Saturday, 9 May 2020

Bubur Lambuk

Alhamdulillah, rezeki hari ni...bubur lambuk lejen dari Kampung Baru..bubur lambok Pak Hassan..

Adik lelaki pi beli dan hantar ke rumah...



Sebagai balasan, mak buat popiah basah, teringat anak lelaki tak merasa lagi popiah basah tradisi keluarga. Popiah ni memang kegemaran dia.

ini untuk di rumah..tahanlah sampai sahur

Sekian, salam 16 Ramadan

Thursday, 7 May 2020

Memorabilia...rantai kunci..

Salam 14 Ramadan..sudah nak masuk fasa ke-2 bulan puasa..semoga kita semua terus memburu pahala berganda di bulan barakah ini..

Siapa rindu nak travel?..hehe..sekarang ni  akhir musim bunga di negara 4 musim, bunga-bunga sakura memutih sudahpun berlalu...bye-bye semuanya, entah bila akan bersua. OK, tak dapat travel ke mana-mana, jom lah lihat-lihat ole-ole kenangan travel. Kenangan dalam bentuk keychains atau rantai kunci (Melayu), gantungan kunci (Indonesia). 

Keychains ni sikit je yang saya beli, cuma satu dua je kot, yang lain souvenir dari kawan-kawan dan juga bos. Tak tahu nak simpan kat mana, gantung di partition pejabat. Sekali-sekala, belek-belek keychain ni sambil cuba ingat siapa yang bagi..terima kasihlah yang sudi bagi souvenirs kat saya...

keychain Ranah Minang je yang saya beli, yang lain orang kasi
ada pulak angkor wat..tak perasan, huhu..
kena buang nih..tak elok gantung mcm ni..

keychain rumah minangkabau yang saya beli di Bukit Tinggi

siapa yang bagi Sydney Opera House tu? tak ingattt..

Yang terbaru

Itu saja koleksi keychains yang ada. Mungkin akan buat makeover partition ni, rasa macam serabut pulak. Ada keychain yang diguna untuk rantai kunci rumah.

yang ni souvenir lain pula

pemberat tu souvenir dari rakan pejabat yang dah meninggal dunia
bunga kaca warna ungu souvenir dari Vietnam from boss
pokok hijau beli di Kaison 

Sekian saja, santai-santai di hari cuti.

Tuesday, 5 May 2020

Hidangan/Makanan

Salam Ramadan...

Alhamdulillah, dah 12 hari kita berpuasa dalam tempoh PKP, disambung dengan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) pula...semoga dapat melayan Ramadan dengan sebaiknya, merebut ganjaran pahala yang berlipat-ganda..

Sejak cuti PKP, sudah tentu banyak juadah telah dimasak di rumah, ada yang mencuba resepi baru, untuk santapan seisi keluarga. Dalam kita merangka-rangka juadah apa yang nak dimasak hari ni, marilah tadabbur ayat-ayat suci Al-Quran yang ada menyebut tentang makanan. Siapakah yang menerima hidangan/makanan direct dari Allah swt? Maha Suci Allah Ar-Razzaq.

1. Kaum Nabi Musa a.s.

Setelah Nabi Musa a.s. membawa Bani Israil keluar dari negeri Mesir lari dari Firaun dan melalui Laut Merah sebelah utara (terbelah Laut Merah antara mukjizat Nabi Musa), mereka tiba di padang pasir yang panas terik dan Allah swt telah menaungi mereka dengan awan dan menurunkan makanan. Kisah ini disebut dalam ayat 57, Surah Al-Baqarah.

"Dan Kami naungi kamu dengan awan, dan Kami turunkan kepadamu "manna" dan "salwa". Makanlah dari makanan yang baik-baik yang telah Kami berikan kepadamu. Dan tidaklah mereka menganiaya Kami, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri"

Mengikut tafsir, manna ialah makanan manis sebagai madu dan salwa ialah burung sebangsa puyuh.

Kemudian Nabi Musa as meminta air untuk kaumnya, satu lagi mukjizat Allah kurniakan kepada Nabi Musa as, disebut dalam ayat 60 Surah Al-Baqarah.

"Dan (ingatlah) ketika Musa memohon air untuk kaumnya, lalu Kami berfirman: "Pukullah batu itu dengan tongkatmu". Lalu memancarlah daripadanya dua belas mata air. Sungguh tiap-tiap suku telah mengetahui tempat minumnya (masing-masing). Makan dan minumlah rezki (yang diberikan) Allah, dan janganlah kamu berkeliaran di muka bumi dengan berbuat kerusakan."

Allah swt telah bagikan Bani Israil kepada dua belas suku seperti yang disebut dalam ayat 160 Surah Al-A'raaf.

"Dan mereka Kami bagi menjadi dua belas suku yang masing-masingnya berjumlah besar dan Kami wahyukan kepada Musa ketika kaumnya meminta air kepadanya: "Pukullah batu itu dengan tongkatmu!". Maka memancarlah dari padanya dua belas mata air. Sesungguhnya tiap-tiap suku mengetahui tempat minum masing-masing. Dan Kami naungkan awan di atas mereka dan Kami turunkan kepada mereka manna dan salwa (Kami berfirman); "Makanlah yang baik-baik dari apa yang telah Kami rezkikan kepadamu". Mereka tidak menganiaya Kami, tetapi merekalah yang selalu menganiaya dirinya sendiri."

Tapi kaum Bani Israil ni tidak tahan makan satu jenis makanan sahaja,  mereka minta Nabi Musa memohon kepada Allah swt supaya mengeluarkan makanan lain iaitu sayur-mayur, ketimun, bawang putih, kacang adas dan bawang merah. (ayat 61 Surah Al-Baqarah).  




Tapi Nabi Musa berkata: "Maukah kamu mengambil sesuatu yang rendah sebagai pengganti yang lebih baik?" Maknanya manna dan salwa itu adalah makanan yang lebih baik, lebih berkhasiat daripada makanan lain yang diminta oleh kaum Bani Israil.


2. Maryam bint'Imran

Maryam bint'Imran ialah ibu kepada Nabi Isa as. Dalam Surah Ali'Imran, ayat 35, ibu Maryam semasa mengandungkan Maryam, beliau telah bernazar yang anak akan lahir itu akan diberikan untuk berkhidmat di Baitul Muqaddis. Dalam ayat 37, Maryam dipelihara oleh Nabi Zakariya. Menurut riwayat, Nabi Zakariya ialah suami kepada ibu saudara Maryam. Maryam bermunajat, beribadah di dalam satu mihrab (bilik) di Masjid Al-Aqsa. Setiap kali Nabi Zakariya masuk ke mihrab, beliau dapati ada makanan di sisi Maryam.

"Maka Tuhannya menerimanya (sebagai nazar) dengan penerimaan yang baik, dan mendidiknya dengan pendidikan yang baik dan Allah menjadikan Zakariya pemeliharanya. Setiap Zakariya  masuk untuk menemui Maryam di mihrab, ia dapati makanan di sisinya. Zakariya berkata : "Hai Maryam dari mana kamu memperoleh (makanan) ini?" Maryam menjawab: "Makanan itu dari sisi Allah". Sesungguhnya Allah memberi rezki kepada siapa yang dikehendaki-Nya tanpa hisab".

MashaAllah, Allah turunkan rezeki kepada hamba yang dikehendakiNya.


 pokok kurma berbuah lebat

Manakala dalam Surah Maryam pula, dalam ayat 22, semasa Maryam mengandung, beliau telah keluar dari mihrab dan pergi ke tempat yang jauh untuk mengelak dari tohmahan masyarakat. Menurut riwayat, tempat tersebut ialah Bethlehem, lebih kurang 9 kilometer dari Jerusalem (lokasi Baitul Muqaddis).

Dalam ayat 23, ketika sakit untuk bersalin, Maryam telah bersandar pada pangkal pokok kurma dan dalam keadaan runsing dan berkeluh-kesah. Dalam ayat 24, malaikat Jibril datang memberi semangat kepada Maryam.

"Maka Jibril menyerunya dari tempat yang rendah:"Janganlah kamu bersedih hati, sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan anak sungai dibawahmu".

"Dan goyanglah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, niscaya pohon itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadamu" (ayat 25).

Dalam ayat 26, Jibril menyuruh Maryam makan buah kurma dan minum air sungai itu dan bersenang hati dan tidak bercakap dengan manusia sebab bernazar kepada (Allah) Ar Rahman.

3. Nabi Isa as 

Kisah hidangan kepada Nabi Isa as dan pengikut-pengikutnya (golongan Hawariyyun yang seramai 12 orang) diceritakan dalam Surah Al-Maa-idah (Hidangan), ayat 112 hingga ayat 115.

"(Ingatlah), ketika pengikut-pengikut 'Isa berkata: "Hai 'Isa putera Maryam, bersediakah Tuhanmu menurunkan hidangan dari langit kepada kami?". 'Isa menjawab: "Bertaqwalah kepada Allah jika betul-betul kamu orang yang beriman." (Ayat 112)

"Mereka berkata: "Kami ingin memakan hidangan itu dan supaya tenteram hati kami dan supaya kami yakin bahawa kamu telah berkata benar kepada kami, dan kami menjadi orang-orang yang menyaksikan hidangan itu" (Ayat 113)

"'Isa putera Maryam berdoa: "Ya Tuhan kami, turunkanlah kiranya kepada kami, satu hidangan dari langit (yang hari turunnya) akan menjadi hari raya bagi kami iaitu orang-orang yang bersama kami dan yang datang sesudah kami, dan menjadi tanda bagi kekuasaan Engkau; beri rezkilah kami, dan Engkaulah Pemberi Rezeki yang Paling Utama." (Ayat 114)

"Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku akan menurunkan hidangan itu kepadamu, barang siapa yang kafir diantaramu sesudah (turunnya hidangan itu), maka sesungguhnya Aku akan menyiksanya dengan siksaan yang tidak pernah Aku timpakan kepada seorangpun diantara umat manusia." (Ayat 115)

gambar hiasan sahaja

Allah swt telah memakbulkan doa Nabi Isa dengan menurunkan hidangan yang diapit oleh dua buah awan dan membawanya turun menuju Nabi Isa. Sementara, Al Hawariyun menyaksikan peristiwa menakjubkan tersebut. Dikhabarkan, hidangan tersebut terdiri daripada roti, ikan, delima dan buah-buahan, dan makanan lain-lainnya. Menerima kasih sayang Allah, Nabi Isa pun kemudian bersujud, diikuti para pengikutnya. Turunnya hidangan dari langit ialah salah satu mukjizat Nabi Isa as.


Wallahua'alam. Semoga kisah-kisah diatas memberi kekuatan kepada kita untuk terus bermujahadah mendekatkan diri kepada Allah swt, mengharap kasih sayang Nya. Allah Maha Kuasa untuk menjadikan sesuatu yang dikehendakiNya, dengan hanya berfirman kepada (hakikat) benda itu, "Jadilah", maka ia terus jadi. Subhanallah.

*Untuk terjemahan dan tafsiran ayat-ayat Al-Quran, saya merujuk kepada naskah Al-Quran dan Terjemahnya hadiah dari Khadim al Haramain asy Syarifain (Pelayan kedua Tanah Suci) Raja Fahd ibn' Abd al' Aziz Al Sa'ud.