Monday, 18 May 2009

Mongol. Mongolia

Entri ini terilham apabila membaca ulasan filem Mongol yang sedang ditayangkan di pawagam kala ini. Mungkin akan menontonnya, tidak di pawagam, menonton CD atau DVD sahaja…mungkin tidak juga…mungkin lama lagi…segalanya mungkin.

Harian Metro: Mongol (2007) Mongol sebuah filem epik daripada pengarah terkenal Rusia, Sergei Bodrov yang menerokai perjalanan hidup pahlawan Mongol, Genghis Khan. Filem bajet tinggi yang diterbitkan kolaborasi syarikat perfileman Kazakhstan, Jerman serta Mongolia ini membariskan bintang antarabangsa, termasuk aktor Jepun, Tadanobu Asano sebagai pelakon utama memegang watak Temudgin (Genghis Khan). Filem ini memaparkan aspek positif yang wujud pada pahlawan ini sebagai pemerintah berani dan bervisi berbanding kisah negatif yang mengaitkan Genghis Khan sebagai kejam, ganas dan jahat.

Menyatukan elemen aksi dan emosi di atas bumi Mongolia, Bodrov berjaya menggarap sebuah epik mengujakan yang menyentuh aspek kehidupan, perjuangan dan percintaan agung. Babak dan aksi tempur yang diselitkan dilihat sungguh halus dan teliti. Malah, pengucapan melalui skrip epik ini juga menjadi faktor keberkesanan jalan ceritanya. Satu pencapaian samar namun perlu diberi penekanan melalui filem yang berdurasi 120 minit ini adalah usaha pihak produksi untuk memaparkan kisah zaman silam di Mongolia ini begitu solid dan sempurna kerana tiada kecacatan atau silap yang mampu dikesan. Negara yang berlokasi di utara China itu berjaya digambarkan sepertimana keadaan sebenar – indah dan penuh dengan budaya
.

Sememangnya setiap manusia ada sisi cerah dan gelapnya. Sisi hitam dan putihnya. Namun, bagi manusia ini, tidak mahu mengetahui sisi cerahnya kerana sisi gelapnya tersangat kelam. Mungkin saya seorang yang ‘bias’, biarlah…

Mongol bagi orang Islam tetap hitam warnanya. Terlalu dalam lukanya, tidak tergambar dengan perkataan. Terlalu..terlalu…Siapakah yang bisa melupakan sejarah itu? Sejarah yang terkubur, tidak mampu dikembalikan ke asalnya, kegemilangannya…menurut pakar sejarah, niat untuk menjatuhkan kerajaan Abbasiah memang telah wujud di dalam hati Genghis Khan sejak sekian lama.

Oleh kerana jarak yang jauh dari bumi China ke bumi Iraq, Genghis Khan menumpukan serangan pertamanya ke atas bumi Afghanistan dan Uzbekistan. Bumi ini dipilih kerana ia mempunyai sumber asli yang banyak dan amat sesuai untuk dijadikan pengkalan tentera Tatar (Mongol) untuk siri-siri serangan yang seterusnya.

Serangan pertama ini berjaya. Tatar berjaya bertapak di bumi tersebut dan bumi sekitarnya (Turkimenistan, Kazakhastan, Tajikistan, Pakistan dan sebahagian dari Iran). Kesemua negara-negara ini dahulunya dikenali sebagai Daulah Khawarizmiah. Hasil dari kejayaan ini, pemerintahan Tatar mula kukuh di kawasan tersebut. Mereka mempunyai pengkalan dan pusat pentadbiran mereka di tengah-tengah kerajaan Islam.

Namun, yang paling tragis ialah kejatuhan Kota Baghdad. Kota Baghdad di bawah kerajaan Bani Abbasiyyah pernah menjadi kota ilmu yang hebat. Kota Baghdad seperti Cordova juga memainkan peranan penting dalam penyebaran ilmu pengetahuan dan tamadun Islam, terutama pada zaman pemerintahan Khalifah Harun al-Rasyid dan puteranya, al-Makmun. Kegemilangan zaman pemerintahan kedua-dua pemerintah berwibawa ini mendorong ahli sejarah menamakannya Zaman Keemasan Kerajaan Abbasiyyah.

Sayangnya pada awal abad ke-13, kota besar itu diserang tentera Mongol pimpinan Hulagu Khan, cucu Genghis Khan 'Sang Penakluk Dunia'. Kota Baghdad jatuh ke tangan mereka tahun 1258. Terlalu banyak kemusnahan dan kematian yang menggambarkan kekejaman dan keganasan juga ketidaktamadunan tentera Mongol.

1. Baitul Hikmah, perpustakaan utama Baghdad yang mengandungi beberapa dokumen sejarah yang berharga dan buku-buku pelbagai cabang ilmu, dari perubatan hingga ke astronomi, telah dimusnahkan sehinggakan ada yang mengatakan air Sungai Tigris menjadi hitam kerana dakwat dari buku-buku yang dicampakkan ke dalam sungai.

2. Pembunuhan beramai-ramai secara kejam khalifah Al-Mu’tasim, pembesar dan penduduk Baghdad dan mayat mereka dicampakkan kedalam Sungai Tigris

3. Masjid, istana, perpustakaan dan hospital telah dimusnahkan. Monumen-monumen dan bangunan-bangunan hasil kerja beberapa generasi dibakar.

Mengapa hati seakan tidak teruja mahu menonton filem ini. Ya, mungkin sisi gelapnya menghijabnya…Islam sendiri ada panglima-panglima perang yang hebat lagi berhemah dan bertamadun..

Friday, 15 May 2009

Warung Kita

Setelah bekerja selama satu tahun lima bulan, barulah adik sorang kat ofis tu membuka rahsia. Kampung Baru's best kept secret dan bermulalah 'gastronomical adventure' bagi beberapa perempuan pelanggan tetap di ofis. Sudah masuk dua minggu memesan kuih-muih yang come nan lote dan sedap lagi murah. Tiga seringgit, kira murah juga mengikut standard bandaraya metropolis KL ni. Perniagaan kuih-muih dan makanan ini diusahakan oleh kedua ibubapanya dan juga sepupunya. Kira famili businesslah ni. Sudah lama, dah established di Kampung Baru.

Ini dia warungnya: Warung Mak Ipah

  Kuih-muih yang dijual disini ialah: karipap, keria, cucur badak dan kuih bom (ondeh-ondeh). Ada juga makanan sampingan iaitu mihun goreng, laksa, soto ayam, bihun sup, rojak buah dan bakso. Minuman panas dan sejuk juga ada dijual. Penjualan kuih-muih cuma beroperasi dari pukul 11.00 pagi hingga 2.00 petang.

Kuih-muih yang dijual. Now u see more, now u see less. First come, first serve basis.

Bahan-bahan untuk bihun sup, soto, laksa & bakso siap sedia untuk pelanggan. Disebelahnya, dua orang pekerja import dari seberang, ada permit ke, buk?

Jom, jalan-jalan cari makan di sini, di lorong ini, Lorong Raja Muda Musa 5

- Bon Appetite - 

Wednesday, 13 May 2009

Duduk

Oleh: KH Abdullah Gymnastiar

Rasulullah S.A.W. bersabda, bermaksud: "
Sesiapa yang ingin mengetahui kedudukannya di sisi Allah, maka hendaklah memperhatikan bagaimana kedudukan Allah di dalam hatinya. Maka sesungguhnya Allah menempatkan (mendudukkan) hamba-Nya, sebagaimana hamba itu mendudukkan Allah di dalam hati dan jiwanya

Saudaraku,

Yang termahal dalam hidup adalah keyakinan diri kepada Allah. Semakin kuat dan mendalam keyakinan itu, maka semakin beruntung hidup kita. Ketika itulah kita memiliki barang termahal dalam hidup. Apalah ertinya kita memiliki kekayaan melimpah sedangkan hati kita miksin daripada mengenali Allah. Apalah ertinya kita dikenali ramai jika kita tidak mampu mengenali Allah. Apalah ertinya kita berjawatan tinggi, jika kedudukan kita rendah di sisi Allah swt.

Intinya, semua yang ada selain Allah adalah cubaan dan fitnah belaka. Walau memiliki dan menguasai dunia sekalipun, kedudukan kita akan rendah apabila tidak mengenali Allah.

Ada tiga ukuran untuk mengetahui tinggi rendahnya darjat seseorang di sisi Allah, iaitu:

Pertama;
Sepanjang 24 jam waktu kita lalui setiap hari, berapa jam kita mengingati Allah. Sewaktu solat, adakah kita ingat Allah atau ingat yang lain. Ketika makan, adakah kita ingat pada Zat yang mengurniakan makanan itu atau malah mencela makanan.

Sewaktu ke tempat kerja, apakah kita sudah berniat sebagai jalan untuk beribadah atau sekadar mencari wang. Di dalam perjalanan, misalnya, apakah kita sibut berzikir serta membaca ayat suci Al-Quran atau mata kita berkeliaran. Bila hati kita selalu menyambung kepada Allah dalam apa keadaan sekalipun, maka sesungguhnya Allah telah meninggikan darjat.

Kedua:
Tinggi rendah darjat kita di sisi Allah dapat terlihat daripada senang tidaknya kita melakukan amalan yang dicintai Allah dan Rasul-Nya. Allah menyukai solat berjemaah kerana pahalanya 27 kali ganda daripada solat bersendirian.

Apakah kita termasuk orang yang akan segera ke masjid tatkala azan berkumandang, atau semakin sibuk dengan urusan dunia? Allah menyukai sikap menderma tapi apakah kita termasuk golongan dermawan?

Allah menyukai hamba yang dekat dengan Al-Quran. Apakah kita bersungguh-sungguh berinteraksi dengan Al-Quran? Semakin kita gigih “menyenangkan” Allah dengan melakukan amalan yang dicintaiNya, InsyaAllah darjat kita akan tinggi di sisi-Nya.

Ketiga:
Sejauh mana kegigihan kita menghindarkan diri daripada maksiat. Salah satu ciri dekatnya seorang hamba dengan Allah, terlihat daripada kesungguhannya menjauhi maksiat.

Hakikatnya, manusia biasa tidak akan pernah luput daripada dosa. Namun, orang yang berkedudukan tinggi di sisi Allah, akan segera bertaubat ketika dia terjerumus ke lembah maksiat. Dia menyesal, kemudian berazam untuk tidak mengulangi kesalahan dan menggantinya dengan lebih banyak amalan kebaikan.

Sebaliknya, orang yang jauh daripada Allah berasa cukup seronok berbuat dosa, tidak memiliki penyesalan dan sentiasa mengulangi perbuatan itu pada lain kesempatan.

Saudaraku,

Jangan ada yang ditakutkan dalam hidup ini, kecuali takut tidak dapat mengenal Allah. Harta, pangkat, jawatan atau ketampanan/kecantikan paras rupa sama sekali tidak bernilai apabila hati kita jauh daripada mengingati Allah.

Mulai sekarang, kita harus mengubah cara hidup iaitu menjadi orang yang bermanfaat kepada manusia dan berkedudukan tinggi di sisi Allah.