Thursday, 14 May 2020

Tadabbur Ringkas Juzuk 20

Assalamualaikum..jom tadabbur Juzuk 20..

Juzuk 20 - Surah An-Naml 56-93, Surah Al-Qasas 1-88 dan Surah Al-Ankabut 1-45
15 Points 

1. Juzuk ini mengandungi tiga surah iaitu bahagian kedua Surah An-Naml (Semut), Surah Al-Qasas (Kisah) secara lengkap dan bahagian awal Surah Al-'Ankabut (Labah-Labah). 

2. Ayat 65 Surah Al-Naml menjadi prinsip utama dalam ISLAM yang mana semua perkara ghaib mestilah berdasarkan dalil jelas dari Al-Quran dan As-Sunnah. Jika ada orang menceritakan perihal perkara ghaib tanpa mendatangkan dalil dan hujah yang nyata dari Al-Quran dan Hadith, maka tolaklah ia. Di dalam ayat 82 pula menceritakan kisah akan keluarnya sejenis binatang dari perut bumi yang boleh bercakap apabila dunia sudah menghampiri kiamat.

3. Ayat 88 mengisahkan tentang gunung-ganang yang bergerak. Ramai saintis mengatakan bahawa ayat ini bertepatan dengan Teori Pergerakan Plat Tektonik di dalam ilmu Geologi. Namun begitu, 'pergerakan' di dalam ayat ini sebenarnya bermaksud pergerakan ketika berlakunya kiamat nanti yang mana gunung-ganang ini akan bergerak seperti kapas (Ayat 5 Surah Al-Qari'ah). Jadi sangat tidak tepat menjadikan ayat ini sebagai sokongan kepada Teori Pergerakan Plat Tektonik.

4. Surah Al-Qasas banyak menceritakan tentang kisah Nabi Musa A.S. dan Firaun yang bermula dari ayat 4 sehingga ayat 48. Antara kisah di dalam surah ini adalah kisah bagaimana Musa A.S. tertumbuk orang tanpa sengaja sehingga menyebabkan kematian, lalu Baginda diburu dan lantas melarikan diri sehingga ke Madyan yang mana di sana Baginda terus menghulur bantuan kepada dua orang perempuan yang memerlukan pertolongan pada ketika itu (Ayat 15-23). Sikap itsar (mendahulukan orang lain) ini adalah akhlak mulia yang ditunjukkan oleh Baginda biarpun masih dalam keletihan.

5. Allah SWT merakamkan doa Nabi Musa A.S. di dalam ayat 24 ketika mana Baginda merasa berada di dalam kesulitan. Doa ini sangat baik untuk diamalkan dan ia membawa maksud, "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat memerlukan kebaikan-kebaikan yang Engkau turunkan kepadaku". Selepas Baginda berdoa dengan doa ini, Allah SWT menghantar bantuan kepada Nabi Musa satu persatu. Antaranya ialah Baginda dipanggil oleh bapa kepada dua perempuan yang dibantu tadi, kemudian diberikan kerja dan dijodohkan dengan salah seorang perempuan tersebut (Ayat 25-27). Perempuan tersebut adalah anak Nabi Syuaib.

6. Ayat 26 memberitahu bahawa benarnya firasat isteri Nabi Musa A.S. yang meminta ayahnya mengambil Baginda untuk bekerja kerana melihat dua karakter yang baik pada diri Baginda iaitu seorang yang kuat dan bertanggungjawab. Abdullah bin Mas'ud R.A. ketika menghuraikan ayat ini mengatakan jika ingin melihat firasat yang betul, maka lihatlah pada ayat 26 Surah Al-Qasas.

7. Ayat 29-35 pula menceritakan kisah Nabi Musa A.S. yang pulang semula ke Mesir dan ketika di dalam perjalanannya Baginda melihat terdapat cahaya api yang jauh di padang pasir yang sejuk. Di dalam ayat 29, Nabi Musa A.S. menunjukkan akhlak budiman yang menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan meminta keluarganya menunggu di situ dan beliau yang pergi melihat api tersebut secara lebih dekat. (untuk diambil supaya dapat memanaskan badan)

8.Di situlah Nabi Musa A.S. diberikan wahyu oleh Allah SWT yang didahului dengan pelbagai suruhan dari Allah SWT seperti mencampakkan tongkat dan menyeluk tangan sehingga keluar cahaya (Ayat 32). Sebagai manusia biasa, Baginda ketakutan menghadapi situasi ini.  Lantas di dalam ayat ini Allah SWT mengajar Baginda agar memekap tangan ke dada untuk menghilangkan rasa takut tersebut.

9. Allah SWT memuji ahli kitab di dalam ayat 52-55 yang mana mereka beriman dengan Nabi Musa A.S. dan Nabi Isa A.S. Kemudian para Ahli Kitab ini menyambung keimanan mereka kepada Kenabian Rasulullah SAW lalu diberikan kepada mereka dengan ganjaran pahala sebanyak dua kali ganda (Ayat 54) manakala di dalam ayat 56 memberitahu bahawa hidayah itu secara mutlaknya adalah milik ALLAH SWT. Dikatakan oleh para ulama' tafsir bahawa ayat ini ditujukan kepada Rasulullah SAW kerana Baginda SAW sangat berharap ayah saudara Baginda, Abu Talib memeluk agama ISLAM dan meninggal dunia dalam keadaan beriman.

10. Ayat 71-73 menceritakan nikmat yang jarang disyukuri iaitu nikmat siang dan malam. Allah SWT memberikan dua persoalan: 1) Apakah akan terjadi sekiranya malam berterusan sehingga hari Kiamat dan siapakah yang mampu membawa cahaya? 2) Apa akan terjadi sekiranya siang berterusan sehingga Kiamat dan siapa yang mampu membawa malam untuk berehat? Semoga dengan persoalan ini mampu menerbitkan rasa syukur kepada Allah SWT  diatas dua nikmat ini.

11. Kisah Qarun dan keangkuhannya diceritakan di dalam ayat 76-82. Allah SWT memberikan mesej bahawa pentingnya menjadi orang berilmu kerana tatkala orang awam sangat kagum dan mengharapkan agar memiliki kekayaan seperti Qarun, orang berilmu melihat perkara itu hanya perkara yang kecil jika dibandingkan dengan Akhirat. Ayat 82 menceritakan penyesalan dan kesedaran orang jahil tentang apa yang dikatakan oleh orang berilmu selepas kematian Qarun. Jelas berdasarkan ayat ini bahawa orang berilmu akan sentiasa melihat sesuatu itu beberapa langkah ke hadapan. Maka, berusahalah kita agar menjadi orang yang berilmu.

12. Ayat 85 merupakan motivasi dan janji yang diberikan kepada Rasulullah SAW  ketika mana Baginda berhijrah keluar dari Mekah dan menyebabkan timbul rasa rindu yang teramat kepada tanah kelahiran Baginda SAW. 

13. Dinamakan Surah Al-'Ankabut  kerana di dalamnya Allah SWT memberikan perumpamaan pegangan (Akidah) orang yang menyembah selain-Nya sangat rapuh seperti rapuhnya sarang labah-labah. Surah ini juga dikenali sebagai Surah Ujian kerana didalamnya terdapat dua kisah Nabi yang menerima ujian yang lebih berat berbanding ujian terhadap Rasulullah SAW.

14. Ayat 2-4 Surah Al-'Ankabut memberitahu bahawa ujian itu pasti akan dirasai oleh setiap dari kita semua.  Kisah pertama adalah ujian yang dihadapi oleh Nabi Nuh A.S. yang dihantar untuk bersama kaumnya selama 950 tahun (Ayat 14). Ini sangat banyak jumlahnya jika dibandingkan dengan 23 tahun Nabi Muhammad SAW diuji untuk menyempurnakan tugasan Baginda SAW. Kisah kedua adalah ujian yang menimpa Nabi Ibrahim A.S. yang dibakar lalu diselamatkan oleh Alla SWT (Ayat 24).

15. Ayat 45 merupakan suruhan Allah SWT supaya kita membaca Al-Quran dan mendirikan solat. Dua perkara ini perlulah bergerak seiring kerana solat itu mencegah perkara yang keji dan mungkar. JIka kita menjaga solat kita, InsyaAllah ia akan menjaga diri kita dari perbuatan mungkar. Allahu a'lam.

Sumber: Ustaz Abdullah Bukhari

Wednesday, 13 May 2020

Perbandingan Kisah Nabi Musa dan Nabi Yusuf

Assalamualaikum semua..hari ni 20 Ramadan, semoga kita diberi kekuatan untuk meningkatkan ibadah di 10 hari terakhir di bulan Ramadan dan dipertemukan dengan Lailatulqadr..amiin..

Bagi yang tadarus dan tadabbur Al-Quran, satu juzuk setiap hari, sudah sampai ke juzuk ke20 yang terdiri daripada tiga surah iaitu Surah Al-Naml (semut), Surah Al-Qasas (Kisah) dan Surah Al-Ankabut (labah-labah). Surah Al-Qasas menceritakan secara terperinci kisah Nabi Musa.

Dalam bulan puasa ni, mungkin ramai yang ada terima whatsapp perbandingan kisah Nabi Musa dan Nabi Yusuf oleh Brother Nouman Ali Khan. Whatsapp dalam bahasa Inggeris. Menarik kan, selama ni tak pernah terfikir pun persamaan dan perbezaan dalam kisah tersebut.

Nouman Ali Khan mengumpulkan 115 perbandingan secara keseluruhan antara kedua kisah ini. Allah berfirman dalam Surah Yusuf, Ayat 3:
 
"Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) seindah-indah kisah dengan jalan Kami wahyukan kepadamu Al-Quran ini, padahal sebenarnya engkau sebelum datangnya wahyu itu, adalah dari orang-orang yang tidak pernah menyedari akan halnya"

Siapakah Nouman Ali Khan ni? Beliau ialah Pakistani-American Muslim speaker. Boleh ikuti kupasan beliau dalam program Al-Baqarah Series di channel Naura Astro 125.

Sebab menarik hasil kajian Bro Nouman ni, kita terjemahkan dan abadikan di dalam blog ni. Dalam whatsapp tersebut, tak semua 115 point ada, yang ni pun jadilah kan..

  • Yusuf AS adalah kisah seorang ayah yang kehilangan anak. Musa AS pula kisah seorang ibu yang kehilangan anak. Apabila anda membaca kisah Yusuf, anda mungkin terfikir, dimanakah ibunya? Dan apabila anda membaca kisah Musa pula, anda juga mungkin akan terfikir, dimanakah ayahnya? 
  • Allah SWT berfirman, tunggu dulu, Kami sampaikan kisah seorang ayah di sini dan Kami ceritakan kisah seorang ibu di sini. Siapakah dia cerita tentang sang ayah? Yusuf. Siapa pula cerita mengenai si ibu? Musa. Mereka berdua kehilangan anak, ya atau tidak? Salah seorang dari mereka kembali setelah hilang beberapa jam, Musa. Salah seorangnya kembali ke pangkuan ibubapa setelah hilang bertahun-tahun lamanya, yang mana satu? Yusuf.
  • Salah seorang daripadanya mempunyai saudara perempuan (kakak), yang seorang lagi mempunyai saudara-saudara lelaki. Kakaknya ialah penyebab dia bertemu semula dengan ibunya. Saudara-saudara lelaki adalah alasan dia berpisah dengan ayahnya.
  • Yang (Musa) dilemparkan ke dalam air, untuk tujuan yang baik. Yang (Yusuf) dilemparkan ke dalam air kerana niat jahat.
  • Yang ini (Musa) berakhir di sebuah istana Mesir dengan ratu, seorang wanita. Yang (Yusuf) itu berakhir di pasar dan di istana di Mesir bersama seorang raja, seorang lelaki
  • Bayi Musa, isteri membawanya ke firaun. Isteri yang baik membawanya kepada suami yang jahat. Sekarang kisah Yusuf: suami yang baik membawanya kepada isteri yang berperangai buruk.
  • Dan kemudian Musa, permaisuri itu berkata, mungkin dia dapat berkhidmat kepada kita, atau kita boleh mengambilnya (sebagai anak angkat), masihkah ingat? KATA-KATA YANG SAMA DALAM KISAH YUSUF! si suami mendatangi isterinya dan berkata mungkin dia dapat berkhidmat kepada kita, atau kita boleh menerimanya (sebagai anak angkat), kata demi kata yang sama (Quran 28: 9 dan 12:21). Ruang waktu yang berabad-abad lamanya, kata demi kata yang sama. Dan salah seorang daripada mereka menjadi anak angkat, mereka mengambil pilihan adopsi. Yang seorang lagi menjadi pekerja (servant), mereka mengambil pilihan pekerja (servant).
  • Dan kemudian Allah berfirman, mengenai Yusuf, dengarkan ini, "Ketika dia menjadi remaja, Kami memberinya hikmah dan pengetahuan". Bunyi biasa? Apa firman Allah tentang Musa? Semasa dia remaja, Allah memberinya hikmah dan pengetahuan. Satu-satunya perbezaan adalah Yusuf mempunyai penampilan yang sangat baik, Musa mempunyai kekuatan yang sangat baik. Itulah perbezaan, penampilan dan kekuatan.
  • Baiklah, ketika Allah swt menyebutnya, Yusuf mendapati dirinya berada dalam masalah. Dalam ayat berikutnya dalam kisah ini, adakah Musa juga mengalami masalah? Ok, Yusuf mendapati dirinya berada dalam masalah di dalam rumah. Musa mendapati dirinya berada dalam masalah di luar rumah.
  • Yusuf, masalahnya adalah godaan, zina. Musa, masalahnya dalam bentuk apa? Membunuh. Dalam Al-Quran, ada dua dosa besar, zina dan pembunuhan. Yang pertama adalah kisah tentang zina, yang lain adalah kisah tentang pembunuhan.
  • OK, dalam kisah Yusuf, wanita itu adalah penjahat. Dalam kisah Musa, seorang lelaki adalah penjahat. Dan dalam kedua-dua kisah mereka, jenayah telah dilakukan.
  • Baiklah, apabila jenayah telah dilakukan, dalam kisah Musa, dia benar-benar melakukan jenayah tersebut. Dalam kisah Yusuf, dia sebenarnya tidak bersalah. Jadi mana yang bersalah dan mana yang tidak bersalah? Musa bersalah, Yusuf tidak bersalah. Orang yang bersalah berlalu pergi, dan orang yang tidak bersalah dipenjarakan.
  • Okey. Sekarang Yusuf di penjara dan Musa melarikan diri. Yusuf di penjara, dia bertemu dua apa? Dua orang lelaki, dan dia menolong mereka. Musa pergi ke satu tempat bernama Madyan, dan dia bertemu dengan dua orang wanita, dan dia menolong mereka.
  • Kisah Yusuf AS memberitahu anda bagaimana seorang lelaki dan wanita tidak boleh bersatu. Kisah Musa AS memberitahu anda bagaimana seorang lelaki dan wanita boleh bersatu (atas landasan syariat).
  • Yusuf AS dihantar untuk menyelamatkan kerajaan Mesir. Musa AS dihantar untuk menghancurkan kerajaan Mesir.
  • Dalam kisah Yusuf, raja melihat mimpi dan Yusuf memenuhi mimpi itu. Dalam kisah Musa, firaun melihat mimpi dan Musa memenuhi mimpi itu.
  • Mesir diselamatkan kerana air. Mesir hancur kerana air.
  • Yusuf AS adalah sebab mengapa mereka berpindah ke Mesir. Musa adalah alasan mereka meninggalkan Mesir.

SubhanAllah! Wallahua'lam..

Membaca point-point diatas, membuatkan kita buka Al-Quran untuk buat rujukan kepada dua surah tersebut - Surah Yusuf dan Surah Al-Qasas, nak tahu details kisah dua nabi ini. Surah Yusuf sangat menarik gaya penceritaannya, very flowing.

Semoga bermanfaat...#staysafe..

Sunday, 10 May 2020

Salam Nuzul Al-Quran 1441H

Malam ni dah masuk 18 Ramadan...tapi nak juga ucap Salam Nuzul Al-Quran 1441H kepada musliminin muslimat semua..
 
 "Bulan Ramadan diturunkan padanya al-Quran yang menjadi panduan kepada manusia" 
Surah Al-Baqarah, ayat 185

Itulah al-Quran yang Allah swt sebutkan namanya dengan pelbagai gelaran. Antara namanya ialah al-Kitab sebagai panduan kepada orang yang bertakwa, al-Furqan yang bezakan kebenaran dari yang batil, al-Nur (cahaya) yang membimbing ke jalan yang lurus, disebut juga sebagai Ruh didalam surah al-Syura ayat 52:
"Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad) al-Quran sebagai Ruh (yang menghidupkan hati)" 

Malaysia#Qurantime TV Al-Hijrah

program tadabbur al-Quran di masa PKP 

 "Ya Allah, jadikanlah kami daripada ahli al-Quran, kabulkanlah segala cita-cita kami mengenai urusan dunia dan akhirat dengan syafaat (pertolongan) al-Quran. Perkenankan Ya Allah, wahai Tuhan sekelian alam" Amiin..Ya Rabbal alamin..