Tuesday, 2 September 2014

Blissful Sunflower - Bhg 1

Assalamualaikum...

"Orang baik lambangnya bunga matahari. Bunga apa untuk orang jahat, nek?" "Entahlah, bunga 'camelthorn', nenek rasa sesuai" 

OK tak macam tu? Bunga matahari untuk orang baik, 'camelthorn' untuk orang jahat...'camelthorn' ni bunga di padang pasir...tapi orang jahat, takde bunga, pun OK..hihi..

Sebenarnya itu dialog dalam filem 'Blissful Sunflower', filem orang Islam Uyghur, yang tinggal di Xinjiang, China. First time menonton filem orang Ugyhur. Yelah..asyik-asyik filem orang putih, Cina, Korea je..sekali-sekala layan filem ni memang best. Sekarang ada ditayangkan di Channel A-List Astro 456..channel yang menayangkan filem-filem terbaik - 'critically acclaimed and award-winning films'.

Xinjiang atau nama rasminya Xinjiang Uyghur Autonomous Region letaknya di barat negara China. Dulunya namanya East Turkistan. Xinjiang maksudnya 'new frontier' - wilayah baru. Pelbagai etnik tinggal di sini - majoritinya etnik Uyghur (Islam) dan Han (Chinese). Yang lain Kazakhs, Tajiks, Hui, Kyrgyz, dan Mongols..majoriti beragama Islam.  

Kita sering mendengar/membaca pergolakan etnik di Xinjiang dan yang selalu ditindas/dizalimi sudah semestinya etnik beragama Islam, sampaikan misteri kehilangan kapalterbang MH370 pun ada dikaitkan dengan konflik etnik Uyghur di Xinjiang. Teruk betul kan..
Lokasi Xinjiang dalam negara China
OK, berbalik kepada filem ini, semasa review di A-Peek, memang teruja sangat nak menonton tapi timing selalu tak kena. Sampailah ada satu malam tu, tak boleh tidur, buka TV pukul 2.00 pagi, tiba-tiba filem ni baru start..Alhamdulillah, apalagi,.ambik kamera, standby depan TV..dialog dalam Bahasa Mandarin..tapi ada subtitle Bahasa Malaysia dan English..Sebab utama nak tengok filem ni ialah sebenarnya nak tengok budaya orang Islam Uyghur..tentang pakaian mereka, rumah mereka, suasana pasar dan scenery yang cantik..kiranya macam mengembara di Xinjiang..

Filem ini mengisahkan perjalanan seorang budak perempuan dengan neneknya untuk mencari bapanya dan didalam perjalanan itu, mereka berjumpa dengan orang-orang yang memberi makna kehidupan. Jom kita mengembara bersama mereka..

Budak perempuan (heroin kecik) namanya Amanguli, tinggal bersama neneknya, yang juga bernama Amanguli. ibu Amanguli dah meninggal, bapanya pula dah keluar rumah, mengembara mencari rezeki dan tak balik-balik, lebih kurang 7-8 tahun juga, tapi ada kirim beberapa pucuk surat dari tempat yang berlainan..

Amanguli rindukan ayah dan ibunya
Nenek Amanguli tak suka pada menantunya itu dan sering menggelar dia sebagai orang jahat, 'penyangak' (terjemahan dlm filem) sebab tinggalkan anak bini, hinggakan bininya (anak perempuan nenek tu) sakit dan meninggal dunia. Amanguli tak suka neneknya cakap bapanya orang jahat. Dia bertekad nak cari bapanya tu, nak buktikan pada nenek yang bapanya bukanlah penyangak..


Nenek bersetuju untuk pergi mencari bapa Amanguli tapi dengan syarat 'kalau bapanya itu orang jahat, Amanguli kena tinggal bersama nenek". Amanguli setuju..

Kawan nenek membaca surat-surat dari bapa Amanguli
wow..nak pegi semua tempat..kawan dia suruh pegi ke alamat surat yg terakhir
Rupa-rupanya Amanguli dan neneknya itu buta huruf..kalau tak dah selesai masalah (kenapa? kena tunggu hingga ke akhir)...maka berangkatlah mereka, memulakan perjalanan..

scene ni sangat cantik

Mereka pergi ke pasar. Nenek cuba menjual anting-anting kepunyaan ibu Amanguli sebab mereka takde duit..tapi tak berjaya, sebab Amanguli nampak dan ambik balik anting-anting ibunya.

Tiba-tiba nenek terdengar tiupan seruling dan terus berjalan kearah bunyi tersebut.


Seruling itu namanya balamand, sejenis alat muzik tadisional orang Uyghur. Nenek tu sebenarnya terkenang kisah lama (yang ni kenalah tunggu sampai habis)..tuan punya kedai tu kagum dengan Amanguli yang berminat dengan alat muzik tradisional sebab tak ramai anak muda zaman sekarang yang berminat dgn alat-alat muzik tradisional..

Tuanpunya kedai tu bertanya tujuan mereka..rupa-rupanya dia kenal bapa Amanguli yang namanya Alhemaidi. Dia pun bercerita tentang kebaikan Alhemaidi, kepandaian Alhemaidi membuat dan bermain alat muzik hingga kedai dia di panggil 'Peralatan Muzik Alhemaidi'. Amanguli sangat suka orang bercerita baik-baik tentang bapanya tapi nenek Amanguli rasa tuanpunya kedai ni tak pernah berjumpa pun dengan Alhemaidi..saja je dia nak hiburkan hati Amanguli..

Mereka meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki sebab takde duit nak naik bas atau teksi...

suka kedua-dua scene ni..sangat cantik teknik pencahayaannya
rupabentuk mukabumi Xinjiang
Kali ni mereka telah dibawa bertemu dengan seseorang yang bernama Alhemaidi, seorang doktor haiwan. Nenek tahu yang dia ni bukan menantunya, cuma nama je sama.

Doktor haiwan tu pun bercerita yang dia pun sedang mencari Alhemaidi, bapa Amanguli. Nenek naik marah, kata macam2 dekat menantunya itu, tapi doktor haiwan ini cakap Alhemaidi tu baik orangnya. Dia pun bercerita yang dia bertemu dengan Alhemaidi di stesen keretapi semasa on the way nak ambik final exam untuk jadi doktor haiwan, tiba-tiba dompetnya hilang. Bapa Amanguli bagi duit untuk dia beli tiket keretapi. 

Tujuan dia cari Alhemaidi ialah untuk memulangkan semula duit tiket dan juga untuk mengucapkan terima kasih kerana dia terhutang budi pada Alhemaidi. Kalau tidak dengan bantuan Alhemaidi, dia terlepas peluang untuk menjadi doktor haiwan...ahh..sungguh tragis sekali..

   Doktor haiwan nak pulangkan duit Alhemaidi pada 
nenek Amanguli, tapi nenek menolak

Amanguli sangat senang hati mendengar kata-kata doktor haiwan tu dan tak berhenti ketawa. Sebenarnya mentertawakan neneknya..yess..bapa aku bukanlah penyangak..macam tulah, reaksinya..

Malam tu mereka tidur di rumah doktor haiwan. Tiba-tiba hujan turun dan ada orang memanggil doktor haiwan, ada emergency, ada kambing nak beranak. Doktor haiwan masuk semula ke dalam rumah untuk ambik peralatan. Tangannya menggigil, dia berpeluh, dia panik..rupa-rupanya doktor haiwan tu fobia sebab setiap kali dia attend kambing beranak..dua-dua akan mati..anak dan ibu kambing..

Nenek Amanguli marah sambil bagi motivasi sekali. Kemudian ajak doktor tu pergi tengok kambing yang nak beranak tu..takpe, dia cakap dia bidan, dah biasa tentang hal nak beranak ni..sama je, kambing atau manusia..

Kambing dah beranak..dua-dua selamat..nenek tu siap bagi informal lecture kat doktor haiwan tu. Tentang tempat keluar nyawa, macamana nak selamatkan baby yang baru lahir in case of complication..wahh, talking from experience. Amanguli memerhati dengan rasa kagum dari jauh..dia nampak bunga matahari di tempat nenek..*orang baik*


Pagi tu mereka pun bergerak naik bas...rupa-rupanya nenek tu tak ambik duit yang doktor haiwan suruh pulangkan pada Alhemaidi..
 
duit untuk Alhemaidi

Doktor haiwan tu ternampak bungkusan duit tu atas meja dan buka, tengok duit tidak terusik dan terus berlari keluar, nak kejar bas tapi bas sudah jauh dari pandangan..

Stay tuned..bersambung Bhg 2...pengembaraan di Xinjiang..memang cantik view di sini..

Thursday, 28 August 2014

Bintang Seorang Rafik

buat mereka yang syahid di Syria dan juga pejuang-pejuang Islam di seluruh dunia..sirru ala'barakatillah.. 

Cerpen membangun jiwa, penguat semangat, hasil garapan Amiza Khusyri Yusof. Disiarkan dalam Berita Minggu 17 April 2005...dah hampir 10 tahun lamanya. Satu karya seni yang sarat dengan nasihat, membacanya ibarat air terjun yang mengalir, sejuk dan mendamaikan..

Walaupun cerpen ni hanyalah rekaan semata-mata, tetapi ada peristiwa yang diceritakan dalam cerpen ni memang benar-benar berlaku. Masa ni Syria masih aman damai..

Cerpen ni panjang juga...semoga sama-sama kita mendapat manfaat..
-----------------------------------------------

"Jika sesekali kau intai ke dada langit, pada waktu malam mesra menghamparkan kasih, carilah sebutir bintang paling karib di sisi bulan, kerana itu adalah bintangku.  Biar jarak dan waktu memisahkan kita, kau pasti akan melihat bintang yang sama."

Begitulah pesannya selalu, setiap kali kami mengintai ke dada langit, di dalam  pelukan malam kota Damsyik. Dan malam ini, seperti malam-malam sebelumnya, saya mengintai lagi ke dada langit, pada waktu malam mesra menghamparkan kasih, mencari sebutir bintang paling karib di sisi bulan kerana itu adalah bintang seorang rafik.

Dulu, pada waktu begini, saya punya dia sebagai teman bicara. Berkongsi cerita suka-duka.  Saya punya dia untuk bercerita soal manusiawi. Saya punya dia yang sering menebar damai dalam hati.

Malam ini bulan mengambang penuh.  Bintang berkelip-kelip mengerling. Semilir malam yang bertiup dari Jabal Qasiyun sepoi-sepoi bahasa mengusap wajah.

Saya mengemas duduk di tubir sungai berhadapan rumah sewa di Bait Haramain. Sungai Barada mengalir tenang membelah keheningan malam.  Airnya sesekali menempias wajah bila semilir malam berpuput gancang.

Saya terus memercu pandangan ke langit.  Malam semakin pekat tetapi tetap terang dengan suluhan cahaya bulan. Bila saya kenang-kenang kembali tentang butir bicaranya yang sering memacak damai dalam hati, rindu gancang menyerkup diri.

Saya pernah kehilangan adik yang disayangi dalam tragedi kemalangan jalan raya di tanah air. Jiwa diipuk gundah dengan air mata mengalir tanpa henti.  Semangat meneruskan pengajian merudum dan diri terus dibungkus pilu.

Dia seorang rafik, tampil menenangkan, tampil membuang gulana diri.  Dia hulurkan Al-Kitab untuk saya selami dan teladani.  Dia bentangkan alas sujud untuk saya berjemaah bersamanya kala dinihari.  Usai solat subuh, kami bersama membaca Al-Mathurat, memohon perlindungan Tuhan dari segala macam kealpaan dan godaan.

"Manusia itu datang dan pergi, dan kita adalah harta Allah. Harta itu sebagai amanah dan Allah boleh mengambilnya pada bila-bila masa yang Dia kehendaki.  Bukankah kau manusia istimewa yang diuji Tuhan? Yang bila kau diuji, hidupmu akan dipenuhi sujud and syukur mengingati-Nya?"

Dia benar-benar menjadikan saya manusia reda. Manusia yang betah memaknakan erti sabar dan cekal.

Tuhan mengatur pertemuan dengannya ketika saya sedang ralit bersenggang melihat saujana pemandangan indah Masjid Umawi yang berusia lebih seribu tahun. Burung-burung merpati jinak berwarawiri dan larian anak-anak kecil begitu menyenangkan.

Dia mampir secara tiba-tiba, memberi salam dan melabuh duduk di sebelah.  Sebuah senyuman manis terukir di bibirnya.  Saya menjawab salam lantas membalas senyuman dengan lebih akrab.

Melihat wajahnya yang bersih mulus, janggut sejemput tetapi agak panjang menghiasi dagu dan bulu kening yang nipis, saya seperti dapat menebak bahawa dia adalah pemuda dari mandala Nusantara.

"Sudah menziarahi makam panglima kita?"

Saya menggeleng. Baru seminggu menjejakkan kaki ke bumi Damsyik, mana mungkin saya mengetahui selok-belok setiap penjuru kotanya.

Di situ perkenalan kami bermula. Dia membawa saya menziarahi makam panglima Islam berbangsa Kurdish dalam Perang Salib ratusan abad yang lampau - Salehuddin Al-Ayyubi.  Semasa menyedekahkan Al-Fatihah, seperti terpancar di layar benak sejarah kegemilangan Islam di bawah pemerintahan panglima Salehuddin.

"Islam menanti kebangkitan Salehuddin Al-Ayyubi abad ke-21!" Begitu katanya penuh kobar tetapi kekal dalam senyuman.

Semasa menyusuri Pasar Hamidi yang agak riuh, kami melanjutkan perkenalan.  Setelah saya memperkenalkan diri sebagai mahasiswa Universiti Abu Nur yang terletak berhampiran masjid ulama terkenal Said Muhammad Ramadan Al-Buti, dia menyungkit kening.

"Kita belajar di universiti yang sama." Saya tersenyum dan dia terus petah memperkenalkan diri.

Namanya Rafik. Ya, dia seorang rafik yang kukuh imannya. Yang kukuh susila dan budi pekertinya.  Dia anak jati Meulaboh di antara pengisi saf Gerakan Aceh Merdeka.  Dia berdarah Teuku Umar, pahlawan Perang Sabil antara masyarakat Aceh dan penjajah Belanda pada 1873 - 1912. Bapanya telah meninggal dunia setelah ditutuh peluru Tentera Nasional Indonesia, dalam Operasi Militer arahan Megawati Soekarnoputri.

Dia menceritakan perihal diri dan galur leluhur dengan penuh bangga tanpa sedikit pun gentar dan ragu.

"Kita dari rumpun yang sama.  Akidah yang serupa." Suaranya ceria bersama sebuah senyuman akrab.

Sejak itu, kami tinggal bersama dengan menyewa di Bait Haramain. Dua orang lagi rakan menghuni bersama kami - Mujahid dan Abdul Latif.

Mujahid tidak lama menyewa. Semasa pulang bercuti ke kampung halaman di selatan Thailand, dia di antara enam orang yang terkorban dalam tragedi kejam Tak Bai selepas berlakunya peristiwa berdarah di Masjid Kerisik, Pattani yang menyaksikan 32 orang penduduk Islam dibunuh.

Abdul Latif menyusul kemudiannya.  Semasa sedang menyusuri kota Damsyik ingin pulang ke Bait Haramain, dia dikejutkan dengan letupan kuat sebuah kereta.  Ketika dunia sedang ripuh dengan kematian Izz El-Deen Al-Sheikh Khalil seorang pejuang Hamas, Abdul Latif menghembuskan nafasnya yang terakhir di hospital setelah terkena serpihan bom dalam tragedi itu.  Pengeboman itu telah dirancang agensi perisikan Israel Laknatullah, Mossad.

Abdul Latif meninggalkan seorang isteri dan dua anak yang masih kecil. Dia dari susur galur bangsa Kurdish yang hidupnya sentiasa tertekan akibat diskriminasi Kerajaan Syria.  Namun, dia amat berbangga kerana keturunannya dari salasilah panglima agung Islam zaman lampau.

Mujahid membawa saya hidup dalam ranjau getir perjuangan dengan menjejaki erti sebuah kemerdekaan.  Abdul Latif membawa diri mengenali apa itu kesengsaraan dengan kudusnya sebuah pengorbanan. Mereka benar-benar mendidik diri menjadi manusia yang bersyukur dengan nikmat aman damai yang dikecapi di tanah air tercinta.

Ya, kemudian hanya tinggal kami berdua. Saya dan Rafik.

Tragedi terus berentetan. Kali ini giliran Rafik. 

Tidak mampu saya gambarkan betapa tenangnya Rafik kala menerima berita kematian keluarganya dalam hempasan ombak tsunami 26 Disember lalu.  Dia hanya duduk tenang berteleku di atas sejadah mengalunkan perlahan Surah Al-Mulk. Dia mengulang baca Surah Al-Zalzalah dan Surah Mariam kemudiannya. Usai mengucup Al-Kitab, dia memetik tasbih berzikrullah santak ke dinihari.

Saya diserkup runsing dan kantuk tidak terasa walau sedikit.  Lalu saya duduk di sebelah Rafik, menggenggam erat bahunya.

"Aku hanya kehilangan keluarga. Aku tidak mahu kehilangan iman dan cinta-Nya. Pantang keturunanku mengalirkan air mata bila ditimpa musibah."

Itu kata-kata seorang pejuang. Kata-kata daripada Rafik, yang juga seorang rafik.  Dia menunjukkan teladan yang baik mendepani musibah yang tiba-tiab datang menerjah. Saya jadi malu sendiri bila terkenangkan keadaan diri mendepani episod duka lalu.

"Kenapa ingin jadi seperti bintang?"

"Bukankah bintang boleh dijadikan petunjuk arah oleh mereka yang sesat? Bukankah bintang pernah dijadikan petunjuk kiblat oleh mereka yang pergi bermusafir? Bukankah bintang juga adalah penghias malam, peneman sang rembulan agar tidak berasa keseorangan?"

Mata terus memercu ke dada langit sedangkan dia tegar meneruskan bicara.

"Jika bulan itu umpama Rasulullah, aku mahu mejadi pendampingnya yang paling akrab.  Jika bulan itu ibarat agama kita, aku mahu menjadi pengawalnya yang paling setia."

Dia mengimpikan syahid sebagai matlamat hidup. Dia mahu jadi seperti Jaafar At-Toyyar dalam peperangan Mu'tah. Dia mahu jadi seperti Hamzah Asadullah dalam peperangan Uhud.

Kini, tiada lagi Rafik di Bait Haramain. Sudah tiga bulan keberangkatannya ke bumi Aceh, saya terus diserkup rindu.

Hanya semalam, saya menerima berita yang benar-benar menyentak damai diri.  Khabar yang disampaikan rakan-rakan sekuliah; teman-teman senegaranya. Rafik meninggal dunia apabila operasi memberi bantuan mangsa tsunami dijalankan.

Ketika membantu mengangkat bantuan bekalan makanan dan ubat-ubatan, dia dilanggar dan kepalanya terhantuk kuat pada seketul batu tajam. Darah berhamburan keluar. Dia tidak sempat diselamatkan akibat hentakan dan pendarahan yang teruk.

Minda gancang teringatkan tawarikh panglima Islam Khalid Al-Walid yang mengimpikan syahid tetapi hanya bertemu ajal di tempat tidurnya. Ya, dia menyalin impian Khalid Al-Walid. Rafik, menyalin khatimah hidup Khalid Al-Walid Saifullah!

Malam semakin pekat. Kedinginan semakin terasa. Bintang-bintang masih tekal mengerling. Semilir terus berlagu syahdu.  Mengalunkan ritma rindu kepada seorang rafik.  Air Sungai Barada terus mengalir. Memberikan malam nafas baru sebelum siang menjelma.  

Saya bingkas dan melangkah masuk ke dalam Bait Haramain. Malam esok, dan malam-malam seterusnya, saya akan terus mengintai ke dada langit pada waktu malam mesra menghamparkan kasih, mencari sebutir bintang paling karib di sisi bulan, kerana itu adalah bintang seorang rafik!

Tuesday, 26 August 2014

Penutup Tirai Syawal 2014

Assalamualaikum..

Hari ni hari terakhir Syawal 2014..dah sebulan rupanya kita berhari raya...semalam ada jamuan hari raya ofis dan juga majlis meraikan hari jadi staff untuk bulan April hingga Ogos....

Jamuan hari raya kali ni ada temanya..idea kreatif dari account department..start deco dari hari Jumaat lagi, bersambung weekend..maka tercipta tema 'balik kampung'..



Meriah dengan dekorasi..dari dinding hingga ke meja jamuan...food presentation pun dari idea kreatif 'event manager and the team'...mendapat pujian dari Chairman..*tepuk tangan*..


Majlis dimulakan dengan majlis hari jadi..diketuai oleh boss saya..


Untuk jamuannya, semua juadah disediakan oleh staff tapi disponsor oleh Sports Club..homecooked dishes..cuma beli sate dan kek..


Macam-macam ada..laksam, nasi beriyani, nasi hujan panas, kurma telur, ayam masak merah, rendang ayam dan daging, German sepherd pie, nasi impit, lemang, mee kari, lontong dan deserts - caramel telur, bubur cha-cha, buah-buahan, kek dan kuih-muih.






Selesai sudah..In shaa Allah, tahun depan dengan tema yang lain pula...