Oleh Amir Sarifudin, Mingguan Malaysia 11 November 2012
Wawancara dengan Imam 1 Masjid Al-Aqsa, Sheikh Yusoef Abu Sunainah.
Bila bercakap mengenai Masjid Al-Aqsa masih ramai
terkeliru, kurang memahami dan mungkin tertanya-tanya mana satu dimaksudkan
Masjid Al-Aqsa memandangkan kawasannya begitu luas dan terdapat lebih satu
kubah dan tempat bersolat.
Sebenarnya kompleks Masjid Al-Aqsa meliputi seluruh
kawasan di situ seluas 144,000 kaki persegi dengan empat menara masjid dan 10
pintu keluar masuk ke kawasan masjid. Dalam kawasan tersebut mengandungi lima
buah masjid iaitu dua masjid terletak di atas tanah manakala tiga lagi dibawah
tanah. Rangkuman kelima-lima masjid
serta kawasan sekitarnya dalam kawasan tembok, itulah kompleks Masjid Al-Aqsa.
Tiga masjid di bawah tanah ialah Masjid Marwan,
Masjid Al-Aqsa (lama) dan Masjid Buraq manakala dua masjid di atas tanah, Kubah
Sakhra (Dome of Rock) dan Masjid Al-Aqsa (baru). Oleh itu, umat Islam boleh mendirikan solat
sunat masjid di mana-mana sahaja asalkan dalam lingkungan tembok kawasan
berkenaan.
Berbalik kepada wawancara dengan Sheikh Yusoef,
beliau menjelaskan , Palestin mampu bangkit semula jika dapat melahirkan para
ilmuwan serta cerdik pandai bukan sahaja dari kalangan kaum lelaki, malah
wanita juga. Untuk tujuan itu, Masjid
Al-Aqsa bukan sekadar pusat ilmu agama, malah dijadikan tempat melahirkan
ahli-ahli perniagaan Islam. Pendekatan
melahirkan para ilmuwan dan ahli perniagaan amat penting untuk mengubah nasib
hidup.
“Dengan kekayaan harta benda dan kekuatan ekonomi,
akan dapat membela nasib serta masa depan penduduk Palestin” katanya.
Kemiskinan hidup termasuk ketiadaan kemudahan asas
seperti yang berlaku di Hebron iaitu lebih satu jam perjalanan dari Jerusalem,
menyebabkan penduduk Palestin di situ ditindas.
Di Hebron, banyak kedai diarah tutup oleh pihak berkuasa Israel
menyebabkan kawasan itu ditinggalkan penduduk Palestin yang terpaksa mencari
penempatan baru dan pekerjaan luar.
Apabila keadaan ini berterusan, Hebron tidak mustahil satu hari nanti
‘bertukar tangan’ dan dihuni oleh penduduk Yahudi.
Bukti awal di Hebron pada masa ini ialah apabila
Masjid Hkalilal-Rahman yang menempatkan tiga makam nabi, kini terbahagi kepada
dua bahagian. Satu bahagian menempatkan
makam Nabi Ibrahim dan Nabi Ishak masih boleh diziarah oleh umat Islam,
manakala makam Nabi Yaakob kini hanya untuk penganut Yahudi sahaja. Dengan ketiadaan penduduk Islam, kemungkinan
satu hari nanti keseluruhan masjid itu akan dikuasai bukan Islam.
“Jika umat Islam terus miskin tanpa harta benda,
kekayaan dan kekuatan ekonomi, mereka akan terus ditindas,” kata Sheikh Yusoef.
Bagi melahirkan para ilmuan ekonomi, katanya pada
tahun lalu seramai 12 hafiz wanita Berjaya dilahirkan melalui pengajian di
Masjid Al-Aqsa dan jumlah itu meningkat kepada 32 orang wanita pada tahun ini.
“Kita mahu melahirkan golongan wanita yang cerdik
pandai. Mereka (wanita) ini akan
melahirkan pula generasi pelapis yang pandai dan berlimu apabila berumah tangga
nanti” katanya.
Ditanya isu-isu lain , beliau memberitahu, jika ada
fatwa atau pandangan mengatakan umat Islam seluruh dunia ‘haram’ berkunjung ke
Masjid Al-Aqsa kerana boleh membantu ekonomi
Israel, ia adalah satu pandangan tidak tepat.
Beliau berkata, disebabkan pandangan sedemikian,
timbul kekeliruan hingga menyebabkan penduduk Palestin terus terpinggir dari
dunia luar. Di Jerusalem, ramai penganut
Yahudi dan Kristian dari seluruh dunia berkunjung ke ‘Kota Tiga Agama’ ini yang
secara tidak langsung berjaya menghidupkan ekonomi penduduk setempat.
|
Kedudukan Muslim Quarter di Kota Lama Jerusalem (source: wikipedia) |
Berdasarkan statistik, hanya 30,000 pelancong
beragama Islam datang melawat Jerusalem setiap tahun berbanding 3 juta orang
pelancong penganut Kristian. Sehubungan
itu, tidak hairanlah dengan jumlah penduduk Palestin beragama Islam seramai
300,000 orang di Jerusalem, kebanyakan golongan peniaga Palestin terpaksa
menjual produk Kristian walaupun mereka sendiri beragama Islam. Sheikh Yusoef menegaskan, Nabi Muhammad
SAW sendiri pernah datang ke Al-Aqsa
walaupun ketika itu kawasan ini dikuasai bukan Islam.
“Malah para nabi, ulama, khalifah serta panglima
Islam juga pernah berkunjung ke sini
yang ketika itu di bawah pentadbiran bukan Islam.”
“Contoh lain, Saidina Omar juga pernah datang ke
sini yang ketika itu di perintah oleh bukan islam. Jadi sekarang kita perlu fikirkan mengapa
para nabi, ulama dan para pemimpin Islam sejak dahulu lagi datang ke Masjid
Al-Aqsa tanpa mengira sama ada tempat
ini ditadbir oleh Islam atau bukan Islam.”
“ia menunjukkan tempat ini amat penting untuk umat
Islam dengan tidak meminggirkan penduduk di sini.” kata beliau.
Sheikh Yusoef berkata, kurangnya pelancong Islam
berkunjung ke Baitulmaqdis secara langsung menyebabkan hubungan penduduk
Palestin dengan dunia luar terputus.
Jelas beliau, kunjungan umat Islam ke Baitulmaqdis bukan bermakna
membantu ekonomi Israel.
“Di sini ada kedai-kedai orang Islam dan disini
juga ada hotel-hotel dikendalikan oleh orang Palestin. Kehadiran orang Islam akan membantu ekonomi
penduduk Palestin.” katanya.
|
Masjid Al-Aqsa (source: wikipedia) |
Selain keistimewaan Masjid Al-Aqsa yang mengandungi
banyak bahan sejarah seperti makam Nabi Sulaiman, Penjara Jin, tempat
sembahyang Nabi Khidir, Batu Tergantung atau ‘sakhra’, sekitar Jerusalem juga
terdapat kesan-kesan sejarah yang lain.
Antaranya makam Nabi Daud, tempat kelahiran Nabi Isa dan banyak lagi. Disebabkan
itu, kawasan berkenaan sering menjadi tumpuan bukan sahaja orang Islam, malah
penganut Yahudi dan Kristian.
Disamping itu kata Sheikh Yusoef, walaupun sekitar
Masjid Al-Aqsa terdapat ramai penganut Yahudi dan Kristian, namun ia tidak
menghalang azan untuk berkumandang setiap kali masuk waktu sembahyang.
“Azan berkumandang seperti biasa sejak dulu lagi
dan boleh didengari sejauh lima kilometer walaupun sekitar kawasan ini ramai
penganut bukan Islam”, katanya.