Wednesday, 30 September 2015

Cuti Hari Raya Haji

Assalamualaikum..

Hari Raya Eidul Adha sudah berlalu, hari tasyrik dan takbir raya pun sudah tamat..kerja haji sudah selesai, ditutup dengan tawaf dan saei haji serta bertahlul. 

Apabila dikenang-kenang, pada saat ini, disaat helaian rambut digunting, perasaan itu bercampur-baur, rasa syukur, sedih, gembira, sayu, masing-masing berpelukan, menangis gembira, mengenang peristiwa perjalanan yang ditempuhi...tak dapat diluahkan dengan perkataan...huhu...Arafah, Mudzalifah, Mina..tetap dalam kenangan...Makkah dan Madinah yang dirindui..
-----------------------------------------
Cuti raya haji 4 hari. Balik kampung pada malam raya, selepas Maghrib. Sesak di highway, tengah malam baru sampai di kampung.

Pagi raya, bersolat di masjid Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS), dekat saja dengan rumah. Suka solat raya di sini sebab khutbah rayanya sangat power. Tajuk khutbah raya haji - Pengorbanan dan Persaudaraan.

 ada Imam Muda Jabar


                           orang perempuan tak ramai bersolat di tingkat atas

 Masjid KUISAS

 kampus
 -----------------------------------------------------------

Dapat daging korban..buat sup..rebus guna dapur kayu..

 memasak sup daging guna dapur kayu
*smoke gets into your eyes*

 pokok pisang tepi rumah, ada dua tandan pisang raja

 Ada banyak mangga muda, buat pajeri..


Gambar pajeri mangga tak snap pula

Dah masak-masak, makan-makan, turun bukit untuk ke tepi sungai..

 menghirup udara petang di Dataran Sungai Perak
Alhamdulillah, jerebu sangat kurang di sini 

Bestnya cuti..

Monday, 28 September 2015

Jom Masuk Wataniah

Assalamualaikum..

Tetiba je ajak jadi Askar Wataniah (AW)..bukanlah sebab kena merentas hutan belantara (jungle trekking) sampai tiga kali di Taman Negara Pahang tempohari..tapi berkesempatan ke pameran promosi Askar Wataniah di Bangunan SUK, Shah Alam, tiga minggu lepas...untuk bunuh masa (to kill time) sementara menunggu kaunter dibuka..


Dah lama dengar tapi apakah Askar Wataniah ni? Askar Wataniah ialah satu pasukan dalam Angkatan Sukarela Persekutuan yang berfungsi sebagai Pasukan Simpanan Tentera Darat. Motto AW - Berkhidmat Untuk Negara.

 pameran di main entrance Bangunan SUK, Shah Alam

Sejarah Penubuhan

Kalau ikutkan sejarah, pasukan sukarela telah lama wujud di Tanah Melayu sejak tahun 1861 dengan penubuhan pasukan sukarela 'Penang Volunteer'. Kemudian beberapa pasukan sukarela baru ditubuhkan seperti 'Federated Malay States Volunteer Force' (FMSVF), 'Unfederated Malay States Volunteer Force' (UMSVF) dan 'Straits Settlement Volunteer Force' (SSVF).

Semasa perang dunia kedua, semua pasukan sukarela yang wujud telah sama-sama berganding bahu dengan Angkatan Tetap menentang tentera Jepun di Malaya. Apabila tercetusnya darurat di Malaya pada tahun 1948, satu pasukan sukarela iaitu Pasukan Kawalan Kampung (Home Guard) telah ditubuhkan. Pasukan Kawalan Kampung ini telah memainkan peranan penting sepanjang masa darurat tersebut.

Dalam tahun 1958, apabila keadaan keselamatan dalam negeri telah dapat dikawal semula, Pasukan Kawalan Kampung telah dibubarkan. Tetapi ramai anggota Pasukan Kawalan Kampung mahu terus menyumbang tenaga sukarela mereka. Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah mewujudkan The Territorial Army Ordinance pada tahun 1958 sebagai panduan perkhidmatan sukarela. Dengan kuasa Ordinan ini, pasukan sukarela yang baru dikenali sebagai Askar Wataniah ditubuhkan pada 1 Jun 1958 secara rasmi. 

 pakaian-pakaian Askar Wataniah

Pasukan-pasukan Askar Wataniah
Askar Wataniah telah distrukturkan dalam komponen-komponen berikut:
  • Elemen Tempur
  • Elemen Bantuan Tempur
  • Elemen Bantuan Perkhidmatan
  • Elemen Pakar
  • Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES)
Anda berpeluang memilih mana-mana pasukan untuk berkhidmat terutama pasukan yang berdekatan dengan tempat tinggal anda.

OK, mari kita lihat tugas dan peranan elemen-elemen diatas (sila bayangkan situasi semasa peperangan meletus):

Elemen Tempur

Rejimen Siri 500 Askar Wataniah 
berperanan sama seperti pasukan infantri Angkatan Tetap - maknanya kena bergerak dibarisan hadapan, yang pegang senjata

Armor
Kor Armor Diraja telah mewujudkan Skuadron Armor (AW) yang diintegrasikan dalam setiap regimennya. 

Elemen Bantuan Tempur

Yang ni membantu Elemen Tempur terdiri dari Semboyan (sebagai barisan kedua pasukan pengendali komunikasi TD), Jurutera (melatih AW dalam aspek kejuruteraan medan), Artileri, Risik dan Polis Tentera.

Elemen Bantuan Perkhidmatan

Kor Perkhidmatan-Kompeni Angkut, Kompeni Bekalan dan Platun Hantaran Udara
Kor Ordnans
Kor Jurutera Letrik dan Jentera - mengendali workshop
Kor Kesihatan - kompeni ubat

Elemen Pakar

Kor Semboyan
Dianggotai oleh individu yang bertugas dengan Telekom Malaysia. Kesemua skuadron Semboyan DiRaja (AW) dibawah pentadbiran Rejimen Semboyan DiRaja Pakar Telekom, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur.

Kor Jurutera
Rejimen Jurutera Pakar Pengendalian Pelabuhan
Rejimen Jurutera Pakar Pengendalian Keretapi
Rejimen Jurutera Pakar Pengendalian Air
Rejimen Jurutera Pakar Pengendalian Janakuasa

(dianggotai oleh kakitangan pekerja pelabuhan, KTMB, Bekalan Air dan TNB)


PALAPES
 
Untuk melahirkan pegawai-pegawai lepasan IPTA yang terlatih dalam ilmu ketenteraan sebagai sumber tenaga bagi Angkatan Tetap dan Simpanan.  IPTA yang mempunyai unit PALAPES ialah UM, UKM, UPM, UiTM, USM, UUM, UTM, UMS, UNIMAS, UPSI, UTHM dan UNIMAP.

Syarat-syarat Penyertaan AW ialah warganegara Malaysia yang berumur antara 18 hingga 45 tahun, sihat tubuh badan, kelulusan akademik sekurang-kurangnya Penilaian Menengah Rendah (lain-lain pangkat) atau lulus Sijil Pelajaran Malaysia (pegawai) dan tiada rekod jenayah.

Kemudian ada latihan-latihan asas ketenteraan, kursus Asas Perajurit Muda, Latihan Kem Tahanan, dll. Ada elaun dan saguhati dan juga perkembangan kerjaya.

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi:

Markas Tentera Darat
Bahagian Pasukan Simpanan
Wisma Pertahanan, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur
Tel: 03-2071 2306/2283/3330/3322
laman web: http://army.mod.gov.my/web_kor/raw/index.html

Macamana, adik-adik semua, berminat? Kalau masih muda, nak juga masuk tapi tang latihan askar tu cam lemah sikit..hehe..


Inilah barisan kita, yang ikhlas berjuang, 
siap sedia berkorban untuk ibu pertiwi
sebelum kami berjaya, jangan harap kami pulang, 
inilah sumpah pendekar kita, menuju medan bakti
andai kata kami gugur semua, taburlah bunga diatas pusara
semboyan telah berbunyi, menuju medan bakti..

"Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (diperbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung" (Ali Imran: 200)

Wednesday, 23 September 2015

Makkah Yang Dirindui

Assalamualaikum...Salam Aidil Adha 1436H.

In shaa Allah, esok, umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidiladha dan pada hari ini 9 Zulhijjah, para jemaah haji akan berwukuf di Arafah, bermula waktu Zuhr hingga Maghrib di Arab Saudi bersamaan lebih kurang pukul 5.30 petang hingga 11.00 malam, waktu Malaysia. Diantara waktu-waktu yang mustajab untuk berdoa...

Mudzalifah

Hari Raya Aidil Adha juga mengingatkan kita kepada peristiwa agung yang berlaku di antara Nabi Ibrahim as dan Nabi Ismail as, sebagai lambang pengorbanan dan ketaqwaan peringkat tertinggi. Di antara penceritaan kisah ini yang paling saya suka baca dan paling terkesan di hati ialah entry dalam blog Kereta Mayat Apabila Malaikat pun bertanya?
------------------------------
Suka untuk berkongsi artikel menarik mengenai Kota Makkah oleh Tuan Haji Mohamad Zaini Hassan dalam pamphlet Tabung Haji. Semoga bermanfaat..

Kota Suci Makkah Al-Mukaramah sentiasa dirindukan oleh hati jutaan umat Islam dari seluruh pelusuk dunia, kota di mana turunnya wahyu-wahyu Ilahi kepada Nabi Besar Muhammad s.a.w., kota di mana terletaknya Masjidil Haram dan Kaabah Al-Musyarafah yang menjadi tanda kebesaran Allah swt. Selain itu kota ini adalah kota yang paling suci di atas permukaan bumi ini dan paling dicintai Allah dan RasulNya. Ianya juga adalah tanah tumpah darah junjungan besar kita Nabi Muhammad saw dan menjadi pusat terpancarnya Nur Allah di muka bumi ini. 

Abdullah bin 'Adi bin Al-Hamra meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah saw bersabda: "Demi Allah! Kamu (wahai Mekkah) adalah tanah Allah yang terbaik, dan yang sangat dicintai olehNya. Andai kata aku tidak diusir daripada kamu, aku tak akan berpisah (daripada kamu)." (Hadis riwayat Ahmad, Ibn Majahdan Tirmidhi).

Ibn 'Abbas pula berkata: Rasulullah saw bersabda: "Betapa tempat yang indahnya kamu! Kamu adalah tempat yang paling aku cintai! Sekiranya orang -orangku tidak mengusirku daripadamu, aku tak akan berpisah (dari sini) untuk hidup di satu tempat yang lain".

Al-Quran secara khusus, berkali-kali menyebut kota ini dengan berbagai nama yang berjumlah sebelas kesemuanya, diantaranya ialah Makkah, Bakkah, Al-Baladul Amin, Al-Haramul Amin, Ummul Qura, Al-Baidah Al-Tayyibah dan sebagainya.

Bahkan Allah swt pun bersumpah dengan kota suci ini, dan memberikan kelebihan dan keistimewaan-keistimewaan besar, yang tidak diberikan kepada kota-kota lain di dunia ini.

Kehendak Allah Yang Maha Kuasa dengan meletakkan Masjidil Haram dan Kaabah Baitul Atiq yang menjadi kiblat umat Islam sedunia, menjadikan Kota Suci ini sangat dicintai dan berpengaruh besar bagi umat Islam di sepanjang masa. Setiap umat Islam menghadapkan muka ke arahnya sekurang-kurangnya lima kali sehari semalam, dan menjadi tempat untuk seluruh kaum muslimin sedunia datang berhaji dan umrah.

Mudzalifah

Dipinggir Kota Makkah, iaitu di Jabal Nur, turunnya wahyu Ilahi yang pertama iaitu Surah Al-Alaq. Di sini jugalah menjadi tempat Nabi Muhammad menyendiri dan beribadat kepada Allah swt.  Setelah itu berturut-turut wahyu Ilahi turun kepada Nabi Besar kita melalui Malaikat Jibril Al-Amin, sehingga ayat-ayat suci Al-Quran yang turun di kota ini dinamakan Surah Makkiyah, manakala yang turun di Madinah dinamakan ayat-ayat Madaniyyah.

Makkah terletak lebih kurang 80 kilometer dari pantai, dikelilingi oleh banjaran bukit-bukau dari semua sudutnya kecuali tiga laluan yang sempit.  Sebelum kedatangan Nabi Ibrahim yang membawa isterinya Siti Hajar serta anaknya Nabi Ismail, Makkah hanyalah menjadi tempat laluan kafilah-kafilah pedagang. Tempat itu adalah lembah gersang tanpa air dan tanpa tumbuh-tumbuhan.

Setelah munculnya perigi zam-zam lahirlah Kota Makkah apabila suku Jurhum datang beramai-ramai untuk hidup bersama-sama Siti Hajar dan Nabi Ismail a.s. Keturunan Nabi Ismail yang berkahwin dengan gadis dari suku kaum ini terus berkembang dan di antaranya ialah kaum Arab Quraisy, iaitu suku kaum Nabi Muhammad s.a.w.

Kaum Jurhum ini membuat perkampungan di Bukit Qu'aiqu'an yang dikenali sekarang ini sebagai Jabal Hindi.

Di antara penduduk awal Kota Makkah ialah kaum atau puak 'Amaliqah, yang berasal dari Yaman.  Mereka membuat kampung di Jiyad dan memerintah di sebelah bawah Makkah (al-Misfalah).

Setelah Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail membangunkan Kaabah, Kota Makkah terus berkembang dan sangat dipandang mulia oleh orang-orang Arab.

Di samping menjadi kota ibadah, Kota Makkah ketika itu turut menjadi kota perdagangan dan kota kesenian di mana pertandingan membaca puisi dan syair sering diadakan.  Ia juga berperanan sebagai pusat media di mana berita dan maklumat disebarkan.  Orang-orang Arab ketika itu juga menjadikan Kota Makkah sebagai tempat mereka mengadakan perjumpaan, persidangan dan mengikat perjanjian.

Begitulah kebesaran dan kekuasaan Allah swt.  Dari lembah yang gersang tanpa penghuni bertukar menjadi kota yang menjadi kerinduan bagi setiap umat Islam sedunia. 

 kenangan di Kota Makkah - ada pulak yang interframe..

 kenangan di airport Jeddah

*gambar2 lama - disnap terus dari dalam album gambar

Selamat pulang ke kampung halaman bagi mereka yang beraya di kampung dan selamat beribadah korban