Wednesday, 13 May 2009

Duduk

Oleh: KH Abdullah Gymnastiar

Rasulullah S.A.W. bersabda, bermaksud: "
Sesiapa yang ingin mengetahui kedudukannya di sisi Allah, maka hendaklah memperhatikan bagaimana kedudukan Allah di dalam hatinya. Maka sesungguhnya Allah menempatkan (mendudukkan) hamba-Nya, sebagaimana hamba itu mendudukkan Allah di dalam hati dan jiwanya

Saudaraku,

Yang termahal dalam hidup adalah keyakinan diri kepada Allah. Semakin kuat dan mendalam keyakinan itu, maka semakin beruntung hidup kita. Ketika itulah kita memiliki barang termahal dalam hidup. Apalah ertinya kita memiliki kekayaan melimpah sedangkan hati kita miksin daripada mengenali Allah. Apalah ertinya kita dikenali ramai jika kita tidak mampu mengenali Allah. Apalah ertinya kita berjawatan tinggi, jika kedudukan kita rendah di sisi Allah swt.

Intinya, semua yang ada selain Allah adalah cubaan dan fitnah belaka. Walau memiliki dan menguasai dunia sekalipun, kedudukan kita akan rendah apabila tidak mengenali Allah.

Ada tiga ukuran untuk mengetahui tinggi rendahnya darjat seseorang di sisi Allah, iaitu:

Pertama;
Sepanjang 24 jam waktu kita lalui setiap hari, berapa jam kita mengingati Allah. Sewaktu solat, adakah kita ingat Allah atau ingat yang lain. Ketika makan, adakah kita ingat pada Zat yang mengurniakan makanan itu atau malah mencela makanan.

Sewaktu ke tempat kerja, apakah kita sudah berniat sebagai jalan untuk beribadah atau sekadar mencari wang. Di dalam perjalanan, misalnya, apakah kita sibut berzikir serta membaca ayat suci Al-Quran atau mata kita berkeliaran. Bila hati kita selalu menyambung kepada Allah dalam apa keadaan sekalipun, maka sesungguhnya Allah telah meninggikan darjat.

Kedua:
Tinggi rendah darjat kita di sisi Allah dapat terlihat daripada senang tidaknya kita melakukan amalan yang dicintai Allah dan Rasul-Nya. Allah menyukai solat berjemaah kerana pahalanya 27 kali ganda daripada solat bersendirian.

Apakah kita termasuk orang yang akan segera ke masjid tatkala azan berkumandang, atau semakin sibuk dengan urusan dunia? Allah menyukai sikap menderma tapi apakah kita termasuk golongan dermawan?

Allah menyukai hamba yang dekat dengan Al-Quran. Apakah kita bersungguh-sungguh berinteraksi dengan Al-Quran? Semakin kita gigih “menyenangkan” Allah dengan melakukan amalan yang dicintaiNya, InsyaAllah darjat kita akan tinggi di sisi-Nya.

Ketiga:
Sejauh mana kegigihan kita menghindarkan diri daripada maksiat. Salah satu ciri dekatnya seorang hamba dengan Allah, terlihat daripada kesungguhannya menjauhi maksiat.

Hakikatnya, manusia biasa tidak akan pernah luput daripada dosa. Namun, orang yang berkedudukan tinggi di sisi Allah, akan segera bertaubat ketika dia terjerumus ke lembah maksiat. Dia menyesal, kemudian berazam untuk tidak mengulangi kesalahan dan menggantinya dengan lebih banyak amalan kebaikan.

Sebaliknya, orang yang jauh daripada Allah berasa cukup seronok berbuat dosa, tidak memiliki penyesalan dan sentiasa mengulangi perbuatan itu pada lain kesempatan.

Saudaraku,

Jangan ada yang ditakutkan dalam hidup ini, kecuali takut tidak dapat mengenal Allah. Harta, pangkat, jawatan atau ketampanan/kecantikan paras rupa sama sekali tidak bernilai apabila hati kita jauh daripada mengingati Allah.

Mulai sekarang, kita harus mengubah cara hidup iaitu menjadi orang yang bermanfaat kepada manusia dan berkedudukan tinggi di sisi Allah.

Friday, 8 May 2009

Teloi Kanan

Saya mengaku memang tidak pernah mendengarnya sebelum ini.
Nama Teloi Kanan tiba-tiba menjadi sebutan ramai apabila Mohd. Khairul Effendi Che Wan, 17; Som Jud Muniandy, 16; dan Muhamad Fazrel Ashraf Azizan, 15, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Teloi Kanan, Baling, Kedah berjaya merangkul pingat emas di Festival Sains, Teknologi dan Alam Sekitar di Helsinki, Finland. Festival yang mempertandingkan mengenai isu alam sekitar, dianjurkan oleh Environment Online (ENO) bermula 12 hingga 18 April dan disertai 80 buah negara.

Tiga projek yang dibentangkan oleh pelajar terlibat ialah Penanaman Pokok, Perubahan Cuaca dan Kajian Kualiti Air membabitkan penglibatan pelajar di Kuala Gula, Perak. Projek penanaman pokok bakau yang disasarkan lebih sejuta pokok itu melibatkan kawasan di pesisir Kuala Gula, Perak dan Padang Salim, Kuala Muda, Kedah dan ia merupakan antara kandungan pembentangan kertas kerja tersebut.


hutan paya bakau

Paya bakau…kawasan yang berlumpur ini apakah kepentingannya dalam kitaran eco-sistem? Paya bakau antara fungsinya ialah mencegah hakisan pesisir pantai dan juga sebagai penampan untuk angin ribut. Sistem akarnya yang unik menjadi tempat pembiakan beberapa organisma & algae dan beberapa spesies air yang lain seperti ikan, udang, kerang, sotong, ketam, dll. Kayu bakau yang tahan lama dan mampu terendam dalam air sering digunakan dalam pembinaan seperti tiang jeti. Selain itu, kayu bakau juga amat sesuai untuk dibakar untuk menghasilkan arang seperti yang terdapat di Kuala Sepetang, Perak.

Kawasan paya bakau juga merupakan destinasi yang popular untuk aktiviti melihat burung (bird-watching) kerana ia menjadi tempat tinggal dan tempat persinggahan burung-burung tempatan dan yang berhijrah (migrotary birds). Burung yang berhjrah sejauh dari utara Siberia, Russia dan juga dari kepulauan utara Jepun. Burung-burung ini akan tinggal selama beberapa bulan sebelum berhijrah ke selatan ke Australia dan New Zealand dan kemudian terbang kembali ke tempat asal mereka setelah cuaca di sana kembali stabil. Antara kawasan paya bakau yang popular untuk aktiviti ‘bird-watching’ di Malaysia ialah Santuari Burung Kuala Gula dan Taman Alam Kuala Selangor.

Bukit Fraser juga destinasi utama untuk aktiviti ‘bird-watching’ menganjurkan International Bird Race setiap tahun. Bukan perlumbaan burung-burung, ya adik-adik, tetapi perlumbaan manusia untuk mengenal seberapa banyak spesies burung. Bagi seorang Muslim, mengenal lalu menginsafi kebesaran Allah yang menjadikan makhluk-makhluknya yang pelbagai.

Tiong bukan sebarang tiong
Tiong dari Kuala Tahan
Renung bukan sebarang renung
Renung menginsafi kebesaran Tuhan

Burung...salah satu haiwan yang ceritanya ada didalam Al-Quran dan juga dalam beberapa kisah nabi-nabi.

Kisah Nabi Ibrahim
“Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata: “Ya Tuhanku, perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan orang-orang mati.” Allah berfirman: “Apakah kamu belum percaya?” Ibrahim menjawab: “Saya telah percaya, akan tetapi agar bertambah tetap hati saya.” Allah berfirman: (Kalau demikian) ambillah empat ekor burung, lalu jinakkanlah burung-burung itu kepadamu, kemudian letakkanlah tiap-tiap seekor daripadanya atas tiap-tiap bukit. Sesudah itu panggillah dia, nescaya dia akan datang kepada kamu dengan segera.” Dan ketahuilah bahwa Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” (Surah Al-Baqarah: 260)

* sebahagian ahli tafsir mengganti kata “jinakkanlah” dengan kata “potong-potonglah” dan kata “tiap-tiap seekor” diganti dengan “tiap-tiap bahagian” (dari burung yang telah dipotong itu). Kerana dalam ayat ini terdapat kata “Shur” yang dalam bahasa Arab bermakna jinakkanlah! atau potong-potonglah!
Kisah Nabi Sulaiman dengan burung Hud-Hud
“Dan dia memeriksa burung-burung lalu berkata: “Mengapa aku tidak melihat hud-hud, apakah dia termasuk yang tidak hadir” (Surah Al-Naml:20)

“Maka tidak lama kemudian (datanglah hud-hud), lalu ia berkata:”Aku telah mengetahui sesuatu yang kamu belum mengetahuinya: dan kubawa kepadamu dari negeri Saba’, suatu berita penting yang diyakini” (Surah Al-Naml: 22)

Dalam pengkisahan anak-anak Nabi Adam, ketika Qabil membunuh Habil, Allah telah mengilhamkan proses pengebumian menerusi perlakuan burung helang.

Burung...haiwan yang bertawakkal dengan rezeki Allah, tiada ia menyimpan stok makanan - pagi kosong, petang berisi seperti tajuk Forum Hal-Ehwal Islam pada malam Jumaat Hari Pekerja.

Akhir kalam…
“Otak burung unta lebih keeecil dari matanya……..”

Monday, 4 May 2009

Chemical Romance

Cintaku sekukuh pepejal
kejap mengikat molekul-molekul kasih
biarkan nukleus cintaku
beradiasi menggebu-gebu
menular ke sanubarimu


Pancaran gamma cintaku
menembusi strata sukmamu
membunuh mati sel-sel keraguan
terurai dalam radioterapi cinta
menguat atom-atom kepercayaan
immunisasi virus penyakit nan rawan


Cintaku..
tidak kau temui di dalam makmal
kerna ia bukan bahan ujikaji
tidak tercipta dari proses fermentasi
tidak terlihat di bawah mikroskop
juga...tidak terkesan di dada stateskop
ia lahir dari dasar hati
tak bisa terhidrasi dek panahan mentari pagi
tidak bereaksi dek proses oksidasi


Cintaku seharum ethanol
tersolusi dalam siraman kasihmu
meneutral keasidan dendammu
menebat rasa amarahmu


Biarku cuci luka cintamu
ku sterilise dengan kasih sayangku
ku bius kebas dengan rinduku


Cintaku..usah kau ragui
ia bukan satu ilusi
biar terpetri hingga ke infiniti....


nohas al-pakri
1 Mei 2009