Assalamualaikum, apa khabar semua? Yang sihat walafiat, Alhamdulillah. Yang sakit pun, Alhamdulillah. Banyak hikmah bila sakit ni..mai nak cerita..
Bila kita diuji dengan sakit, menunjukkan kita itu hamba Allah yang lemah lagi tidak berdaya. Setelah lama sihat, kita diuji dengan sakit atau kesusahan. Jadi sebagai hamba kita patut menerima ujian Allah itu, tidak kira apa bentuk dan jenisnya. Kita tidak boleh protes dan buruk sangka dengan Allah swt. Dia yang mencipta kita dan Dia berhak menguji dan menduga kita. Hakikatnya diri kita ini adalah milik Allah swt yang Maha Sempurna dari segala kekurangan dan cacat cela.
1. Bila diuji dengan sakit, sebenarnya Allah swt hendak menguji sifat sabar kita. Bila tidak sabar, bermakna kita protes ujian dari Allah. Namun nak sabar bukan senang. Mula-mula kita kena latih diri untuk bersabar. Bukan serta-merta dapat bersabar. Antaranya kena faham dan tahu apa akibat dan kesan dari tidak sabar. Kena latih diri bersabar dalam perkara-perkara yang kecil dahulu. Mengambil teladan dan iktibar dari kisah-kisah orang-orang soleh. Mungkin kita belum dapat betul-betul bersabar kerana kita juga belum betul-betul beriman.
"Perbandingan antara orang yang mengingati Tuhannya dengan orang yang tidak mengingati Tuhannya ialah seperti orang yang hidup dengan orang yang mati"
Sabda Nabi saw: Ajaib sekali gaya hidup orang mukmin. Semua urusan hidupnya baik belaka. Apabila diuji (Allah) dengan nikmat (kegembiraan) dia bersyukur, dan apabila diuji (Allah) dengan penderitaan (kesakitan, kesusahan dan seumpamanya) dia dapat bersabar". Kerana itu kita mesti terus berlatih bersabar dalam segala hal kalau kita mahu dikurniakan Allah nikmat syurga tanpa hisab di akhirat nanti. Kalau kita dapat bersabar, sudah pasti Allah mengatakan kepada kita : "Kalau engkau tidak bersabar dengan ujianKu, engkau carilah Tuhan selainKu".
2. Bila ditimpa sesuatu musibah atau penyakit, kita disuruh dan diperintah Allah untuk mencari jalan penyelesaian. Bukan berpeluk tubuh sahaja. Pendek kata, kita wajib berusaha kuat kalau mahu berjaya. Kita wajib berubat kalau kita sakit. Berdosa kalau kita tidak berusaha merawat sakit yang kita alami kerana setiap penyakit ada ubat kecuali mati. Dalam pada itu, kita harus berpegang dan berkeyakinan bahawa kita hanya berusaha mencari ubat dan penawar. Penyembuh sebenarnya adalah Allah swt.
3. Ujian atau cubaan Allah swt ke atas hamba-hambaNya itu ada tujuannya. Islam mengajar kita bahawa ujian sakit (tidak sihat) dan sebagainya itu bermaksud untuk menghapuskan dosa atau peningkatan darjat di sisiNya. Dalam kes kematian, contohnya, ada dua bentuk kematian. Mati didahului sakit panjang dan mati terkejut. Walaupun kematian kita menjadi ilmu dan rahsia Allah swt, Nabi saw mengajar kita berdoa agar Allah melindungi kita dari mati terkejut. Kenapa dan mengapa? Kerana mati jenis ini berbahaya. Selalunya kebanyakan manusia berada dalam keadaan lalai dan tidak bersedia dengan taubat dan amalan. Dia mati dalam keadaan dosanya tidak diampunkan Allah.
Berbeza mati dengan didahului oleh sakit lama (panjang), manusia yang berfikiran waras akan insaf dan sedar lalu memperbanyakkan taubat serta istighfar kepada Allah swt. Bahkan sakit yang dideritainya sekian lama itupun bertujuan untuk menghapus dosa-dosanya. Beruntunglah sekiranya kita diberi peluang begini oleh Allah.
4. Bila diuji dengan sakit, mendidik kita untuk bersyukur dan menghargai nikmat kesihatan. Bila sakit barulah kita tahu apa itu harga kesihatan. Wang dan harta bukan lagi keutamaan. Kerana itu Nabi saw berpesan: "jagalah masa sihat sebelum datang masa sakit". Semasa sihat, marilah sama-sama kita meningkatkan amal ibadat, iman dan taqwa kita kepada Allah. Semasa sihat, marilah kita memperbanyakkan bekalan untuk hari yang panjang di hadapan.
5. Bila satu anggota kita sakit, seluruh badan kita turut rasa sakitnya. Bila badan demam, seluruh anggota lain pun turut kena berjaga malam. Inilah diantara pengajaran dan hikmah yang besar yang mahu diajarkan Rasulullah saw kepada kita.
Beginilah sepatutnya kesatuan, ukhuwah, persaudaraan dan kasih sayang seluruh umat Islam di suatu tempat (jiran, kampung, daerah, kawasan, negeri, negara) ditimpa masalah, ujian dan kesulitan, maka umat Islam di tempat-tempat lain bingkas dan tampil menolong, membela dan mempertahankannya. Kesusahan yang menimpa mereka terasa bagai menimpa batang tubuh kita juga. Apabila mereka ditimpa penderitaan, kita juga turut rasa menderita. Lalu bantuan dan pertolongan akan dihulurkan. Dalam bentuk apa sahaja. Paling kurang mendoakan keselamatan dan kesejahteraan mereka, Inilah roh persaudaraan Islam. Inilah lambang dan syiar keimanan. Inilah buah ketaqwaan. Inilah tuntutan kalimah dua syahadah.
Sesungguhnya, umat Islam apabila tidak bersatu, mereka umpama lidi penyapu yang berserakan. Sebaliknya sekiranya mereka bersatu, mereka umpama lidi-lidi yang disatukan menjadi penyapu yang kuat lagi mampu menyapu segala kekotoran dan sampah sarap.
Selagi kita teguh berpegang dan berpandukan Al-Quran dan Sunnah Nabi saw, perasaan, kefahaman, kesedaran dan penghayatan ini tidak akan kemarau dari jiwa kita. Tidak akan lenyap dari sanubari kita. Tidak akan luput ditelan zaman.
--------------------------
Artikel diatas diambil dari pamphlet Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan. Semasa mengemas bilik, tengok banyak pula pamphlet2 lama yang tersimpan, nak dibuang begitu saja, rasa sayang pula, let's share it online.
*Menziarah orang sakit ni banyak pahalanya, InsyaAllah dan juga merupakan hak seorang Muslim kepada saudara Muslimnya* Semoga bermanfaat.