Thursday 11 May 2023

Konsep Urusniaga di dalam Kanun Tanah Negara 1965

Assalamualaikum semua..

Sesi 'spring cleaning' fail² dirumah, menemukan aku dengan brosur ni..

Daripada tersimpan didalam fail yang mana lama-kelamaan akan dibuang jua, baiklah diabadikan di sini untuk rujukan dan pengetahuan am. Ada tercatat dalam brosur ni yang informasi adalah ekstrak daripada Koleksi Artikel Pentadbiran dan Perundangan Tanah yang diterbitkan oleh Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN) 2009.

Brosur ini diterbitkan untuk menerangkan konsep ringkas/asas mengenai urusniaga tanah sepertimana yang terdapat di dalam Kanun Tanah Negara 1965 (KTN). Kanun Tanah Negara 1965 ialah undang-undang utama perihal tanah di Malaysia. selain Kaedah-Kaedah Tanah Negeri (State Land Rules).

Apa yang boleh dibuat dengan sebidang tanah? boleh guna untuk diri sendiri atau diniagakan/disewa untuk mendapat income..jom tengok apa jenis urusniaga berkaitan tanah selain bina bangunan untuk disewa...

1. Jenis-jenis urusniaga yang utama di bawah KTN ialah:

a. Pindahmilik
b. Pajakan dan tenansi (sewaan)
c. gadaian dan lien
d. ismen (easement)

2. Jenis-jenis urusniaga yang memerlukan pendaftaran ialah pindahmilik, pajakan, gadaian dan ismen. Selagi tidak didaftarkan, urusan-urusan itu adalah tidak berkuatkuasa dan orang/badan yang untuknya dibuat urusniaga itu tidak boleh menjalankan kuasa-kuasanya di bawah undang-undang.

* Pendaftaran maksudnya aktiviti urusniaga tersebut mestilah didaftarkan di pejabat tanah dan akan dicatat di dalam Dokumen Hakmilik Keluaran (DHK) atau biasanya orang panggil geran tanah.

3. Pemberian tenansi tidak memerlukan pendaftaran. Untuk melindungi kepentingannya, seseorang itu boleh memohon untuk dicatatkan tuntutannya di bawah seksyen 316 KTN. Tempoh untuk tenansi atau sewaan ni ialah 3 tahun dan ke bawah. Tempoh melebihi 3 tahun sudah masuk kategori pajakan.

4. Lien bukanlah satu urusniaga yang didaftarkan. Lien diwujudkan apabila tuanpunya tanah menyerah kepada orang lain Dokumen Hakmilik Keluaran (DHK) sebagai jaminan untuk sesuatu pinjaman. Orang yang menerima dan menyimpan DHK dipanggil pemegang lien dan untuk melindungi kepentingannya, dia boleh memohon untuk dimasukkan kaveat pemegang lien di dalam geran tanah.

5. Ismen adalah hak yang diberi oleh seseorang tuanpunya tanah kepada seorang tuanpunya tanah yang lain untuk menikmati secara berfaedah tanahnya menurut peruntukan undang-undang. Untuk menguatkuasakan pemberian ismen, suratcara perlulah didaftarkan


Pindahmilik

Apa yang boleh dipindahmilik?

a. Kesemua tetapi tidak sebahagian mana-mana tanah milik
b. Kesemua tetapi tidak sebahagian mana-mana syer yang tidak dipecahkan ke atas tanah milik
c. Mana-mana pajakan tanah milik
d. Mana-mana gadaian.
e. Mana-mana tenansi yang dikecualikan daripada pendaftaran

Pajakan

Ciri-ciri pajakan ialah:
 
a. Tuanpunya mana-mana tanah milik boleh memberikan pajakan ke atas kesemua atau mana-mana bahagiannya.
b. Tiap-tiap pajakan yang diberikan mestilah untuk tempoh yang melebihi 3 tahun
c. Berhubung dengan pajakan kesemua tanah, tempoh maksima ialah 99 tahun
d. Mengenai pajakan sebahagian sahaja, tempoh maksima ialah 30 tahun
e. Mengenai pajakan sebahagian tanah, pelan dan perihal yang mencukupi bagi membolehkan bahagian itu dikenali dengan tepat hendaklah dikembarkan di dalam suratcara.

Gadaian

Apa yang boleh digadai:

a. Mana-mana tanah milik tetapi tidak sebahagian daripadanya boleh digadaikan.
b. Mana-mana pajakan tanah milik tetapi tidak sebahagian daripada tanah yang dipajak itu boleh digadaikan.
c. Gadaian kedua dan kemudiannya.

Ismen

Ismen merupakan satu bentuk urusniaga di mana hak yang diberi oleh seorang pemilik tanah (pertama) kepada pemilik tanah yang lain (kedua) untuk mendapatkan faedah ke atas tanah pemilik yang pertama. Tanah pemilik pertama dikenali sebagai tanah servient dan tanah pemilik kedua dipanggil tanah dominan.

contoh Ismen: Tanah pemilik kedua tiada jalan masuk secara sah. Pemilik tanah boleh memohon ismen daripada pemilik tanah pertama untuk membuat jalan masuk.

Kesemuanya ada 14 jenis suratcara urusniaga yang perlu didaftarkan di bawah Kanun Tanah Negara 1965:

a. Pindahmilik tanah, syer atau pajakan (Borang 14A)
b. Pindahmilik gadaian (Borang 14B)
c. Pajakan tanah (Borang 15A)
d. Pajakan kecil tanah (Borang 15B)
e. Penyerahan balik pajakan (Borang 15C)
f.  Gadaian untuk menjamin wang pokok (Borang 16A)
g. Gadaian untuk menjamin wang bermasa (Borang 16B)
h. Menempohkan gadaian (Borang 16C)
i.  Perakuan jualan oleh Mahkamah (Borang 16F)
j. Perakuan jualan oleh Pentadbir (Borang 16I)
k. Melepaskan gadaian (Borang 16N0
l. Pemberian ismen (Borang 17A)
m. Pemberian ismen berbalas sokong (Borang 17B)
n. Melepaskan ismen (Borang 17C) 

Sekian, serba ringkas mengenai jenis-jenis urusniaga berkaitan tanah. Semoga bermanfaat..

4 comments:

  1. Saya familiar dengan urusan pindah milik je. Yang lain, saya kurang tahu. Terima kasih, share info tentang ni, ye.

    ReplyDelete
    Replies
    1. jualbeli tanah & cagar (gadai) tanah - aktiviti yg popular...pajak & sewa jg selalu orang buat...cuma ismen saja yg jarang dengar...

      Delete

Syukran jazilan for your comments. Merci beaucoup!