Showing posts with label Teloi Kanan. Show all posts
Showing posts with label Teloi Kanan. Show all posts

Friday, 8 May 2009

Teloi Kanan

Saya mengaku memang tidak pernah mendengarnya sebelum ini.
Nama Teloi Kanan tiba-tiba menjadi sebutan ramai apabila Mohd. Khairul Effendi Che Wan, 17; Som Jud Muniandy, 16; dan Muhamad Fazrel Ashraf Azizan, 15, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Teloi Kanan, Baling, Kedah berjaya merangkul pingat emas di Festival Sains, Teknologi dan Alam Sekitar di Helsinki, Finland. Festival yang mempertandingkan mengenai isu alam sekitar, dianjurkan oleh Environment Online (ENO) bermula 12 hingga 18 April dan disertai 80 buah negara.

Tiga projek yang dibentangkan oleh pelajar terlibat ialah Penanaman Pokok, Perubahan Cuaca dan Kajian Kualiti Air membabitkan penglibatan pelajar di Kuala Gula, Perak. Projek penanaman pokok bakau yang disasarkan lebih sejuta pokok itu melibatkan kawasan di pesisir Kuala Gula, Perak dan Padang Salim, Kuala Muda, Kedah dan ia merupakan antara kandungan pembentangan kertas kerja tersebut.


hutan paya bakau

Paya bakau…kawasan yang berlumpur ini apakah kepentingannya dalam kitaran eco-sistem? Paya bakau antara fungsinya ialah mencegah hakisan pesisir pantai dan juga sebagai penampan untuk angin ribut. Sistem akarnya yang unik menjadi tempat pembiakan beberapa organisma & algae dan beberapa spesies air yang lain seperti ikan, udang, kerang, sotong, ketam, dll. Kayu bakau yang tahan lama dan mampu terendam dalam air sering digunakan dalam pembinaan seperti tiang jeti. Selain itu, kayu bakau juga amat sesuai untuk dibakar untuk menghasilkan arang seperti yang terdapat di Kuala Sepetang, Perak.

Kawasan paya bakau juga merupakan destinasi yang popular untuk aktiviti melihat burung (bird-watching) kerana ia menjadi tempat tinggal dan tempat persinggahan burung-burung tempatan dan yang berhijrah (migrotary birds). Burung yang berhjrah sejauh dari utara Siberia, Russia dan juga dari kepulauan utara Jepun. Burung-burung ini akan tinggal selama beberapa bulan sebelum berhijrah ke selatan ke Australia dan New Zealand dan kemudian terbang kembali ke tempat asal mereka setelah cuaca di sana kembali stabil. Antara kawasan paya bakau yang popular untuk aktiviti ‘bird-watching’ di Malaysia ialah Santuari Burung Kuala Gula dan Taman Alam Kuala Selangor.

Bukit Fraser juga destinasi utama untuk aktiviti ‘bird-watching’ menganjurkan International Bird Race setiap tahun. Bukan perlumbaan burung-burung, ya adik-adik, tetapi perlumbaan manusia untuk mengenal seberapa banyak spesies burung. Bagi seorang Muslim, mengenal lalu menginsafi kebesaran Allah yang menjadikan makhluk-makhluknya yang pelbagai.

Tiong bukan sebarang tiong
Tiong dari Kuala Tahan
Renung bukan sebarang renung
Renung menginsafi kebesaran Tuhan

Burung...salah satu haiwan yang ceritanya ada didalam Al-Quran dan juga dalam beberapa kisah nabi-nabi.

Kisah Nabi Ibrahim
“Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata: “Ya Tuhanku, perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan orang-orang mati.” Allah berfirman: “Apakah kamu belum percaya?” Ibrahim menjawab: “Saya telah percaya, akan tetapi agar bertambah tetap hati saya.” Allah berfirman: (Kalau demikian) ambillah empat ekor burung, lalu jinakkanlah burung-burung itu kepadamu, kemudian letakkanlah tiap-tiap seekor daripadanya atas tiap-tiap bukit. Sesudah itu panggillah dia, nescaya dia akan datang kepada kamu dengan segera.” Dan ketahuilah bahwa Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” (Surah Al-Baqarah: 260)

* sebahagian ahli tafsir mengganti kata “jinakkanlah” dengan kata “potong-potonglah” dan kata “tiap-tiap seekor” diganti dengan “tiap-tiap bahagian” (dari burung yang telah dipotong itu). Kerana dalam ayat ini terdapat kata “Shur” yang dalam bahasa Arab bermakna jinakkanlah! atau potong-potonglah!
Kisah Nabi Sulaiman dengan burung Hud-Hud
“Dan dia memeriksa burung-burung lalu berkata: “Mengapa aku tidak melihat hud-hud, apakah dia termasuk yang tidak hadir” (Surah Al-Naml:20)

“Maka tidak lama kemudian (datanglah hud-hud), lalu ia berkata:”Aku telah mengetahui sesuatu yang kamu belum mengetahuinya: dan kubawa kepadamu dari negeri Saba’, suatu berita penting yang diyakini” (Surah Al-Naml: 22)

Dalam pengkisahan anak-anak Nabi Adam, ketika Qabil membunuh Habil, Allah telah mengilhamkan proses pengebumian menerusi perlakuan burung helang.

Burung...haiwan yang bertawakkal dengan rezeki Allah, tiada ia menyimpan stok makanan - pagi kosong, petang berisi seperti tajuk Forum Hal-Ehwal Islam pada malam Jumaat Hari Pekerja.

Akhir kalam…
“Otak burung unta lebih keeecil dari matanya……..”