Tuesday, 23 March 2010

Bukan Sekadar Novel













"Don't judge a book by its cover".

Memang benar pepatah inggeris ini. Pertama kali baca tajuk buku comel ini, hati langsung tidak tertarik 'Tribute buat Nenda". Hati berkata-kata "ini mesti kisah penulis dengan neneknya". Lantas rasa malas nak beli.

Pada Maal Hijrah 1431, bersua lagi dengan buku ini. Kali ini penjualnya bersungguh-sungguh menyuruh saya beli. "Beli kak, tak rugi, kak. Saya gerenti akak mesti suka buku ni. Kalau akak tak suka, saya boleh pulang balik duit akak". Wow, ayat power. Terus beli. Allah SWT jua yang membolak-balikkan hati, Alhamdulillah.

Subhanallah, bila start baca, terus jatuh cinta. Memang benar taglinenya, buku ini 'bukan sekadar novel'. Ya, bukan sekadar novel, tetapi sebuah memoir perjalanan seorang insan dan diselit dengan buah-buah ilmu untuk muhasabah diri.

Memetik tulisan Prof. Dr Rahman Shaari dari Universiti Malaysia (di kulit belakang buku), karya Ustaz Rashidy Jamil Muhammad Ar Rashid ini menggunakan Konsep Persuratan Baru (Gagasan Mohd Affandi Hasan). Konsep ini membawa makna persembahan karya yang tidak mengutamakan cerita tetapi menekankan ilmu.
Ilmu yang disampaikan secara bersahaja tetapi menyentuh perasaan. Bisa mengalirkan air mata. Tidak jemu diulang-ulang bacaannya.

"Hati..Disinilah jatuhnya pandangan Rabb. Kilang janaan cinta pada Pencipta Cinta. Yang dengannya Mahabbah itu dijana sedikit demi sedikit sehingga akhirnya dipenuhi dengan Halawah Iman. Lantas ketika itulah hati akan terfaham terhadap hakikat bagi sebuah kehidupan"

Artikel-artikel dalam buku ini diselit juga beberapa kata-kata hikmah Syeikh Ibnu A'thoillah dari Kitab Al-Hikamnya:

1) Jangan merasa gembira di atas perbuatan taat kerana engkau merasakan ia telah dapat dilaksanakan, tetapi gembiralah kerana Allah telah mengurniakan hidayah dan petunjuk sehingga engkau dapat melaksanakan ketaatan itu.

2) Boleh jadi Allah mengurniakan satu nikmat kepadamu tetapi Dia menghalangmu kepadaNya dan boleh jadi dia menghalang satu nikmat kepadamu tetapi mengurniakan taufik dan hidayat kepadaNya.

3) Jangan meninggalkan Zikrullah! Kerana (bukankah) kamu tidak dapat mengingati Allah sepenuhnya walaupun sedang berzikir. (Oleh itu) lalai bagi orang yang langsung tidak berzikir (adalah lebih bahaya) dari mereka yang lalai ketika (tetapi masih dalam) berzikir.

4) Sebaik-baik saat di dalam hidupmu ialah ketika engkau menyedari kekurangan diri dan engkau kembali kepada kerendahan dirimu.

5) (Ketahuilah) Sesiapa yang memujimu (kerana kebaikan yang ada padamu) adalah semata-mata kerana betapa bijaknya Allah menutup aib yang ada padamu. Maka pujilah kamu (yang menerima pujian) kepada Allah yang telah menutup aibmu itu, bukannya kamu mengembalikan pujian tersebut pada mereka yang memujimu dan berterima kasih padamu.

6) Sebaik-baik yang patut kamu mohonkan dari Allah ialah kemampuan untuk melaksanakan ketaatan terhadap apa yang telah Allah perintahkan.


Dapatkan di pasaran, anda pasti tidak akan menyesal..

Wednesday, 10 March 2010

Hayati Akhlak Mulia

Selak-selak buku-buku lama, ada banyak nota-nota yang terselit sana-sini. Sebelum melupuskan kertas-kertas tersebut untuk menjadikan bilik sedikit 'paperless', baiklah mengabdikan coretan-coretan tersebut di alam maya. Nak buang begitu saja, rasa sayang pula. Nak simpan, rasa malas. Semoga ada manfaat.

Umat yang berjaya adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai ciri-ciri akhlak mulia. Umat yang sedemikian akan dapat membangunkan tamadun yang tinggi dan dihormati sebagaimana terbukti di zaman Rasulullah SAW. Masyarakat yang menghayati dan mengamalkan ciri-ciri akhlak mulia akan hidup dalam keadaan aman dan menikmati kestabilan politik, kemantapan ekonomi dan kesejahteraan social.

Ahmad Shauqi, seorang pujangga Arab pernah mencipta kata-kata bidalan, “kemuliaan bangsa bukanlah dari binaan-binaan yang indah, bila akhlak dan budi mereka rosak terdedah.”

Imam Al-Ghazali memberi takrif akhlak sebagai "suatu sifat yang tertanam dan sebati dalam jiwa seseorang yang melahirkan tingkah laku dengan mudah secara spontan, yakni tanpa berhajat kepada pemikiran. Jika yang lahir itu tingkah laku yang baik dan terpuji menurut akal, itulah akhlak yang mulia."

Menurut Islam, dasar akhlak itu hendaklah bersumberkan tiga perkara:
* Pengajaran dan teladan daripada kitab suci Al-Quran
* Pengajaran dan contoh teladan daripada Rasulullah SAW
* Segala perbuatan baik menurut pertimbangan akal fikiran yang sihat berdasarkan tempat, keadaan dan waktu serta tidak bercanggah dengan dasar-dasar agama.

Tujuan tertinggi agama dan akhlak ialah mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat. Agama Islam adalah sumber terpenting bagi akhlak Islam dan faktor terpenting yang mempengaruhi pertumbuhannya.

Konsep akhlak dalam Islam terbahagi kepada tiga bahagian iaitu:
* Akhlak terhadap Allah SWT
* Akhlak terhadap sesama manusia
* Akhlak terhadap makhluk selain daripada manusia

Manusia yang baik adalah individu yang berakhlak, bermoral serta beradab mulia. Ia dapat dilahirkan menerusi pendidikan Islam.

Sumber: JAKIM & YPEIM