Showing posts with label Mongolia. Show all posts
Showing posts with label Mongolia. Show all posts

Monday, 18 May 2009

Mongol. Mongolia

Entri ini terilham apabila membaca ulasan filem Mongol yang sedang ditayangkan di pawagam kala ini. Mungkin akan menontonnya, tidak di pawagam, menonton CD atau DVD sahaja…mungkin tidak juga…mungkin lama lagi…segalanya mungkin.

Harian Metro: Mongol (2007) Mongol sebuah filem epik daripada pengarah terkenal Rusia, Sergei Bodrov yang menerokai perjalanan hidup pahlawan Mongol, Genghis Khan. Filem bajet tinggi yang diterbitkan kolaborasi syarikat perfileman Kazakhstan, Jerman serta Mongolia ini membariskan bintang antarabangsa, termasuk aktor Jepun, Tadanobu Asano sebagai pelakon utama memegang watak Temudgin (Genghis Khan). Filem ini memaparkan aspek positif yang wujud pada pahlawan ini sebagai pemerintah berani dan bervisi berbanding kisah negatif yang mengaitkan Genghis Khan sebagai kejam, ganas dan jahat.

Menyatukan elemen aksi dan emosi di atas bumi Mongolia, Bodrov berjaya menggarap sebuah epik mengujakan yang menyentuh aspek kehidupan, perjuangan dan percintaan agung. Babak dan aksi tempur yang diselitkan dilihat sungguh halus dan teliti. Malah, pengucapan melalui skrip epik ini juga menjadi faktor keberkesanan jalan ceritanya. Satu pencapaian samar namun perlu diberi penekanan melalui filem yang berdurasi 120 minit ini adalah usaha pihak produksi untuk memaparkan kisah zaman silam di Mongolia ini begitu solid dan sempurna kerana tiada kecacatan atau silap yang mampu dikesan. Negara yang berlokasi di utara China itu berjaya digambarkan sepertimana keadaan sebenar – indah dan penuh dengan budaya
.

Sememangnya setiap manusia ada sisi cerah dan gelapnya. Sisi hitam dan putihnya. Namun, bagi manusia ini, tidak mahu mengetahui sisi cerahnya kerana sisi gelapnya tersangat kelam. Mungkin saya seorang yang ‘bias’, biarlah…

Mongol bagi orang Islam tetap hitam warnanya. Terlalu dalam lukanya, tidak tergambar dengan perkataan. Terlalu..terlalu…Siapakah yang bisa melupakan sejarah itu? Sejarah yang terkubur, tidak mampu dikembalikan ke asalnya, kegemilangannya…menurut pakar sejarah, niat untuk menjatuhkan kerajaan Abbasiah memang telah wujud di dalam hati Genghis Khan sejak sekian lama.

Oleh kerana jarak yang jauh dari bumi China ke bumi Iraq, Genghis Khan menumpukan serangan pertamanya ke atas bumi Afghanistan dan Uzbekistan. Bumi ini dipilih kerana ia mempunyai sumber asli yang banyak dan amat sesuai untuk dijadikan pengkalan tentera Tatar (Mongol) untuk siri-siri serangan yang seterusnya.

Serangan pertama ini berjaya. Tatar berjaya bertapak di bumi tersebut dan bumi sekitarnya (Turkimenistan, Kazakhastan, Tajikistan, Pakistan dan sebahagian dari Iran). Kesemua negara-negara ini dahulunya dikenali sebagai Daulah Khawarizmiah. Hasil dari kejayaan ini, pemerintahan Tatar mula kukuh di kawasan tersebut. Mereka mempunyai pengkalan dan pusat pentadbiran mereka di tengah-tengah kerajaan Islam.

Namun, yang paling tragis ialah kejatuhan Kota Baghdad. Kota Baghdad di bawah kerajaan Bani Abbasiyyah pernah menjadi kota ilmu yang hebat. Kota Baghdad seperti Cordova juga memainkan peranan penting dalam penyebaran ilmu pengetahuan dan tamadun Islam, terutama pada zaman pemerintahan Khalifah Harun al-Rasyid dan puteranya, al-Makmun. Kegemilangan zaman pemerintahan kedua-dua pemerintah berwibawa ini mendorong ahli sejarah menamakannya Zaman Keemasan Kerajaan Abbasiyyah.

Sayangnya pada awal abad ke-13, kota besar itu diserang tentera Mongol pimpinan Hulagu Khan, cucu Genghis Khan 'Sang Penakluk Dunia'. Kota Baghdad jatuh ke tangan mereka tahun 1258. Terlalu banyak kemusnahan dan kematian yang menggambarkan kekejaman dan keganasan juga ketidaktamadunan tentera Mongol.

1. Baitul Hikmah, perpustakaan utama Baghdad yang mengandungi beberapa dokumen sejarah yang berharga dan buku-buku pelbagai cabang ilmu, dari perubatan hingga ke astronomi, telah dimusnahkan sehinggakan ada yang mengatakan air Sungai Tigris menjadi hitam kerana dakwat dari buku-buku yang dicampakkan ke dalam sungai.

2. Pembunuhan beramai-ramai secara kejam khalifah Al-Mu’tasim, pembesar dan penduduk Baghdad dan mayat mereka dicampakkan kedalam Sungai Tigris

3. Masjid, istana, perpustakaan dan hospital telah dimusnahkan. Monumen-monumen dan bangunan-bangunan hasil kerja beberapa generasi dibakar.

Mengapa hati seakan tidak teruja mahu menonton filem ini. Ya, mungkin sisi gelapnya menghijabnya…Islam sendiri ada panglima-panglima perang yang hebat lagi berhemah dan bertamadun..