Friday, 8 May 2009

Teloi Kanan

Saya mengaku memang tidak pernah mendengarnya sebelum ini.
Nama Teloi Kanan tiba-tiba menjadi sebutan ramai apabila Mohd. Khairul Effendi Che Wan, 17; Som Jud Muniandy, 16; dan Muhamad Fazrel Ashraf Azizan, 15, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Teloi Kanan, Baling, Kedah berjaya merangkul pingat emas di Festival Sains, Teknologi dan Alam Sekitar di Helsinki, Finland. Festival yang mempertandingkan mengenai isu alam sekitar, dianjurkan oleh Environment Online (ENO) bermula 12 hingga 18 April dan disertai 80 buah negara.

Tiga projek yang dibentangkan oleh pelajar terlibat ialah Penanaman Pokok, Perubahan Cuaca dan Kajian Kualiti Air membabitkan penglibatan pelajar di Kuala Gula, Perak. Projek penanaman pokok bakau yang disasarkan lebih sejuta pokok itu melibatkan kawasan di pesisir Kuala Gula, Perak dan Padang Salim, Kuala Muda, Kedah dan ia merupakan antara kandungan pembentangan kertas kerja tersebut.


hutan paya bakau

Paya bakau…kawasan yang berlumpur ini apakah kepentingannya dalam kitaran eco-sistem? Paya bakau antara fungsinya ialah mencegah hakisan pesisir pantai dan juga sebagai penampan untuk angin ribut. Sistem akarnya yang unik menjadi tempat pembiakan beberapa organisma & algae dan beberapa spesies air yang lain seperti ikan, udang, kerang, sotong, ketam, dll. Kayu bakau yang tahan lama dan mampu terendam dalam air sering digunakan dalam pembinaan seperti tiang jeti. Selain itu, kayu bakau juga amat sesuai untuk dibakar untuk menghasilkan arang seperti yang terdapat di Kuala Sepetang, Perak.

Kawasan paya bakau juga merupakan destinasi yang popular untuk aktiviti melihat burung (bird-watching) kerana ia menjadi tempat tinggal dan tempat persinggahan burung-burung tempatan dan yang berhijrah (migrotary birds). Burung yang berhjrah sejauh dari utara Siberia, Russia dan juga dari kepulauan utara Jepun. Burung-burung ini akan tinggal selama beberapa bulan sebelum berhijrah ke selatan ke Australia dan New Zealand dan kemudian terbang kembali ke tempat asal mereka setelah cuaca di sana kembali stabil. Antara kawasan paya bakau yang popular untuk aktiviti ‘bird-watching’ di Malaysia ialah Santuari Burung Kuala Gula dan Taman Alam Kuala Selangor.

Bukit Fraser juga destinasi utama untuk aktiviti ‘bird-watching’ menganjurkan International Bird Race setiap tahun. Bukan perlumbaan burung-burung, ya adik-adik, tetapi perlumbaan manusia untuk mengenal seberapa banyak spesies burung. Bagi seorang Muslim, mengenal lalu menginsafi kebesaran Allah yang menjadikan makhluk-makhluknya yang pelbagai.

Tiong bukan sebarang tiong
Tiong dari Kuala Tahan
Renung bukan sebarang renung
Renung menginsafi kebesaran Tuhan

Burung...salah satu haiwan yang ceritanya ada didalam Al-Quran dan juga dalam beberapa kisah nabi-nabi.

Kisah Nabi Ibrahim
“Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata: “Ya Tuhanku, perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan orang-orang mati.” Allah berfirman: “Apakah kamu belum percaya?” Ibrahim menjawab: “Saya telah percaya, akan tetapi agar bertambah tetap hati saya.” Allah berfirman: (Kalau demikian) ambillah empat ekor burung, lalu jinakkanlah burung-burung itu kepadamu, kemudian letakkanlah tiap-tiap seekor daripadanya atas tiap-tiap bukit. Sesudah itu panggillah dia, nescaya dia akan datang kepada kamu dengan segera.” Dan ketahuilah bahwa Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” (Surah Al-Baqarah: 260)

* sebahagian ahli tafsir mengganti kata “jinakkanlah” dengan kata “potong-potonglah” dan kata “tiap-tiap seekor” diganti dengan “tiap-tiap bahagian” (dari burung yang telah dipotong itu). Kerana dalam ayat ini terdapat kata “Shur” yang dalam bahasa Arab bermakna jinakkanlah! atau potong-potonglah!
Kisah Nabi Sulaiman dengan burung Hud-Hud
“Dan dia memeriksa burung-burung lalu berkata: “Mengapa aku tidak melihat hud-hud, apakah dia termasuk yang tidak hadir” (Surah Al-Naml:20)

“Maka tidak lama kemudian (datanglah hud-hud), lalu ia berkata:”Aku telah mengetahui sesuatu yang kamu belum mengetahuinya: dan kubawa kepadamu dari negeri Saba’, suatu berita penting yang diyakini” (Surah Al-Naml: 22)

Dalam pengkisahan anak-anak Nabi Adam, ketika Qabil membunuh Habil, Allah telah mengilhamkan proses pengebumian menerusi perlakuan burung helang.

Burung...haiwan yang bertawakkal dengan rezeki Allah, tiada ia menyimpan stok makanan - pagi kosong, petang berisi seperti tajuk Forum Hal-Ehwal Islam pada malam Jumaat Hari Pekerja.

Akhir kalam…
“Otak burung unta lebih keeecil dari matanya……..”

Monday, 4 May 2009

Chemical Romance

Cintaku sekukuh pepejal
kejap mengikat molekul-molekul kasih
biarkan nukleus cintaku
beradiasi menggebu-gebu
menular ke sanubarimu


Pancaran gamma cintaku
menembusi strata sukmamu
membunuh mati sel-sel keraguan
terurai dalam radioterapi cinta
menguat atom-atom kepercayaan
immunisasi virus penyakit nan rawan


Cintaku..
tidak kau temui di dalam makmal
kerna ia bukan bahan ujikaji
tidak tercipta dari proses fermentasi
tidak terlihat di bawah mikroskop
juga...tidak terkesan di dada stateskop
ia lahir dari dasar hati
tak bisa terhidrasi dek panahan mentari pagi
tidak bereaksi dek proses oksidasi


Cintaku seharum ethanol
tersolusi dalam siraman kasihmu
meneutral keasidan dendammu
menebat rasa amarahmu


Biarku cuci luka cintamu
ku sterilise dengan kasih sayangku
ku bius kebas dengan rinduku


Cintaku..usah kau ragui
ia bukan satu ilusi
biar terpetri hingga ke infiniti....


nohas al-pakri
1 Mei 2009

Tuesday, 28 April 2009

Panas Hati

Saya sudah terlepas. Terlepas menontonnya di kaca televisyen dan dalam Berita Harian semalam, dalam ruangan Rakan BH, saya membacanya..
Apa motif TV3 siarkan Kingdom of Heaven dalam slot Mega Movie Jumaat lalu? Panas hati. Pada yang menonton, khasnya orang Islam, ada terfikir apa-apa tak? [CTIEYZ:BHA14020]

Kingdom of Heaven…. filem epik arahan Ridley Scott ini berjaya menarik minat saya untuk memiliki yang original dan ternyata cinematografinya sangat menarik..

Pertama kali menontonnya lantaran mendengar ceramah seorang ustaz yang berkata “amat jarang filem barat mempamerkan Islam sebagai agama yang cintakan kedamaian. Salahuddin Al-Ayubi (Saladin) digambarkan sebagai pemimpin Islam yang bertoleransi..”

Kali kedua menontonnya setelah membaca entry di Saifulislam.com bertajuk Medieval Europe: Selesai pada November 2007 dan tertarik dengan klausa ini..
Paling penting, mengapakah Barat begitu aktif mengkaji Crusades sedangkan Muslim tidak begitu? Hal-hal ini memerlukan kepada kesediaan kita untuk mengembara, membongkar kembali banyak bahan yang tercicir dari mainstream.
Kali ketiga menontonnya setelah membaca beberapa review mengenai filem ini di Internet seperti Memorable Quotes for Kingdom of Heaven (2005) dan Kingdom of Heaven (Wikipedia) bagi memantapkan pemahaman mengenai filem ini.

Bila terbaca komen rakan BH diatas, saya terfikir adakah orang Islam terlupa sejarah? The Crusades memang ada, Perang Salib memang ada. Pembebasan Kota Jerusalem oleh Salahuddin Al-Ayubi memang benar.
Filem itu berkisar di zaman the Crusades pada abad ke 12. Disebabkan filem ini, filem terbitan barat maka filem ini lebih banyak memaparkan usaha pihak Kristian mempertahankan Jerusalem dari ditawan oleh tentera Islam. Kebanyakan dari watak-watak dalam filem ini adalah benar berdasarkan sejarah zaman itu, seperti King Baldwin IV yang menghidap sakit kusta, Guy of Lusignon dan Salahuddin Al-Ayubi (Saladin).

Apa yang menarik tentang filem ini ialah ia menggambarkan Islam sebagai agama toleransi yang dipaparkan dalam babak ketika penawanan kota Jerusalem di antara Balian dan Saladin. Saladin menawarkan Balian menyerah Jerusalem kepadanya dan Saladin akan memastikan orang Kristian Jerusalem selamat dalam perjalanan ke tanah Kristian. Balian ragu-ragu lantas memberitahu semasa the Crusaders menawan Jerusalem beratus tahun dahulu, mereka telah membunuh penduduk Islam Jerusalem dengan kejam tetapi Saladin menegaskan bahawa dia adalah lelaki yang bermaruah dan berpegang pada janji lantas memberi laluan selamat kepada Balian dan orang-orangnya untuk meninggalkan Jerusalem.


The Alcazar of Seville


Di dalam filem ini juga memaparkan the Alcazar of Seville iaitu sebuah istana diraja di Seville, Sepanyol. Dibina oleh Kerajaan Almohades merupakan satu contoh mudejar arkiteksur. Mudejar merupakan gelaran untuk orang Islam yang tinggal dibawah jajahan orang Kristian di Sepanyol selepas episod Reconquista sebelum dipaksa tukar agama atau dihalau dari negara Sepanyol. Didalam filem ini, Ridley Scott telah menggunakan courtyard di the Alcazar sebagai salah satu lokasi bagi istana untuk King of Jerusalem yang memakai topeng itu.
Semoga dengan menonton filem ini, menyuntik semangat kita untuk mengenal sejarah Islam di zaman Medieval Europe seperti saranan saifulislam.com.