Thursday 28 August 2014

Bintang Seorang Rafik

buat yang syahid di Syria dan juga pejuang-pejuang Islam di seluruh dunia..sirru ala'barakatillah.. 

Cerpen membangun jiwa, penguat semangat, hasil garapan Amiza Khusyri Yusof. Disiarkan dalam Berita Minggu 17 April 2005...dah hampir 10 tahun lamanya. Satu karya seni yang sarat dengan nasihat, membacanya ibarat air terjun yang mengalir, sejuk dan mendamaikan..

Walaupun cerpen ni hanyalah rekaan semata-mata, tetapi ada peristiwa yang diceritakan dalam cerpen ni memang benar-benar berlaku. Masa ni Syria masih aman damai..

Cerpen ni panjang juga...semoga sama-sama kita mendapat manfaat..
-----------------------------------------------

"Jika sesekali kau intai ke dada langit, pada waktu malam mesra menghamparkan kasih, carilah sebutir bintang paling karib di sisi bulan, kerana itu adalah bintangku.  Biar jarak dan waktu memisahkan kita, kau pasti akan melihat bintang yang sama."

Begitulah pesannya selalu, setiap kali kami mengintai ke dada langit, di dalam  pelukan malam kota Damsyik. Dan malam ini, seperti malam-malam sebelumnya, saya mengintai lagi ke dada langit, pada waktu malam mesra menghamparkan kasih, mencari sebutir bintang paling karib di sisi bulan kerana itu adalah bintang seorang rafik.

Dulu, pada waktu begini, saya punya dia sebagai teman bicara. Berkongsi cerita suka-duka.  Saya punya dia untuk bercerita soal manusiawi. Saya punya dia yang sering menebar damai dalam hati.

Malam ini bulan mengambang penuh.  Bintang berkelip-kelip mengerling. Semilir malam yang bertiup dari Jabal Qasiyun sepoi-sepoi bahasa mengusap wajah.

Saya mengemas duduk di tubir sungai berhadapan rumah sewa di Bait Haramain. Sungai Barada mengalir tenang membelah keheningan malam.  Airnya sesekali menempias wajah bila semilir malam berpuput gancang.

Saya terus memercu pandangan ke langit.  Malam semakin pekat tetapi tetap terang dengan suluhan cahaya bulan. Bila saya kenang-kenang kembali tentang butir bicaranya yang sering memacak damai dalam hati, rindu gancang menyerkup diri.

Saya pernah kehilangan adik yang disayangi dalam tragedi kemalangan jalan raya di tanah air. Jiwa diipuk gundah dengan air mata mengalir tanpa henti.  Semangat meneruskan pengajian merudum dan diri terus dibungkus pilu.

Dia seorang rafik, tampil menenangkan, tampil membuang gulana diri.  Dia hulurkan Al-Kitab untuk saya selami dan teladani.  Dia bentangkan alas sujud untuk saya berjemaah bersamanya kala dinihari.  Usai solat subuh, kami bersama membaca Al-Mathurat, memohon perlindungan Tuhan dari segala macam kealpaan dan godaan.

"Manusia itu datang dan pergi, dan kita adalah harta Allah. Harta itu sebagai amanah dan Allah boleh mengambilnya pada bila-bila masa yang Dia kehendaki.  Bukankah kau manusia istimewa yang diuji Tuhan? Yang bila kau diuji, hidupmu akan dipenuhi sujud and syukur mengingati-Nya?"

Dia benar-benar menjadikan saya manusia reda. Manusia yang betah memaknakan erti sabar dan cekal.

Tuhan mengatur pertemuan dengannya ketika saya sedang ralit bersenggang melihat saujana pemandangan indah Masjid Umawi yang berusia lebih seribu tahun. Burung-burung merpati jinak berwarawiri dan larian anak-anak kecil begitu menyenangkan.

Dia mampir secara tiba-tiba, memberi salam dan melabuh duduk di sebelah.  Sebuah senyuman manis terukir di bibirnya.  Saya menjawab salam lantas membalas senyuman dengan lebih akrab.

Melihat wajahnya yang bersih mulus, janggut sejemput tetapi agak panjang menghiasi dagu dan bulu kening yang nipis, saya seperti dapat menebak bahawa dia adalah pemuda dari mandala Nusantara.

"Sudah menziarahi makam panglima kita?"

Saya menggeleng. Baru seminggu menjejakkan kaki ke bumi Damsyik, mana mungkin saya mengetahui selok-belok setiap penjuru kotanya.

Di situ perkenalan kami bermula. Dia membawa saya menziarahi makam panglima Islam berbangsa Kurdish dalam Perang Salib ratusan abad yang lampau - Salehuddin Al-Ayyubi.  Semasa menyedekahkan Al-Fatihah, seperti terpancar di layar benak sejarah kegemilangan Islam di bawah pemerintahan panglima Salehuddin.

"Islam menanti kebangkitan Salehuddin Al-Ayyubi abad ke-21!" Begitu katanya penuh kobar tetapi kekal dalam senyuman.

Semasa menyusuri Pasar Hamidi yang agak riuh, kami melanjutkan perkenalan.  Setelah saya memperkenalkan diri sebagai mahasiswa Universiti Abu Nur yang terletak berhampiran masjid ulama terkenal Said Muhammad Ramadan Al-Buti, dia menyungkit kening.

"Kita belajar di universiti yang sama." Saya tersenyum dan dia terus petah memperkenalkan diri.

Namanya Rafik. Ya, dia seorang rafik yang kukuh imannya. Yang kukuh susila dan budi pekertinya.  Dia anak jati Meulaboh di antara pengisi saf Gerakan Aceh Merdeka.  Dia berdarah Teuku Umar, pahlawan Perang Sabil antara masyarakat Aceh dan penjajah Belanda pada 1873 - 1912. Bapanya telah meninggal dunia setelah ditutuh peluru Tentera Nasional Indonesia, dalam Operasi Militer arahan Megawati Soekarnoputri.

Dia menceritakan perihal diri dan galur leluhur dengan penuh bangga tanpa sedikit pun gentar dan ragu.

"Kita dari rumpun yang sama.  Akidah yang serupa." Suaranya ceria bersama sebuah senyuman akrab.

Sejak itu, kami tinggal bersama dengan menyewa di Bait Haramain. Dua orang lagi rakan menghuni bersama kami - Mujahid dan Abdul Latif.

Mujahid tidak lama menyewa. Semasa pulang bercuti ke kampung halaman di selatan Thailand, dia di antara enam orang yang terkorban dalam tragedi kejam Tak Bai selepas berlakunya peristiwa berdarah di Masjid Kerisik, Pattani yang menyaksikan 32 orang penduduk Islam dibunuh.

Abdul Latif menyusul kemudiannya.  Semasa sedang menyusuri kota Damsyik ingin pulang ke Bait Haramain, dia dikejutkan dengan letupan kuat sebuah kereta.  Ketika dunia sedang ripuh dengan kematian Izz El-Deen Al-Sheikh Khalil seorang pejuang Hamas, Abdul Latif menghembuskan nafasnya yang terakhir di hospital setelah terkena serpihan bom dalam tragedi itu.  Pengeboman itu telah dirancang agensi perisikan Israel Laknatullah, Mossad.

Abdul Latif meninggalkan seorang isteri dan dua anak yang masih kecil. Dia dari susur galur bangsa Kurdish yang hidupnya sentiasa tertekan akibat diskriminasi Kerajaan Syria.  Namun, dia amat berbangga kerana keturunannya dari salasilah panglima agung Islam zaman lampau.

Mujahid membawa saya hidup dalam ranjau getir perjuangan dengan menjejaki erti sebuah kemerdekaan.  Abdul Latif membawa diri mengenali apa itu kesengsaraan dengan kudusnya sebuah pengorbanan. Mereka benar-benar mendidik diri menjadi manusia yang bersyukur dengan nikmat aman damai yang dikecapi di tanah air tercinta.

Ya, kemudian hanya tinggal kami berdua. Saya dan Rafik.

Tragedi terus berentetan. Kali ini giliran Rafik. 

Tidak mampu saya gambarkan betapa tenangnya Rafik kala menerima berita kematian keluarganya dalam hempasan ombak tsunami 26 Disember lalu.  Dia hanya duduk tenang berteleku di atas sejadah mengalunkan perlahan Surah Al-Mulk. Dia mengulang baca Surah Al-Zalzalah dan Surah Mariam kemudiannya. Usai mengucup Al-Kitab, dia memetik tasbih berzikrullah santak ke dinihari.

Saya diserkup runsing dan kantuk tidak terasa walau sedikit.  Lalu saya duduk di sebelah Rafik, menggenggam erat bahunya.

"Aku hanya kehilangan keluarga. Aku tidak mahu kehilangan iman dan cinta-Nya. Pantang keturunanku mengalirkan air mata bila ditimpa musibah."

Itu kata-kata seorang pejuang. Kata-kata daripada Rafik, yang juga seorang rafik.  Dia menunjukkan teladan yang baik mendepani musibah yang tiba-tiab datang menerjah. Saya jadi malu sendiri bila terkenangkan keadaan diri mendepani episod duka lalu.

"Kenapa ingin jadi seperti bintang?"

"Bukankah bintang boleh dijadikan petunjuk arah oleh mereka yang sesat? Bukankah bintang pernah dijadikan petunjuk kiblat oleh mereka yang pergi bermusafir? Bukankah bintang juga adalah penghias malam, peneman sang rembulan agar tidak berasa keseorangan?"

Mata terus memercu ke dada langit sedangkan dia tegar meneruskan bicara.

"Jika bulan itu umpama Rasulullah, aku mahu mejadi pendampingnya yang paling akrab.  Jika bulan itu ibarat agama kita, aku mahu menjadi pengawalnya yang paling setia."

Dia mengimpikan syahid sebagai matlamat hidup. Dia mahu jadi seperti Jaafar At-Toyyar dalam peperangan Mu'tah. Dia mahu jadi seperti Hamzah Asadullah dalam peperangan Uhud.

Kini, tiada lagi Rafik di Bait Haramain. Sudah tiga bulan keberangkatannya ke bumi Aceh, saya terus diserkup rindu.

Hanya semalam, saya menerima berita yang benar-benar menyentak damai diri.  Khabar yang disampaikan rakan-rakan sekuliah; teman-teman senegaranya. Rafik meninggal dunia apabila operasi memberi bantuan mangsa tsunami dijalankan.

Ketika membantu mengangkat bantuan bekalan makanan dan ubat-ubatan, dia dilanggar dan kepalanya terhantuk kuat pada seketul batu tajam. Darah berhamburan keluar. Dia tidak sempat diselamatkan akibat hentakan dan pendarahan yang teruk.

Minda gancang teringatkan tawarikh panglima Islam Khalid Al-Walid yang mengimpikan syahid tetapi hanya bertemu ajal di tempat tidurnya. Ya, dia menyalin impian Khalid Al-Walid. Rafik, menyalin khatimah hidup Khalid Al-Walid Saifullah!

Malam semakin pekat. Kedinginan semakin terasa. Bintang-bintang masih tekal mengerling. Semilir terus berlagu syahdu.  Mengalunkan ritma rindu kepada seorang rafik.  Air Sungai Barada terus mengalir. Memberikan malam nafas baru sebelum siang menjelma.  

Saya bingkas dan melangkah masuk ke dalam Bait Haramain. Malam esok, dan malam-malam seterusnya, saya akan terus mengintai ke dada langit pada waktu malam mesra menghamparkan kasih, mencari sebutir bintang paling karib di sisi bulan, kerana itu adalah bintang seorang rafik!

21 comments:

  1. nanti singgah lagi nk nikmati cerpen hebat ni..

    ReplyDelete
  2. Bestnya baca cerpen ni... banyak pengajaran...

    teringat pulak dulu2 saya adalah kaki novel.... dah lama sangat tinggal hobi baca novel...

    ReplyDelete
    Replies
    1. salah satu cerpen yg saya suka..simpan hampir 10 tahun..

      novel...kena tengok jln cerita..adalah satu, dua yg baca sampai habis..hihi.

      Delete
  3. Cerpen rekaan yang macam cerita kisah benar, menarik cara penulisannya :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. setuju sangat...cafar penulisan yg menarik..smooth and flowing..tidak caca merba..

      Delete
  4. TQ sebab share..saya kagum dengan penulis ni :)

    ReplyDelete
  5. Kagum dengan penulis2 yang berseni macam nie... bait2 bahasanya indah...

    ReplyDelete
  6. Oh yer... Happy Birthday Kak Nohas...!! :D
    Semoga senantiasa dilimpahi dengan rahmatNYA... Ameen... :D

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ameen..syukran, thanks Idah diatas doanya..

      Delete
  7. Lama tak baca cerpen hebat macam ni . Lagi menarik dari kebanyakan karya picisan.keep on sharing ye

    ReplyDelete
    Replies
    1. Membaca karya seni yg mantap satu kepuasan minda..dah jarang jumpa cerpen yg menarik hati dan minda..nk tulis sendiri x pandai..hihi..

      Delete
  8. saya pun first time dengar tajuk buku ni...mungkin boleh tanya pd pengarang buku..

    ReplyDelete

Syukran jazilan for your comments. Merci beaucoup!