Wednesday, 2 September 2009

Laut itu duniaku..

Pertama kali melihat gambar-gambar kaum Bajau Laut dibawah ni, hati terdetik, alangkah gembiranya mereka. Hidup serba ringkas, dikelilingi laut nan biru, setiap hari berinteraksi dengan alam ciptaan Allah S.W.T. Laut itu dunia mereka, tempat tinggal mereka, lubuk rezeki mereka, padang permainan mereka.

Lihatlah laut yang biru/hijau, begitu cantik sekali..
 







  Sebenarnya di dalam bulan Ramadhan ni, sudah dua kali saya menonton dokumentari mengenai kaum Bajau Laut. Pertama kali, di dalam program Enigmatic Malaysia di Discovery Channel dan keduanya, program Jelajah Ramadan TV9.

Kaum Bajau Laut tinggal di perairan Semporna, Sabah. Didalam kedua-dua dokumentari, kaum ini didapati tinggal di Pulau Mabol, Pulau Gaya dan Pulau Omadal. Kebanyakan mereka tinggal di rumah-rumah yang dibina diatas tiang di laut. Ada juga yang masih tinggal di dalam bot. Bayangkan tujuh orang sekeluarga tinggal di dalam bot. Sedihnya tapi ramai juga yang telah berhijrah  ke tanah, membina rumah di pesisir pantai dan di daratan.

Dokumentari di Discovery Channel lebih banyak mengupas suka-duka kaum Bajau Laut ini. Masalah dari segi kewarganegaraan, pendidikan, masa depan kanak-kanak, pencemaran sampah-sarap dan lain-lain topik dikupas. Tapi yang paling menggembirakan ialah walaupun berada di tengah-tengah laut, mereka ini beragama Islam. Dokumentari Jelajah Ramadan TV9 memaparkan suasana Ramadan kaum Bajau Laut di Kampung Bangau-Bangau.

Melayan kedua-dua dokumentari ini menyebabkan saya terfikir masih ada lagi penduduk Malaysia yang masih lagi nomad, berpindah-randah, hidup dalam keadaan serba kekurangan begitu. Saya sebenarnya tak tahu adanya kaum ini di Sabah  Yelah selama ni cuma tahu kaum Bajau yang menunggang kuda itu saja.

Kudos to both documentaries.

Wednesday, 19 August 2009

Balik kampung

Semalam saya balik kampung. Tapi bukan kampung saya. Kampung orang lain. Kampung ni pertama kali saya jejaki pada akhir tahun 80'an. Masa tu belajar di Damansara Utama, naik bas Sri Jaya, lalu Taman Tun. Kampung ni letaknya di hujung Taman Tun, penuh dengan hutan-hutan menghijau. Dulu di kampung ni ada perkampungan Al-Arqam. Kampung Sungai Penchala, namanya.

Pertama kali mengenali Al-Mathurat di kampung ini lah. Ketika usrah dengan isteri warden asrama, berterabur baca, sebab sebelum ni memang tak pernah tengok dan baca (tak pernah tahu pun juga). Naqibah dah biasa, baca laju..last-last, saya 'miming' je..pengakuan benar.


Terasa ingin berlari berkaki ayam, bergolek-golek di atas rumput (yang sebelah kiri je..hihi)..macam dalam Little House on the Prairie


Terasa ingin bersantai-santai di tepian kali..hehe..airnya bersih, dong


















Terasa ingin kembali ke zaman kanak-kanak, berlari-lari sambil menerbangkan layang-layang kertas..

Sudah penat berimaginasi. Berhenti mengharap.

Sekali-sekala menjejakkan kaki ke kampung tradisi di Bandaraya Kuala Lumpur ni terasa berada di kampung sendiri. Rindu itu datang bertamu. *sigh*

Wednesday, 5 August 2009

Niat

Suami isteri itu hidup tenteram mula-mula. Meskipun melarat, mereka taat kepada perintah Tuhan. Segala yang dilarang Allah dihindari, dan ibadah mereka tekun sekali. Si Suami adalah seorang yang alim yang taqwa dan tawakkal. Tetapi sudah beberapa lama isterinya mengeluh terhadap kemiskinan yang tiada habis-habisnya itu. Ia memaksa suaminya agar mencari jalan keluar. Ia membayangkan alangkah senangnya hidup jika segala-galanya serba cukup.

Pada suatu hari, lelaki yang alim itu berangkat ke ibu kota, mahu mencari pekerjaan. Di tengah perjalanan is melihat sebatang pohon besar yang sedang dikerumuni orang. Dia mendekat. Ternyata orang-orang itu sedang memuja-muja pohon yang konon keramat dan sakti itu. Banyak juga kaum wanita dan pedagang-pedagang yang meminta-minta agar suami mereka setia atau dagangnya laris.

"Ini syirik," fikir lelaki yang alim tadi. "Ini harus dibanteras habis. Masyarakat tidak boleh dibiarkan menyembah serta meminta selain dari Allah SWT"

Maka pulanglah dia terburu. Isterinya heran, mengapa secepat itu suaminya kembali. Lebih heran lagi waktu dilihatnya si suami mengambil sebilah kapak yang diasahnya tajam. Lantas lelaki alim tadi bergegas keluar. Isterinya bertanya tetapi ia tidak menjawab. Segera dinaiki keldainya dan dipacu cepat-cepat ke pohon itu.

Sebelum sampai ditempat pohon itu berdiri, tiba-tiba melompat sesusuk tubuh tinggi besar dan hitam. Dia adalah iblis yang menyerupai sebagai manusia.

"Hai, mahu ke mana kamu?" tanya si iblis.

Orang alim tersebut menjawab, "Saya mahu menuju ke pohon yang disembah-sembah orang bagaikan menyembah Allah. Saya sudah berjanji kepada Allah akan menebang roboh pohon syirik itu."

"Kamu tidak ada apa-apa hubungan dengan pohon itu. Yang penting kamu tidak ikut-ikutan syirik seperti mereka. Sudah pulang saja."

"Tidak boleh, kemungkaran mesti dibanteras," jawab si alim bersikap tegas.

"Berhenti, jangan teruskan!" bentak iblis marah.

"Akan saya teruskan!"

Kerana masing-masing tegas pada pendirian, akhirnya terjadilah perkelahian antara orang alim tadi dengan iblis. Kalau melihat perbezaan badannya, seharusnya orang alim itu dengan mudah boleh dibinasakan. Namun ternyata iblis menyerah kalah, meminta-minta ampun.

Kemudian dengan berdiri menahan kesakitan, dia berkata, "Tuan, maafkanlah kekasaran saya. Saya tak akan berani lagi mengganggu tuan. Sekarang pulanglah. Saya berjanji, setiap pagi, apabila Tuan selesai menunaikan sembahyang Subuh, di bawah tikar sembahyang Tuan saya sediakan wang emas empat dinar. Pulang saja berburu, jangan teruskan niat Tuan itu dulu,"

Mendengar janji iblis dengan wang emas empat dinar itu, lunturlah kekerasan tekad si alim tadi. Ia teringatkan isterinya yang hidup berkecukupan. Ia teringat akan saban hari rungutan isterinya. Setiap pagi empat dinar, dalam sebulan saja dia sudah boleh menjadi orangkaya. Mengingatkan desakan-desakan isterinya itu maka pulanglah dia. Patah niatnya semula hendak membanteras kemungkaran.

Demikianlah, semenjak pagi itu isterinya tidak pernah marah lagi. Hari pertama, ketika si alim selesai sembahyang, dibukanya tikar sembahyangnya. Betul di situ tergolek empat benda berkilat, empat dinar wang emas. Dia meloncat riang, isterinya gembira. Begitu juga hari yang kedua. Empat dinar emas. Ketika pada hari yang ketiga, matahari mulai terbit dan dia membuka tikar sembahyang, masih didapatinya wang itu. Tapi pada hari keempat dia mulai kecewa. Di bawah tikar sembahyangnya tidak ada apa-apa lagi keculai tikar pandan yang rapuh. Isterinya mulai marah kerana wang yang kelmarin sudah dihabiskan sama sekali.

Si alim dengan lesu menjawab, "Jangan khuatir, esok barangkali kita bakal dapat lapan dinar sekaligus."

Keesokkan harinya, harap-harap cemas suami-isteri itu bangun pagi-pagi. Selesai sembahyang dibuka tikar sejadahnya kosong.

"Kurang ajar. Penipu," teriak si isteri. "Ambil kapak, tebanglah pohon itu."

"Ya, memang dia telah menipuku. Akan aku habiskan pohon itu semuanya hingga ke ranting dan daun-daunnya," sahut si alim itu.

Maka segera ia mengeluarkan keldainya. Sambil membawa kapak yang tajam dia memacu keldainya menuju ke arah pohon yang syirik itu. Di tengah jalan iblis yang berbadan tinggi besar tersebut sudah menghalang.

Katanya menyorot tajam, "Mahu ke mana kamu?" herdiknya menggegar.

"Mahu menebang pohon," jawab si alim dengan gagah berani.

"Berhenti, jangan lanjutkan."

Maka terjadilah kembali perkelahian yang hebat. Tetapi kali ini bukan iblis yang kalah, tapi si alim yang terkulai.

Dalam kesakitan, si alim tadi bertanya penuh heran, "Dengan kekuatan apa engkau dapat mengalahkan saya, padahal dulu engkau tidak berdaya sama sekali?"

Iblis itu dengan angkuh menjawab, "Tentu saja engkau dahulu boleh menang, kerana waktu itu engkau keluar rumah untuk Allah, demi Allah. Andaikata kukumpulkan seluruh belantaraku menyerangmu sekalipun, aku takkan mampu mengalahkanmu. Sekarang kamu keluar dari rumah hanya kerana tidak ada wang di bawah tikar sejadahmu. Maka biarpun kau keluarkan seluruh kebolehanmu, tidak mungkin kamu mampun menjatuhkan aku. Pulang saja. Kalau tidak, kupatahkan nanti batang lehermu."

Mendengar penjelasan iblis ini si alim tadi termangu-mangu. Ia merasa bersalah, dan niatnya memang sudah tidak ikhlas kerana Allah lagi. Dengan terhuyung-hayang ia pulang ke rumahnya. Dibatalkan niat semula untuk menebang pohon itu. Ia sedar bahwa perjuangannya yang sekarang adalah tanpa keikhlasan kerana Allah, dan ia sedar perjuangan yang semacam itu tidak akan menghasilkan apa-apa selain dari kesia-siaan yang berlanjutan. Sebab tujuannya adalah kerana harta benda, mengatasi keutamaan Allah dan agama.

"Barangsiapa di antaramu melihat sesuatu kemungkaran, hendaklah (berusaha) memperbaikinya dengan tangannya (kekuasaan), bila tidak mungkin hendaklah berusaha memperbaikinya dengan lidahnya (nasihat), bila tidak mungkin pula, hendaklah mengingkari dengan hatinya (tinggalkan). Itulah selemah-lemah iman." Hadith Riwayat Muslim