maka wahai hamba Allah, apakah yang
kamu telah lakukan terhadap harta kamu dalam Ramadhan kamu ini?”
Apakah yang
telah kita lakukan dengannya?
Biasanya
kesenangan membuatkan kita lupa. Wang hanya kita lihat sebagai untuk
menyeronokkan diri kita sahaja. Menyedekahkannya kelihatan satu kerugian,
memberikannya kepada yang memerlukan dilihat seakan satu kekurangan.
Sedang bulan
Ramadhan yang mulia ini Allah janjikan pelbagai ganjaran bagi mereka yang
beramal. Dan salah satu amal yang boleh diusahakan adalah sedekah.
Apakah kita
telah bersedekah sepanjang 11 hari yang telah berlalu ini?
Apakah yang telah kamu lakukan terhadap makanan?
Sheikh Muhammad
Audeh Al-Hawari menyeru lagi ketika itu:
“Wahai hamba
Allah, Allah memberikan kamu makanan. Kamu makan. Tapi adakah kamu berkongsikan
makanan kamu itu dengan orang lain? Apakah yang telah kamu lakukan dengan
makanan kamu pada bulan ini?”
Sepanjang dua
tahun saya belajar di Jordan, saya tidak pernah dapat menikmati bazar Ramadhan.
Terbiasa dengan keadaan itu, Ramadhan di Malaysia kali ini, tidak pernah sekali
saya menjejakkan kaki ke bazar Ramadhan. Bukan kerana membenci, tetapi takut
saya zalim terhadap makanan dan terkeluar pula saya daripada tujuan sebenar
Ramadhan.
Kita beli itu
ini, berdasarkan kelaparan yang menguji, tetapi tidak habis makanan-makanan
yang kita beli. Atau jika habis pun, makanan-makanan itu tidak menjana kekuatan
untuk bangkit berdiri solat beramal ibadat. Bahkan melemahkan.
Jangan cerita
berkenaan memberikannya kepada orang lain.
Jauh sekali.
Apa yang telah
kita lakukan terhadap makanan-makanan kita di bulan Ramadhan ini?
Apakah yang telah kamu lakukan terhadap masa?
Sheikh Muhammad
Audeh Al-Hawari berkata lagi:
“Wahai hamba
Allah, Allah memberikan kamu masa, dan masa itu sentiasa berlalu. Apakah yang
telah kamu lakukan dengan masa kamu dalam bulan ini?”
Kita kelaparan,
keletihan, dan merasakan kita sudah mati akal hendak melakukan apa lagi. Lantas
kita memilih untuk menghabiskan masa dengan tidur. Lebih teruk lagi, ada
kalangan kita mengisi masa dengan bermaksiat walaupun di tengah Ramadhan.
Masa habis
dengan bersembang, masa habis di hadapan permainan komputer/video, masa habis
menonton drama dan movie, dan begitulah masa-masa berlalu.
Sedangkan
Ramadhan ini rahmat Allah mencurah-curah setiap saat.
Apakah yang
telah kita lakukan terhadap masa kita di bulan Ramadhan ini sepanjang 11 hari
ini?
Apakah kita
mengisinya dengan baik?
Apakah yang telah kamu lakukan dengan amal ibadat?
Sheikh Muhammad
Audeh Al-Hawari berkata lagi:
“Wahai hamba
Allah, Allah telah memfardhukan kamu solat, maka apakah yang telah kamu lakukan
terhadap solat-solat fardhu kamu? Ketahuilah bahawa Tarawih itu sunnah, sedang
Isya’ dan Fajar itu adalah wajib. Apakah pantas untuk kamu mendirikan tarawih
tetapi melewatkan isya’ dan mengakhirkan fajar? Ketahuilah bahawa Isya’ dan
Fajr itu datang dahulu sebelum tarawih”
Kadangkala, ada
sebahagian kita terlalu teruja melaksanakan ibadah sunat di bulan Ramadhan
hingga mengenepikan kualiti ibadah fardhu. Kita tersilap kerana memandang Ramadhan
sebagai adat. Sebagaimana orang yang berhenti merokok di waktu siang tetapi
merokok pula di waktu malam. Sedang rokok adalah haram 24 jam.
Kita nampak,
kalau tak tarawih, maka sama macam tak puasa. Sedangkan kalau meninggalkan
solat fardhu dengan sengaja, kita merasa tidak mengapa.
Inilah dia
celupan yang silap dan kefahaman yang bengkok.
11 hari telah
berlalu, apakah kita menjaga dan mempercantikkan amalan kita?
Apakah yang telah kamu lakukan terhadap Al-Quran?
Sheikh Muhammad
Audeh Al-Hawari menyeru lagi:
“Ramadhan
adalah bulan Al-Quran wahai hamba Allah. Wahai hamba Allah, maka apakah yang
telah kamu lakukan kepada kitab RABB kamu ini? Adakah kamu mempercantikkan
bacaan kamu? Adakah kamu menghayati isinya dalam kehidupan kamu?”
Bagaimana 11
hari yang lepas ini? Bagaimana kita melayan Al-Quran? Adakah sekadar berusaha
mengkhatamkannya, tetapi tidak memperdulikan tajwidnya?
Sedang
menghabiskan bacaan 30 juzu’ Al-Quran di dalam bulan Ramadhan hanyalah sunat,
manakala membacanya dengan bertajwid adalah wajib. Yang manakah kita dahulukan?
Persoalan yang
lebih menarik, apakah kita menyentuh Al-Quran sepanjang Ramadhan ini telah
berjalan? Atau kita langsung tidak pernah membacanya?
Adakah kita
sekadar hendak membacanya hingga habis, tetapi tidak mahu mengambil pengajaran
darinya walau secebis?
Perhatikan,
perhatikan.
Apakah yang
telah kita lakukan terhadap Al-Quran?
Penutup: Apakah kita bermuhasabah untuk melayani Ramadhan kita?
MasyaAllah.
Bagaimanakah
kita melayan Ramadhan?
Sambil lewa?
Jika benar
teliti, maka kita akan bermuhasabah akannya. Melihat kembali layanan kita
kepadanya. Dan berusaha agar esok lebih baik daripada hari ini.
“7 hari telah
berlalu, seminggu telah berjalan. Wahai hamba Allah, apakah yang telah kamu buat
dalam Ramadhan ini?”
Aaaah… masih
terngiang-ngiang.
Moga Allah
membenarkan kita melayani Ramadhan sebaiknya.