Thursday, 14 May 2015

Diharamkan? meh baca 'Senja Haram'

Assalamualaikum...

Berita hari Selasa 5 Mei 2015: 
Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan penerbitan empat buku tulisan penulis kontroversi Faisal Tehrani kerana ia didapati mengandungi unsur-unsur penyebaran ajaran Syiah dan bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Buku berkenaan ialah 'Sebongkah Batu di Kuala Berang', 'Karbala' 'Tiga Kali Seminggu' dan 'Ingin Jadi Nasrallah'. (sumber: Bernama)

Faisal Tehrani diantara penulis kegemaran saya. Buku-buku beliau yang saya ada cuma 'Tuhan Manusia' dan 'Cinta Hari-Hari Rusuhan' je, yang empat tu takde ye.

Entri kali ni, saya nak habiskan koleksi cerpen yang ada dalam simpanan. Kebetulan pula ianya hasil kreatif Faisal Tehrani. Tajuknya Senja Haram. Disiarkan dalam Mingguan Malaysia bertarikh 16 November 1997. 

Cerpen pembangun jiwa ni panjang juga, tapi sangat menarik dan menggembirakan minda. Sarat dengan ilmu. Hopefully, dapat baca sampai habis. Sambil baca, boleh mengimbau kenangan di kedua-dua Tanah Haram. Bagi yang belum pernah pergi, semoga mendapat rezeki ke sana. Amin..

Cerpen lain yg ada dalam blog ni: Bulanku di Stella Oceanis, Pedusi Sahmura dan Bintang Seorang Rafik. Enjoy..

---------------------------------------------------------

Senja itu, fikir Saiful Izham, dia cuma mahu meladeni fikiran yang melarat.  Kesal juga berlama-lamaan di pasar kurma.  Memang tidak membawa wang begitu banyak.  RM pun jatuh merudum. Sejak awal-awal lagi matlamatnya cuma beribadat dan bertaubat habis-habisan.  Sebab memikirkan ramai yang tahu dia ke sini, dia gagahi juga membeli beberapa jenis tamar.  Ada tamar sukari, deglat, sefri, syukulat, ambar dan tentu sekali tamar baginda Rasul - si ajwa yang lemak manis.  Layan benar nafsu membeli, hampir-hampir terlepas solat Maghrib berjemaah.

Dari dataran Masjid Nabi, angin kering panas menerpa memecah-mecahkan bibir dan tapak kaki. Kulit merekah di sana sini.  Kubah hijau tersergam hebat, dia dapat melihat dari sini, makin ramai manusia berpusu-pusu menziarahi makam Rasulullah yang bersebelahan dengan makam Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar.

Tiang-tiang kubah mekanikal tegak bersusun-susunan. Dia membayangkan kalau kubah itu dikembangkan tentu beregis-regis cantik.  Besarnya Masjid Nabi ini, sudah merebak-rebak hingga ke perkuburan Baqi'.

Imannya bergoncang hebat di sini.  Rasa kecil memikirkan semua yang berlaku. Setiap bukit, pohon, pasir dan kerikil merakam sejarah, ia mencatat sirah Nabawiyyah.  Pagi tadi, ketika dibawa ke Uhud, dia menahan sebak.  Uhud adalah kisah keimanan yang tiada tolok banding. Kisah kepatuhan, pengorbanan diri dengan keluhuran jiwa dan kemulusan perasaan teragung.
 
Terbayang-bayang Mus'ab bin Umair, teruna manja hidup mewah, mendadak diberi hidayah memeluk Islam. Kekayaan itu direntap ibunya yang kufur.  Dia lantas hidup sederhana, terlalu sederhana dengan keimanan hingga tatkala syahidnya di medan Uhud, jenazah mulia itu terpaksa dikebumikan dengan ditutupi rerumput idhkir di atas kaki.

Juga dia lebih tersedu mengenangkan Abu Dujanah menjadikan tubuhnya perisai melindungi Rasulullah hingga tertusuk-tusuk oleh anak-anak panah musuh di belakang badan.

Lebih haru tentulah kisah kesyahidan Saidina Hamzah yang jantung dan paru-parunya dikorek dan dimamah-mamah Hindun.  Akan tetapi saban masa, fikirnya, berpusu-pusu umat Islam menunaikan haji atau umrah dan melengkapi dengan ziarah, tiada hasil, tiada natijah.  Bila pulang tiada sedikit pun kesan jihad pada diri baginda itu terpalit bersama

Mengutip teladan

Mereka datang dan pergi tetapi lalai mengutip teladan serta pengajaran di kota Rasul ini.  Akan ke manakah Muslimin? Bukankah Iqbal, penyair agung itu ada mencatat betapa kasih cinta kita makin berkurangan terhadap Nabi Muhammad.

Senja itulah, kala Saiful Izham sedang larut mengenal-ngenal dan merasa-rasa detak jiwa umat, dia ditegur Mohtashemi, pemuda Iran yang rupa-rupanya beberapa lama memerhatikan diri penuh minat. Kemudian, dalam penerbangan dari Madinah ke Jeddah, dalam ihram untuk ke Mekah, sempat pula berkenalan dengan pasangan Melayu Afrika Selatan yang baru berkahwin dua minggu.  Muhammad Muneer dan Shereen. Kacak dan jelita, sama-sama padan.

Senja inilah, selepas dua tiga hari di Masjidil Haram, ulang-alik menginap di Makkah Hilton yang agam gah itu, mereka bertemu semula bagai saudara. Sedang fikiran Saiful masih pergi datang dan perca-perca sejarah umat Islam sekejap singgah menjengah dan lari tergesa. Dalam benak terbayang cemuhan dan penghinaan diterima Rasulullah sebelum hijrah.

Seketika terkesima diusik gambaran ngeri pemberontakan rakyat Mesir, hingga mereka membunuh khalifah ketiga, Saidina Uthman. Larut diterjah peristiwa serangan tentera Tartar ke atas empayar Islam.  Dia pedih luar dalam.  Ketika terngiang-ngiang bacaan merdu tinggi rendah dan sesekali pekik Imam Sudaisi yang mencuit-cuit hati, itulah mereka bagai tidak percaya boleh berjumpa lagi. Langsung ke telaga zam-zam bersama-sama dan senja esok berjanji untuk mengerjakan umrah bersekali.

Sekarang, senja di al-Haram.  Mereka menunaikan permuafakat semalam. Mereka ambil bas Saptco dua tingkat ke Tanaeim untuk berniat ihram. Setelah Maghrib, bergegas ke stesen bas di bahagian kanan Hilton. Bas akan melalui jalan At-Tayseer.  Tidak jauh, istana Ajyad memandang mereka.

Mohtashemi, pelajar Usuluddin di Qom Muqaddasa, tinggi tegap, hidung mancung dan kulit kemerah-merahan dengan jambang halus-halus.

Entah mengapa mengingatkan Saiful kepada pelakon Antonio Banderas. Muneer meninggalkan isteri bertawaf sunat di Haram.  Tinggi hampir menyaingi, bercakap laju dan selalu membetulkan cermin mata - lebih kepada acuan lelaki India dari Melayu - bisik resik dalam hati. Mungkin sahaja Melayu kacuk akar itu kacuk akar ini, hingga 'Melayu'nya kurang pekat terpancar di wajah.

Dalam perjalanan ke Tanaeim yang sepatutnya pendek, tetapi jadi panjang kerana bas mengambil pelbagai jalan dan membelok masuk berbagai-bagai simpang - Mohtashemi si provokatif, memilih topik tamadun atau umat Islam bahagian mana akan menerajui Islam selepas ini - tajuk perbincangan yang menarik tetapi jadi kecamuk buat Saiful yang suka berkhayal mengembara ke zaman-zaman belakang.  "Bagaimana membina tamadun baru yang betul-betul bertenaga?" tanya Muneer.


bersambung..stay tuned untuk debat panas tapi berilmiah..

18 comments:

  1. Best juga cerpen dia... dulu2 saya memang kaki novel... sejak dah ada anak ni semua tu dah tertinggal di belakang.

    ReplyDelete
    Replies
    1. mengurus anak dan keluarga lagi afdal, masa lapang semakin kurang..sesekali dapat membaca mesti best kan...cerpen FT ni yg saya ada, dia ada menulis di majalah Intrend..

      Delete
  2. Membaca kisah dari paparan tempat yg semuanya pernah kakak jejaki membuat kakak terkenang dan menerawang ketika menunaikan ibadah haji juga ibadah umrah baru-baru ini. Rindu menggamit jiwa...

    ReplyDelete
    Replies
    1. bila baca cerpen ni mesti terkenang memori di Mekah dan Madinah..

      Delete
  3. Replies
    1. dulu minat, sekarang dah kurang..dah lama x baca cerpen..4 cerpen dlm blog ni semuanya yg lama2..

      Delete
  4. lama tak baca cerpen..best juga baca online macam ni

    ReplyDelete
    Replies
    1. saya pun sama, dah lama tak baca cerpen, ini semua cerpen lama..

      Delete
  5. penulis ada pengalaman di tanah haram . mudah utk dia menjadikan tanah haram sebagai background cerita ...

    ReplyDelete
    Replies
    1. ya, betul..satu garapan yg baik..tempat2 dan message yg nak disampaikan..

      Delete
  6. cerita yg menarik.. rindu nak ke rumah Allah semakin membuak2

    ReplyDelete
    Replies
    1. In shaa Allah, sooner or later, sudah ada niat, semoga dipermudahkan..

      Delete
  7. Allahuakbar...
    padu...
    bagus lah sis nohas sbb share dgn kami novel ni...

    Sgt lah betul.... beza perjalanan ke haram antara orang berilmu dgn yg x berilmu...

    Bila peegi dlm keadaan tahu sejarah peejyangan rasulullah s.a.w. mmg ziarah kita ada "soul"...
    Sebak terasa mngenang perjuangan rasulullah s.a.w dan para sahabat...
    berbanding kerakusan dan ke tamakkan manusia hari ini...

    Kebas sampai ber billion2... huhuhu...
    perut ada 1 (bukan mcm perut lembu ada 4)...
    Mulut pun ada 1... jasad diri ada satu...
    justeru apa niat mu mngebas sampai begitu sekali...

    Allahuakbar...

    ReplyDelete
    Replies
    1. memang betul,..berbeza perjalanan di tanah haram bg mereka yg tahu dgn yg tak tahu sejarah Islam..yg tak tahu, mereka melihat yg tersurat, fizikal sahaja..yg tahu, mereka melihat yg tersirat, kisah2 perjuangan, sirah Rasulullah..

      Rasulullah saw sebagai pemimpin agong hidup dlm keadaan sederhana, begitu juga para sahabat, harta benda, diri sendiri disumbangkan utk perjuangan agama..tetapi pemimpin kita, terlalu jauh bezanya..'ibarat langit dgn bumi'..menggunakan kuasa, kedudukan, mengumpul harta kekayaan..berbillion2..can't imagine brp byk kosong-kosong..perghh..senang lenang 7 keturunan..

      Delete
  8. Replies
    1. rakyat M'sia yg ambik tahu isu ni, dia mesti emo..

      Radix malorum est cupiditas - "greed is the root of evils"

      Delete
  9. Permainan bahasanya menarik... membuat si pembaca tak jemu membaca hingga ke sudah.

    ReplyDelete
    Replies
    1. ya, betul..olahan bahasa yg menarik digabung dgn penceritaan brbntuk narator..suka2..

      Delete

Syukran jazilan for your comments. Merci beaucoup!