Friday, 15 May 2015

Senja Haram: the Debate

Sambungan cerpen Senja Haram..

Mencipta tamadun

"Bagaimana membina tamadun baru yang betul-betul bertenaga?" tanya Muneer.

"Lihat dari kaca mata Shariati?" kata Mohtashemi.

"Ali Shariati? Sosiologis Iran?" tanya Saiful bersungguh.

"Dua syarat penting untuk betul-betul mencipta tamadun jaya."

"Apa?" Muneer tidak sabar.

Jalan-jalan yang dilalui bas ini, nyata sempit, gelap dan lampu-lampu jalan tidak berfungsi di kiri kanan.  Bas melepasi Sekolah Rendah Al-Saidah di kanan.  Kedai-kedai makan terasing hidup segan. Tetapi di musim haji tentu hidp berani.  Bengkel kereta, kedai gunting rambut kurang sibuk.

"Pertama, fenomena migrasi atau hijrah. Ingat Nabi kita berhijrah ke Madinah untuk membina masyarakat baru. Sebelum itu umat Islam berhijrah ke Habsyah. Kedua-duanya, Ali Shariati melihat faktor manusia itu sendiri, mendasar kepada ayat al-Quran yang bermaksud: Tuhan tidak akan merobah nasib sesuatu kaum, jika mereka sendiri tidak mahu merubahkannya."

Saiful sedih pedih mengenangkan Saidina Uthman yang membeli telaga Raumah untuk minuman Muslimin dan membeli tanah untuk meluaskan masjid Nabi dikepung kejam pemberontak.  Khalifah tua itu dan keluarganya dihalangi dari keluar rumah.

Bekalan air putus.  Ummul-mukminin, isteri Nabi, Habibah Abi Sufyan yang datang menatang air sejuk dipukuli muncung keldainya dan tali pelana diputuskan.  Nyaris jatuh tersungkur.

Dan rupa-rupanya benteng dari kalangan Abdullah bin Umar, Abdullah bin Zubair dan cucu-cucu Rasulullah, Hassan dan Hussain tidak bisa lagi menahan pembunuhan ke atas sahabat Nabi yang dijanjikan syurga itu.

"Ibnu Khaldun menekankan pegangan kepada agama ialah unsur paling utama dalam mencipta sebuah tamadun. Usia tamadun itu akan lebih terjamin lama jika penghayatan terhadap agama lebih kuat.  Juga, kemewahan yang dinikmati boleh merosakkan tamadun kalau tiada 'moral order' berkuasa untuk mewarasinya."

Suara Muneer menyentak Saiful ke alam nyata dan dia terkenangkan tamadun Melaka yang perkasa itu, runtuh oleh alpa kemewahan dan cepat dapat direbut Portugis.

"Malek Ben Nabi, pemikir Algeria itu pun setuju kekayaan hidup, menjurus kepada kejatuhan moral roh manusiawi, pengumpulan harta tanpa tunjang agama dan budaya bakal menghuru-harakan." Mohtashemi mengambil giliran memberi pandangan.

"Saiful, apa kata Saiful?" Soal Mohtashemi keras, suara meningkah deru enjin yang menenggelamkan sejenak diskusi mereka. 

"Setuju. Emile Durheim sendiri melihat kemodenan meruncing menjadikan manusia gawat kacau. Timbul masalah mal-adjustment atau kegagalan manusia untuk hidup dalam suasana baru.  Seperti Ibnu Khaldun, Durkheim pun ikut menyebut, kesatuan sosial dalam masyarakat asas kepada tamadun maju." Saiful memberi hujah.

Tiba-tiba Saiful teringatkan tamadun yang sedang mekar di negaranya.  Hebat gagah. Selesa santak semua orang lupa, lalu penyakit masyarakat berbenih bercambah.  Akhlak lupus dan berantakan.  Masyarakat atas ke bawah boros.  Juga spontan diri terkenangkan kejatuhan RM, ketika dia baru tiba, RM100 bersamaan 128 Saudi Riyal.  Kini, kejatuhan menjunam-junam, RM100 bersamaan 107 Saudi Riyal. Javid, sarraf atau penukar wang bersebelahan Hotel Asia menyindir pahit.

"Kerana Soros atau kerana boros?"

"RM..ringgit Malaysia atau rupee Malaysia?"

"Iya, kemewahan sebabkan keruntuhan akhlak dan keborosan meruntuhkan ia lagi.  Padah melewakan nilai spiritual."

Bas mengambil jalan al-Haj melintasi hadapan Thaqafa Book Store.  Deretan kedai barangan antik ditinggalkan.  Penumpang diambil dan diturunkan sesuka hati di mana-mana.

Masjid Tanaeim kelihatan. Mereka turun, sembahyang sunat ihram dan berniat, lalu naik semula bas yang lain. Sedia menunggu.

"Jadi bangsa mana selepas ini memimpin dunia Islam? Semua bangsa sudah merasa sebagai peneraju rasanya,  kecuali Melayu!" Mohtashemi membuka perdebatan baru.

Saiful teringatkan pandangan professor Sayyid Naquib Al-Attas, kedatangan Islam telah merubah alam Melayu seluruhnya. Melayu berubah dari rangka mitos ke rangka fakta, akliah dan intelektualisme.

"Ingat surah Ali Imran ayat 140 - Dan hari-hari kejayaan itu dikurniakan kepada umat manusia dengan bergiliran." sambut Muneer.  Wajah campur Melayunya berseri-seri.

Saiful Izham terdiam. Sesak untuk menerima hakikat yang Melayu diharap-harap akan menjadi pemimpin umat Islam.  Dia terkenangkan bohsia dan bohjan di Kuala Lumpur.  Terbayangkan ratus ribu Melayu jadi penagih dadah di belakang lorong Haji Taib.

Takhta ulung


Tergambarkan sekian banyak penzinaan berlaku dan sekian banyak bayi dibuang.

Ciri-ciri tamadun unggul yang ditetapkan Ibnu Khaldun, Ali Shariati dan Malek Ben Nabi itu hampir tiada pada orang Melayu, dia berani berfikir begitu.  Biarlah nanti orang kata, dia pesimistik. Kejujuran tidak boleh ditutupi dengan kemunafikan dan solek hipokrit tebal.

"Banyak lagi yang perlu diperbaiki Melayu untuk mendapat takhta ulung itu.  Terlalu banyak..." Itu sahaja jawapan mampu diberi.

Bas bergerak, tidak jauh dari pusat sukan, ia membuat pusingan U sebelum tersangkak perlahan di hadapan pusat pemeriksaan Muslim. Sebelum itu mereka terpesona dengan reruntuhan tembok Zubaidah. Seketika tersekat di hadapan Musytasyfa Malik Abdul Aziz.

Bas mengambil Jalan Hassan Ibnu Thabit sekali lagi, langsung masuk ke bahagian Mekah yang sibuk.  Kedai kebab berderetan sebelum tiba di hadapan Pusat Panggilan Antarabangsa Andalusia. Bas memasuki 2nd Ring Road, di kanan apartmen mewah Ghailmah Tower teguh berdiri.

Bas meneran payah tergigil-gigil kala mendaki bukit kecil dengan hotel dan bilik kediaman murah sesak di kiri kanan.  Bas elok-elok turun tidak jauh dari pintu mengarah ke Bukit Marwah.  Seratus meter dari Maulid Nabi (tempat kelahiran Rasulullah) yang kini sudah dijadikan Maktabah (perpustakaan).  Mereka bergegas masuk ke Masjidil Haram. Takjub dengan keagungan Kaabah.

Senja merah jingga al-Haram selesai. Azan Isyak berdengung dilaungkan. Mereka terapung bahagia.

Thursday, 14 May 2015

Diharamkan? meh baca 'Senja Haram'

Assalamualaikum...

Berita hari Selasa 5 Mei 2015: 
Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan penerbitan empat buku tulisan penulis kontroversi Faisal Tehrani kerana ia didapati mengandungi unsur-unsur penyebaran ajaran Syiah dan bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Buku berkenaan ialah 'Sebongkah Batu di Kuala Berang', 'Karbala' 'Tiga Kali Seminggu' dan 'Ingin Jadi Nasrallah'. (sumber: Bernama)

Faisal Tehrani diantara penulis kegemaran saya. Buku-buku beliau yang saya ada cuma 'Tuhan Manusia' dan 'Cinta Hari-Hari Rusuhan' je, yang empat tu takde ye.

Entri kali ni, saya nak habiskan koleksi cerpen yang ada dalam simpanan. Kebetulan pula ianya hasil kreatif Faisal Tehrani. Tajuknya Senja Haram. Disiarkan dalam Mingguan Malaysia bertarikh 16 November 1997. 

Cerpen pembangun jiwa ni panjang juga, tapi sangat menarik dan menggembirakan minda. Sarat dengan ilmu. Hopefully, dapat baca sampai habis. Sambil baca, boleh mengimbau kenangan di kedua-dua Tanah Haram. Bagi yang belum pernah pergi, semoga mendapat rezeki ke sana. Amin..

Cerpen lain yg ada dalam blog ni: Bulanku di Stella Oceanis, Pedusi Sahmura dan Bintang Seorang Rafik. Enjoy..

---------------------------------------------------------

Senja itu, fikir Saiful Izham, dia cuma mahu meladeni fikiran yang melarat.  Kesal juga berlama-lamaan di pasar kurma.  Memang tidak membawa wang begitu banyak.  RM pun jatuh merudum. Sejak awal-awal lagi matlamatnya cuma beribadat dan bertaubat habis-habisan.  Sebab memikirkan ramai yang tahu dia ke sini, dia gagahi juga membeli beberapa jenis tamar.  Ada tamar sukari, deglat, sefri, syukulat, ambar dan tentu sekali tamar baginda Rasul - si ajwa yang lemak manis.  Layan benar nafsu membeli, hampir-hampir terlepas solat Maghrib berjemaah.

Dari dataran Masjid Nabi, angin kering panas menerpa memecah-mecahkan bibir dan tapak kaki. Kulit merekah di sana sini.  Kubah hijau tersergam hebat, dia dapat melihat dari sini, makin ramai manusia berpusu-pusu menziarahi makam Rasulullah yang bersebelahan dengan makam Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar.

Tiang-tiang kubah mekanikal tegak bersusun-susunan. Dia membayangkan kalau kubah itu dikembangkan tentu beregis-regis cantik.  Besarnya Masjid Nabi ini, sudah merebak-rebak hingga ke perkuburan Baqi'.

Imannya bergoncang hebat di sini.  Rasa kecil memikirkan semua yang berlaku. Setiap bukit, pohon, pasir dan kerikil merakam sejarah, ia mencatat sirah Nabawiyyah.  Pagi tadi, ketika dibawa ke Uhud, dia menahan sebak.  Uhud adalah kisah keimanan yang tiada tolok banding. Kisah kepatuhan, pengorbanan diri dengan keluhuran jiwa dan kemulusan perasaan teragung.
 
Terbayang-bayang Mus'ab bin Umair, teruna manja hidup mewah, mendadak diberi hidayah memeluk Islam. Kekayaan itu direntap ibunya yang kufur.  Dia lantas hidup sederhana, terlalu sederhana dengan keimanan hingga tatkala syahidnya di medan Uhud, jenazah mulia itu terpaksa dikebumikan dengan ditutupi rerumput idhkir di atas kaki.

Juga dia lebih tersedu mengenangkan Abu Dujanah menjadikan tubuhnya perisai melindungi Rasulullah hingga tertusuk-tusuk oleh anak-anak panah musuh di belakang badan.

Lebih haru tentulah kisah kesyahidan Saidina Hamzah yang jantung dan paru-parunya dikorek dan dimamah-mamah Hindun.  Akan tetapi saban masa, fikirnya, berpusu-pusu umat Islam menunaikan haji atau umrah dan melengkapi dengan ziarah, tiada hasil, tiada natijah.  Bila pulang tiada sedikit pun kesan jihad pada diri baginda itu terpalit bersama

Mengutip teladan

Mereka datang dan pergi tetapi lalai mengutip teladan serta pengajaran di kota Rasul ini.  Akan ke manakah Muslimin? Bukankah Iqbal, penyair agung itu ada mencatat betapa kasih cinta kita makin berkurangan terhadap Nabi Muhammad.

Senja itulah, kala Saiful Izham sedang larut mengenal-ngenal dan merasa-rasa detak jiwa umat, dia ditegur Mohtashemi, pemuda Iran yang rupa-rupanya beberapa lama memerhatikan diri penuh minat. Kemudian, dalam penerbangan dari Madinah ke Jeddah, dalam ihram untuk ke Mekah, sempat pula berkenalan dengan pasangan Melayu Afrika Selatan yang baru berkahwin dua minggu.  Muhammad Muneer dan Shereen. Kacak dan jelita, sama-sama padan.

Senja inilah, selepas dua tiga hari di Masjidil Haram, ulang-alik menginap di Makkah Hilton yang agam gah itu, mereka bertemu semula bagai saudara. Sedang fikiran Saiful masih pergi datang dan perca-perca sejarah umat Islam sekejap singgah menjengah dan lari tergesa. Dalam benak terbayang cemuhan dan penghinaan diterima Rasulullah sebelum hijrah.

Seketika terkesima diusik gambaran ngeri pemberontakan rakyat Mesir, hingga mereka membunuh khalifah ketiga, Saidina Uthman. Larut diterjah peristiwa serangan tentera Tartar ke atas empayar Islam.  Dia pedih luar dalam.  Ketika terngiang-ngiang bacaan merdu tinggi rendah dan sesekali pekik Imam Sudaisi yang mencuit-cuit hati, itulah mereka bagai tidak percaya boleh berjumpa lagi. Langsung ke telaga zam-zam bersama-sama dan senja esok berjanji untuk mengerjakan umrah bersekali.

Sekarang, senja di al-Haram.  Mereka menunaikan permuafakat semalam. Mereka ambil bas Saptco dua tingkat ke Tanaeim untuk berniat ihram. Setelah Maghrib, bergegas ke stesen bas di bahagian kanan Hilton. Bas akan melalui jalan At-Tayseer.  Tidak jauh, istana Ajyad memandang mereka.

Mohtashemi, pelajar Usuluddin di Qom Muqaddasa, tinggi tegap, hidung mancung dan kulit kemerah-merahan dengan jambang halus-halus.

Entah mengapa mengingatkan Saiful kepada pelakon Antonio Banderas. Muneer meninggalkan isteri bertawaf sunat di Haram.  Tinggi hampir menyaingi, bercakap laju dan selalu membetulkan cermin mata - lebih kepada acuan lelaki India dari Melayu - bisik resik dalam hati. Mungkin sahaja Melayu kacuk akar itu kacuk akar ini, hingga 'Melayu'nya kurang pekat terpancar di wajah.

Dalam perjalanan ke Tanaeim yang sepatutnya pendek, tetapi jadi panjang kerana bas mengambil pelbagai jalan dan membelok masuk berbagai-bagai simpang - Mohtashemi si provokatif, memilih topik tamadun atau umat Islam bahagian mana akan menerajui Islam selepas ini - tajuk perbincangan yang menarik tetapi jadi kecamuk buat Saiful yang suka berkhayal mengembara ke zaman-zaman belakang.  "Bagaimana membina tamadun baru yang betul-betul bertenaga?" tanya Muneer.


bersambung..stay tuned untuk debat panas tapi berilmiah..

Wednesday, 13 May 2015

Weekend Getaway: Kuala Selangor

Assalamualaikum..

Sambung entry weekend di Kuala Selangor, baru nak story kisah jalan-jalan. Hari Jumaat lepas, pukul 8.00 pagi dah bergerak dari KL. Sebab takut kalau sampai lambat, tempat2 menarik di sana tutup, masa untuk solat Jumaat. Trafik smooth je, lalu jalan ke Rawang untuk masuk ke LATAR (KL-Kuala Selangor Expressway). Ada tiga tol, jumlah semua RM6.00. "Dimana ada highway, di situ ada tol". Peribahasa moden.

Alhamdulillah, pukul 9.30 dah berada di bandar Kuala Selangor.

 Masjid Jamek Sultan Ibrahim

Bergerak ke Bukit Malawati, bukit bersejarah di negeri Selangor. Disebabkan bukan hari cuti, boleh bawa kereta sampai ke atas, takyah bayar RM3.00 untuk naik tram. Tram pun tak nampak bayang.

Tak singgahlah Perigi Beracun, Batu Hampar, sebab malas nak berenti. Parking terus di tepi Baitul Hilal, depan meriam-meriam ni.

Baitul Hilal dan meriam

Baitul Hilal ni tempat melihat anak bulan,bila nak puasa bulan Ramadan dan Hari Raya Eidul Fitri. Baitul bermakna 'rumah' dan hilal ialah 'anak bulan'.

rumah api Kuala Selangor

Ingatkan boleh bermesra-mesra dengan long-tailed macaques (lotong berekor panjang) di sini, tapi seekor lotong pun tak kelihatan. Masih tidur lagi kot, baru pukul 10.00 pagi. Wrong timing. Dah dekat, jom kita ke Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor, kecik je muziumnya, tapi sarat dengan informasi.


Paling best tengok salasilah diraja negeri Selangor yang berasal dari putera Bugis lima bersaudara - Daeng Perani, Daeng Chelak, Daeng Marewah, Daeng Menambun dan Daeng Kemasi. History revisited.

Kemudian bergerak turun, menuju ke Pasir Penambang. Melawat perkampungan nelayan Cina yang berusia lebih 100 tahun, di tepi Sungai Selangor menghala ke Selat Melaka.


Ingatkan nak naik bot, untuk 'eagle feeding' dari sini, rupanya start pukul 3.30 petang (kes malas buat research dalam internet). Package sekali dengan melihat kelip-kelip yg start pukul 7.30 malam dan lawatan kampung nelayan. Tak jadi, terus ke jeti kompleks LKIM di Jalan Bagan Pasir Penambang.


jeti kompleks LKIM

Di kompleks ni ada pelbagai kemudahan, ada restoran ikan bakar D'Coral, surau dan tandas. Di sini juga ada pejabat Kuala Selangor River Cruise, ada jual tiket untuk 'eagle feeding' dan kelip-kelip. RM25 untuk 'eagle feeding' dan RM18 untuk melihat kelip-kelip. 

Memandangkan kami check-in di Jeram/Pantai Remis, rasa malas pulok nak naik semula ke sini, untuk dua aktiviti popular di Kuala Selangor ni. Been there, done that..not applicable here. Menyeberang sungai, untuk ke Taman Alam.

 
Taman Alam ni sebelah Bukit Malawati je, tapi masa turun tadi, berpusing-pusing kawasan kedai, jumpa jalan besar, terus ke Pasir Penambang.


 Taman Ikan Air Tawar

Di sebelah Taman Alam, ada Taman Ikan Air Tawar. Masa kami sampai, dua-dua taman ni sunyi je, takde pelawat. Rasa tak best pulak, suasana tak meriah.


Jom ke Taman Alam. Bayaran masuk RM4.00 dan diberi satu pamphlet yang ada peta trekking. Taman Alam ni luasnya 800 ekar dan yang menarik di sini ialah walkway di hutan paya bakau dan pelbagai species flora dan fauna. 

Tapi yang tak bestnya, kami berdua je yang akan masuk ke hutan. Takde pelawat lain. Gerun juga di hati, jam menunjukkan pukul 11.30 pagi, menuju ke pukul 12.00 tengahari. Tengahari rembang masuk hutan..tawakkal, tawakkal..jom trekking..


Jumpa sekawan 'long-tailed monkeys' di atas pokok..risau juga, sebab diberitahu yang monyet-monyet di sini jenis liar, tak macam di Bukit Malawati. Ni baru dekat entrance, belum masuk hutan lagi.

Mula bergerak ke dalam hutan, banyak species pokok-pokok ditanda di sepanjang trail. Nyamuk memang banyak, sambil berjalan, sambil pukul nyamuk. Pukulan maut. Tak tahan, sampai je di jambatan, decided untuk u-turn, bila tengok dalam peta, nak ke paya bakau, kena jalan jauh lagi. Rengsa dengan nyamuk yang sangat banyak. Siapa yang bercadang nak ke sini, sila bawa spray nyamuk..nyamuk di sini, ya ampun, bikin panas hati..ikut sampai dalam kereta..

Baru pukul 12.00 tengahari. Check-in time pukul 3.00 petang. Ada tiga jam lagi. Dari Taman Alam terus ke Jeram, bercadang untuk lepak-lepak di tepi pantai dekat the Kabin.

Pantai Remis

Air surut. Pantai tak berapa cantik jadinya, tapi angin sungguh kuat dan nyaman. Layan baca buku yang tertunggak, memang best. Tak sedar masa berlalu. Perut dah mula berkeroncong. Gerai-gerai di tepi pantai ni semuanya tutup pula. Pukul 2.00 petang, bergerak untuk cari makan.

Mengikut informasi yang diterima, ada gerai asam pedas yang sedap di sekitar sini. Arah panduannya "dekat tangki air, ada line TNB" macam tu lebih kurang. Berselirat line TNB di sini, camna nak cari. Tawakal je lah..akhirnya jumpa juga. Di tepi Sungai Sembilang. Rupanya bukan tangki air, tapi kunci air.
 Bot-bot nelayan di Sungai Sembilang - masa ni air cetek

Ada dua gerai yang buka, satu gerai dekat kolam pancing Seri Kemuning dan satu lagi gerai tepi kunci air.

 kolam pancing Seri Kemuning dan Pantai Seaview Resort

Kami pilih gerai tepi kunci air - nama gerai ni Sungai Sembilang Klasik Enterprise. Order set asam pedas ikan kembung.

rempeyek kacang tanah yang sedap

asam pedas - sedap
--------------------------------------------------------------------------
Malamnya pula, selepas solat Maghrib..bergerak ikut Jalan Jati, jalan kampung yang takde lampu jalan, menuju ke Aroma Ikan Bakar. Seafood lagi..

Masa kami sampai, masih tak ramai lagi pelanggan. Order siakap tiga rasa, sotong goreng tepung dan udang bercili.  Alhamdulillah, makanan dapat cepat.
 -------------------------------------------------------------------------------------------
Esok pagi sewa basikal the Kabin. RM8.00. Dah lama tak naik basikal. Tergagap-gagap juga mulanya. Nak recall balik the skill.
 air pasang - pemandangan yg cantik

Breakfast di gerai Seri Kemuning. Snap photo bot-bot nelayan, kali ni air penuh di Sungai Sembilang. Nice view.

Bergerak pulang ke the Kabin

Sekian saja, kisah percutian di Kuala Selangor.