Wednesday 6 August 2008

Cerpen Pilihan : Bulanku di Stella Oceanis

Saya sangat tertarik dengan cerpen nukilan Rosie Haslinda Nasir yang bertajuk Bulanku di Stella Oceanis. Cerpen ini pernah disiarkan di Mingguan Malaysia, Ahad 7 Februari 1999. Sehingga kini saya masih menyimpan keratan akhbar tersebut. Tertarik dengan gaya bahasa, bahan cerita dan gaya persembahan berbentuk naratif. Enjoy...


BULANKU DI STELLA OCEANIS
 
Si jelita itu berdansa di bawah renjisan bulan. Ada cahaya bercumbu di kilatan-kilatan rambutnya yang kuning keemasan. Botol wiski di tangan kanannya. Dasi sutera di tangan kirinya. Lelaki terpegun berkeliling, galak bersorak dan bersiul miang. Pinggulnya bergoyang-goyang di balik gencel kain yang jarang.

Subhanallah! Cepat aku berpaling.

Malam berkabut, Stella Oceanis 5500 tan menentang gelora Laut Aegean. Bahtera enam dek dengan 159 kabin penumpang membelah bingkai malam dipacu kelajuan 16 knots – angin dingin berpusar di romaku. Selendang tenunan dua jarum kulingkar rapat ke leher. Gerbang tiga tiang gergasi di atas podium tempat bangsa purba Greek puja memuja, lenyap ditelan gunung-gemunung, Tanah Delphi kian jauh.

Aku lihat si jelita semakin ligat bergelek bermandi cahaya bulan. Kejora gemilang bersinar di mata hijaunya. Sesekali mengerdip menghantar goda kepadaku.

“Kau tidak mahu menari, sayang?”

Pinggangku dirangkul tiba-tiba. Bau rokok dan arak tajam menyendal nafas. Seorang lelaki berjambang, bertulang pipi tinggi bercelana pendek, susah payah berdiri. Dia menyeringai besar. Bau sengit tadi lekas tergelincir dari giginya. Aku tumbut perutnya sekali.

“Ini tarian pertama saya”

Aku jeling lelaki yang semput memegang perut. Dia jatuh berlutut. Tangan jahatnya masih merayap di betisku.

“Dan ini tarian kedua saya!”

“Uurgh!”

Dia terpekik sewaktu jari-jarinya ku lanyak dengan tapak kasut. Muntahnya berbusa-busa. Berlambakan di lantai kapal.

Si jelita masih lagi menari mengirai cahaya bulan. Masih mengilai menyergah bintang. Masih bernyanyi sihir pesona. Terus mabuk merasuk membujuk ghairah malam.

Stella Oceanis menderu di antara belahan ombak. Laut berbunga gelora. Aku berlalu ke bilik tidur, melempar pakaian dan selendang yang disengat bau rokok, arak dan masam muntah, lekas membersih diri. Renungan si jelita tertinggal membidik dadaku.

Stella Oceanis mendesah mencari bulan di tengah gelombang.

“Lena tidur semalam?”

Sheldon, kapten kapal yang kacak lawa menyapa mesra. “Ada masalah?Saya harap semuanya bagus.”

Aku senyum.

“Sepuluh minit lagi kita akan berlabuh di Pulau Mykonos. Tempat cantik. Kamu tentu suka.”

Rumah-rumah bumbung rata bercat putih gading bangkit di antara kebiruan laut dan saujana langit. Kapal-kapal layer melabuh sauh. Beberapa buah hovercraft tunda-menunda mengejar pesisir pulau. Merapat ke pelabuhan. Letih dari Athens yang dimesrai dua hari sebelumnya, dari Kuil Roman Zeus sehingga ke Muzium Arkeologi di Delphi, lenyap apabila menyusur baying rumah-rumah kincir. Bilah-bilah kipas asmaradanta berputar dikisar angin. Lelahku terbang di hujung kincir. Terpelanting ke tengah laut.

Aroma jagung bakar menemani istiharatku yang panjang. Masih ada satu jam lagi untuk berputar di Pulau Mykonos.

“Stella Oceanis jarang menunggu. Kalau tak mahu berenang, baik cepat!”

Gurauan Sheldon mengusik kuping. Lekas aku bangun. Berkelintar di Jalan Tavernas dari bazar ke bazaar.

“Hei, jelita. Kau tak payah pulang. Tinggal di sini?”

Aku selak kain-kain tenun aneka corak yang bergantungan. Kulihat si jelita tersandar di dinding, benarlah, dia yang berdansa di geladak kapal semalam, amat kukenal mata hijaunya yang bersinar-sinar. Lima pemuda berkeliling mengepung. Dia cuba lolos, tetapi segera ditahan.

“Hei! Kau tak boleh pulang.”

Si jelita tunduk. Pemuda kurus menarik bajunya sambil ketawa berdekah-dekah.

Jantan kurang ajar! Aku hayun tangan kananku. Menampar muka lelaki biadab itu. Luar biasa beraninya.

“Siapa kata dia tak boleh pulang?”

Mereka tercengang-cengang dengan kemunculanku. Pemuda kurus menyentuh pipinya yang merah. Bersiut menahan perit. Dia masih tercenung memegang pipi melihat kami selamba berlenggang menuju pelabuhan.

Stella Oceanis menyisir ombak dua ribu batu nautika. Malam itu geladak kapal sunyi tanpa tarian si jelita, aku urut dada lega. Muzik rancak membuak dari bilik kasino. Seorang wanita berskirt sontok keluar berkipas. Wangian Moschino bertebar.

“Di luar saja?” Dia senyum ramah. “Masuklah. Ada pertunjukan tarian,” tambahnya sambil membelek-belek muka pada cermin mekap kecil.

“Tarian kebudayaankah?”

Terkirai gelaknya. “Tarian kebudayaan?” Dia mengilai kuat, “Siapa mahu tonton tarian kebudayaan kalau ada Audrey?”

Laut Aegean gelora, aku kembali ke kabin memilin gelora hati dengan witir di hujung selimut. Pelayaran sudah larut dua pagi sewaktu pintu kabinku diketuk berkali-kali. Selimut kusisih ke tepi, merungut mencari tombol pintu. Cahaya bulan yang ilam-ilam mengintai dari jendela separuh terbuka.
“Boleh saya masuk?”

Si jelita meluru mencari sofa warna krim di sudut kabin. Pandangannya merayap pada cadar katil yang berselerak dengan buku-buku.

“Hmm, kamu peminat arkitek Le Corbusier?” Dia mencapai sebuah buku kulit keras. Melirik padaku. “Um, pengikut setia ideologi modernism arkitek Mies Van der Rohe. Pemuja konsep Senibina Organik arkitek Frank Lyold Wright. Ekstremis Renzo Piano. Mengharmoni inovasi teknologi dengan alam.”

“Letakkan buku-buku saya semula.” Aku jegil ke arahnya.

“Kamu tahu….” ujarnya lembut. “Ada seorang wanita dipanggil Air. Lelaki tidak boleh hidup tanpanya. Air itu romantik, cantik. Air sendi kekuatan, kegembiraan. Air sangkar kemanisan, keluk kesegaran, ketegangan segenap aliran. Landskap menyempurna seni bina. Air adalah kehidupan adalah wanita.”
”Ricardo Legorreta! Oh!” Aku terjerit tidak percaya. Gugup menahan gembira yang terbit di dada. “Kamu pun tahu puisi itu?” Terburu-buru aku tarik sofa dekat padanya. “Kamu pun tahu?”

Kabin 107 ditinggalkan, gelap, berlanjutan di geladak kapal yang sunyi ditimpa cahaya bulan. Audrey terjerit apabila sesekali terlihat sepasang lumba-lumba merentas menguak gelombang.

“Kalau aku jadi lelumba, aku renang hingga ke Naos.”

Aku jeling Audrey yang mula meliuk menari-nari. Gambaran bilik tengah kuil tukangan arkitek Hellenic yang tiris sedikit cahaya cepat menjelma. The house of the Gods bangunan monumental Greece. Kalau benar Naos itu yang rekah di mataku, tempat patung Tuhan Greek ditugu, disembah dipuja, aduh, karut benar wanita ini!

“Kenapa Naos? Aku gagal menyimpan curiga. Mata hijau Audrey melekat di mataku.

“Aku mencari tuhanku. Dia di situ. Tuhan kau di mana?”

“Tuhanku tidak pernah dipatungkan. Tidak pernah dibatukan. Tidak pernah dipakukan. Dia ada dalam hati orang beriman. Iman yang memperteguh kepercayaan. Ibadat yang menyalur keyakinan. Ihsan yang mencambah kemanusiaan. Kau tentu tidak berminat, Audrey.”

Ombak berkalung-kalung ditinggalkan Stella Oceanis. Dua anak kapal, teruna berkumis berkening lebat, meronda tentunya., melambai ke arah kami. Audrey tergedik membalas.

“Aku terhidu obsesi kau pada arkitek yang bukan sebangsa.” Dia tersenyum berbara. “Mana kau letakkan arkitek bangsamu sendiri? Diri kau sendiri? Dalam almari?”

Audrey menari-nari lagi.

“Hei! Aku belum lupa dari mana akarku. Jangan cabar, Audrey. Kami ada arkitek. Hijjas Kasturi yang kreatif dengan konsep metaphor. Bangunan Hijjas kaya perlambangan budaya. Menara Maybank dengan imej Taming Sari. Perpustakaan Negara dengan imej Tengkolok. Metaphor Pucuk Rebung pula menara Telekom. Lihat sahaja corak geometri Islam pada Menara Berkembar Petronas. Kami ada Raja Bahrin.”

“Apa sehebat Doric di Kuil Parthenon, Athens?” Audrey menduga. Jurai bulan mengerdip di mata hijaunya. “Apa sekukuh Roman Corinthian di Kuil Castor, Rom? Sekebal Hellenistic Ionic di Kuil Artemis, Magnesia? Mampu cabar citadel bandar Acropolis di Athens? Hah?”

Ah! Wanita ini, bagaimana mungkin dapat kujinakkan hatinya? Katanya liar, tingkahnya menggegar. Aku gusar menahan gamam.

Masyarakat purba Islam sudah lama menukang citadel. Abad ke-13, bandar Alhambra sudah bangun di Sepanyol. Rumah kincir angin yang bertabur di Pulau Mykonos, sudah lama berputar di Sistan, timur Iran. Bilah kipasnya daripada jerami kering. Tetap praktikal.”

Aku kerling dia yang tergeleng kurang percaya. “Dan lagi Audrey…” Aku senyum-senyum mengejek. “ Kalau setakat bilik mandi wap yang kamu bangga-banggakan di tempat kamu, ah! Nama sebenarnya hammams. Sudah lama wujud dalam bandar Islam!”

Aku terkesan radang di wajah bujurnya. “Kau degil. Enggan beralah”, aku tidak berselindung. “Dan kau berani, sayang tidak bertempat.” Sesegera itu aku terbayang si jelita yang mengelinjang menari di bawah cahaya bulan tetapi tunduk menikus apabila diganggu lelaki Pulau Mykonos.

“Bukan begitu caranya mencari tuhan, Audrey.” Audrey membisu.

Pagi mengingsut, Stella Oceanis belayar mencari rumput Pulau Rhodes. Sebelum kukatup rapat pintu kabin, ralip, sempat kubisik ke telinganya: "Kau berhujah seperti arkitek ternama, Audrey.”

Dia senyum bangga. “Aku pernah bekerja sebagai setiausaha di firma arkitek. Bertahun-tahun.” Begitu dia mengaku. “Setiausaha sulit. Mengurus sehingga yang sulit-sulit!”

“Skandal!”

“Kerana skandal perempuan masyhur. Kau lihat skandal Rumah Putih, uh! Aku mahu jadi terkenal seperti Monica Lewinsky!” Hilaian Audrey menjadi-jadi sewaktu pintu kayu berukir kepala singa kukunci dari dalam.

Pelayaran pulang ke Athens aku sunyi dan hatiku bertambah sunyi melihat Audrey mabuk merasuk mendewa malam. Dia tidak pernah lagi kulihat selepas itu.
Bertahun aku benamkan kerinduan terhadap suara manis itu pada kegelisahan kerja. Senyum nakalnya mengintai dari skrin computer Graphisoft’s ArchiCAD, tersangkut di jenang pintu perincian isometric, berbunga di celah besi anjung warna tembaga berukir gaya Art Noveau.

“Workoholic! Sudah-sudahlah tu!” tekan Edlin, teman serumah yang jenuh membuka selak pintu hampir setiap malam. “Kalau terus begini, bila kau akan kahwin?”

Leteran Edlin sengaja kulawan dengan kepulangan yang lebih lewat (Audrey semakin lanjut usia dan kian cekal memburu jati diri, baru kusedar kedegilanmu itu sebenarnya menyatu dalam diri). Kesunyian di depan skrin komputer saban malam di pejabat, menyempurna lukisan cadangan projek mega Kompleks Ummah, terkadang terganggu oleh bara rindu pada Audrey.

Suatu pagi ketika menyelak muka akhbar, aku dikejutkan dengan berita kematian Audrey. Dia dilaporkan jatuh dari kapal pelayaran sewaktu sedang mabuk menari. Di situ dia berkubur, di bawah bulan di tengah lautan. Aku pilu mengenangkan dagingnya yang mungkin berkecai di rahang jerung yang berkeliaran.

Bukan begitu caranya mencari tuhan, Audrey.

“Alamak, lambat lagi!”

Aku kelam-kabut menarik helaian pelan tapak Kompleks Ummah, mencapai kunci kereta. Mesyuarat sulung dengan jurutera dan juruukur bahan sudah dua puluh minit bermula, begitu aku tergesa menukar gear mahu memecut. Khabar angin bahawa firma kami bakal bekerjasama dengan arkitek luar Negara sudah dicanang seluruh pejabat.

“Apa kurangnya arkitek tempatan?” Aku merungut pada setiausaha sewaktu menerima dokumen tender.

Tiba di bilik mesyuarat Dewan Al-Ikhwan, aku tercungap mendarat di kerusi. Disebelahku, sebukit fail, sebahagian lukisan cadangan Kompleks Ummah Zon B, sekotak rokok Salem yang masih baru.

Arkitek lelaki rupa-rupanya, bisikku sendiri. Jangan harap aku memberi muka.

“Mana dia?”

“Ke surau. Solat sekejap sementara menunggu cik,” ujar jurutera muda yang tersenyum melihat aku berpeluh.
“Dia minta saya serahkan benda ini.”

Sehelai sampul surat coklat dihulur kepadaku. Gelojoh mengoyak bucu kertas, sekeping gambar jatuh ke kaki. Aku tunduk mengutipnya. Ditanganku, gambar seorang wanita cantik bertudung, tersenyum manis di geladak kapal.

Sabrina,
Audrey sudah mati. Yang hidup kini cuma Siti Aisyah. Aku memang degil, tetapi masih boleh beralah. Kamu, bila lagi?”

Aku lekas meraba-raba rambutku yang melentik di bahu. Malu sendiri.

“Hulurkan kotak rokok saya, Cik Sabrina.”

“Eh?”

Jurutera muda itu telan air liur melihat aku terbeliak.

“Surau di mana?”Aku tidak sabar berlari-lari anak ke sayap kanan bangunan tingkat tiga, gembira. Cahaya bulan Stella Oceanis membakar rindu. Aku menangis takjub dengan kuasaNya.

4 comments:

  1. yes....totally amazing...bahasanya...rasa mcm kat situ lak...

    ReplyDelete
  2. Panjangnya entry... apa pun seronok bila baca coretan awak tu...

    ReplyDelete
    Replies
    1. saya cuma taip semula cerpen ni..not mine..suka cerpen ni, nak abadikan di sini supaya tk hilang, in shaa Allah..

      Delete

Syukran jazilan for your comments. Merci beaucoup!