Wednesday, 11 February 2009

Air mata umat Islam di Tel Aviv


oleh Ainol Amriz Ismail, Mingguan Malaysia, 5 October 2007

Umat Islam yang melihat Masjid Bahar yang terletak di lokasi strategik berhadapan Laut Mediterranean di Kota Jaffa Lama di sini pastinya mengalirkan air mata apabila ia kini dijadikan restoran dan tempat meneguk arak.



Inilah angkara jahat rejim Israel yang secara terang-terangan menghina umat Islam apabila bahagian atas bumbung masjid yang masih tersergam kubahnya itu diubah menjadi pub dan restoran dengan rakyatnya menikmati arak tanpa memikirkan sentimen minoriti umat Islam yang masih menetap di ibu negara Israel itu.

Ia adalah senario tiga masjid yang masih kekal di kawasan Tel-Aviv, kira-kira sejam perjalanan dari Jerusalem dalam misi menjejak kependudukan Palestin yang terus menerima penindasan rejim Israel serta keangkuhan tanpa batasan.

Masjid Bahar yang dibina pada abad semasa zaman Empayar Uthmaniah sering kali digunakan oleh nelayan untuk beribadah kerana kedudukannya yang begitu hampir dengan Laut Mediterranean. Bahar itu sendiri bermaksud laut, kini merupakan masjid yang ditinggalkan dan diarah tutup oleh pentadbiran Israel kerana bimbang penguasaan berterusan rakyat Palestin di kawasan yang mereka sifatkan sebagai lombong bagi industri pelancongan itu.

Kami melihat sendiri, dengan kalimah 'LailahaillAllah Muhammadurasulullah' yang masih utuh di pintu masuk masjid berkenaan tidak langsung dihormati oleh penduduk Israel yang dianggarkan 99 peratus di kawasan ini, sebaliknya dengan rasa angkuh bahagian bumbung masjid berkenaan dijadikan restoran dan pub untuk meneguk arak.
 
Seorang qari di Masjid Hamidiah di sini - salah satu masjid yang masih berfungsi dan menerima kehadiran umat Islam, Abbas Muhammad berkata, sepatutnya tempat beribadah tidak dicemari kerana umat Islam tidak pernah tergamak melakukan sedemikian kepada agama lain.

Masjid Hamidiah
"Kami minoriti di sini. Israel terlalu angkuh. Mereka mahu masjid itu ditutup. Hari ini tiada lagi jemaah di situ. Bahagian atasnya dijadikan pub. Perasaan sakit hati ini, sepatutnya bukan hanya kami yang menanggungnya tetapi seluruh umat Islam di dunia," katanya.

Di Tel Aviv terdapat tiga masjid - Masjid Hasan Bik (dibina pada tahun 1916), Masjid Hamidiah (dibina pada tahun 1850an oleh Sultan Abdul Hamid ke-2) dan Masjid Bahar (dibina pada abad ke-17, kini berusia lebih 300 tahun).

Masjid Hasan Bik kini digunakan oleh golongan musafir dan tidak lagi digunakan secara terbuka di kawasan pelancongan berhampiran pantai ini.



Masjid Hasan Bik (source: google)

Hanya Masjid Hamidiah yang kini menempatkan 500 jemaah pada solat Jumaat berikutan kedudukannya dalam minoriti kecil penduduk Palestin di ibu negara Israel ini.

"Kami tetap berusaha mempertahankan Islam di sini biarpun berhadapan kesukaran kerana letaknya masjid ini dalam lingkungan aktiviti keseronokan dunia. Bagi saya, umat Islam adalah bersaudara di seluruh dunia. Ia ibarat satu badan manusia. Kalau satu anggota terasa sakit, yang lainnya akan berasa sakitnya. Begitulah di Palestin, jika kami sedang ditimpa kesakitan, umat Islam di seluruh dunia harus berasa sakitnya." kata Abbas.

Sukar untuk menterjemahkan isi hati Abbas - salah seorang penduduk Islam minoriti di Tel Aviv ini, apabila dia meminta supaya 'diambil' semula Masjid Bahar dari jajahan Israel. Namun begitu, satu resolusi sebenarnya perlu dibuat oleh orang Palestin sendiri. Kembalikan perpaduan di kalangan puak bertelagah - Hamas dan Fatah, wujudkan perbincangan secara damai bukan dalam konteks peperangan dan kembali menuntut hak umat Islam dengan cara paling terhormat.
 
Mungkin di Masjid Hamidiah, nadinya masih berdenyut, tetapi Masjid Hasan Bik di tengah kota ini, semakin tinggal nyawa-nyawa ikan. Adalah malang Masjid Bahar terus tumbang, dicurah dengan arak sedangkan kalimah Allah terus kekal utuh tanpa ada cacat dan celanya. 
 
Bagi umat Islam dunia, dimana sekalipun kaki ini berpijak di bumi Palestin,ia adalah tanah suci dan ia pernah diduduki, dilalui dan disinggah oleh Nabi Yaakob, Nabi Yusof, Nabi Daud, Nabi Sulaiman, Nabi Isa dan Nabi Muhammad s.a.w. Umat Islam juga percaya Palestin ini merupakan bumi para anbia di mana telah menjadi tempat para Nabi menyampaikan ajaran mereka, wafat di bumi ini dan mereka termasuklah Nabi Ibrahim, Nabi Luth, Nabi Ishak, Nabi Syuib, Nabi Zakaria dan Nabi Yahya.
Oleh yang demikian adalah satu penghinaan yang sukar dimaafkan terhadap apa yang dilakukan oleh rejim Israel ke atas kependudukan rakyat Palestin, khususnya apa yang telah berlaku ke atas masjid di Tel Aviv ini.
 
Masjid Bahar akan begitulah sampai bila-bila. Kalimah Allah akan terus dihina. Wahai umat Islam dunia, bangkitlah. Ayuh kita membantu Palestin, bebas dari kekejaman dan penindasan rejim Israel.

Fakta:
Tel Aviv merupakan sebuah kota pesisir dan kota metropolitan di Israel. Dalam tempoh lapan bulan - Mei hingga Disember 1948, di mana Jerusalem menjadi rebutan sebahagian penduduk Israel untuk menamakan wilayah itu sebagai ibu negara, namun hanya dua negara - El Salvador dan Costa Rica memperakuinya. Selain daripada itu, negara luar masih menganggap Tel-Aviv merupakan ibu kota de facto Israel dan menempatkan kedutaan mereka di sana. Nama "Tel Aviv" (Tel Abib) dalam bahasa Ibrani bererti 'bukit semi', sebuah nama yang diberikan melalui terjemahan buku Theodor Herzl's Altneuland (Negara Lama Baru). Nama "Tel Aviv" diambil oleh penterjemah, Nahnum Sokolov, dari buku Yehezkiel dari Alkitab.

9 comments:

  1. Salam...

    Berita dalam Palestin Kini ada menceritakan bahawa Yahudi sedang membuka lagi terowong untuk mengorek bawah masjid Al-Aqsa.

    Tetapi menurut sumber saya terima, dengar khabar semakin Yahudi korek semakin banyak artifak Islam yang dijumpai. Bukan artifak Yahudi.

    Apapun, airmata merah umat Islam Palestin masih basah..bilakah ia akan kering?

    ReplyDelete
  2. Berdoa semoga kemenangan umat Islam itu hampir tiba. Amin

    ReplyDelete
  3. To: Ibnurashidi,
    Sudah terang lagi bersuluh, memang kaw. masjid Al-Aqsa, tempat orang Islam..janji Allah itu benar, hadis Rasulullah itu benar, umat Islam akan mengalahkan Yahudi..

    To: Pok Li,
    Amin..doa senjata umat Islam, seiring dgn berusaha & bertawakkal.

    ReplyDelete
  4. salam...

    Alhamdulillah...Sekurang-kurangnya ada juga 1 masjid y tinggal di israel iaitu Masjid Hamidiah walaupun hanya 500 jemaah sahaja di situ.

    p/s : kepada tuan y ampunya blog ini, kenapakah tidak dimasukkan gambar Masjid Hamidiah ni?

    ReplyDelete
  5. itu dugaan untuk kita umat Islam... Selagi umat Islam tidak bersatu, selagi itu lah mereka dengan sengaja memperlekehkan umat Islam...

    ReplyDelete
    Replies
    1. ya, betul..umat Islam bukan saja kena bersatu, tapi kena ada kekuatan ekonomi & perang nak melawan musuh spt Israel ni..

      Delete
  6. Musuh Islam memang takut jika kita umat Islam bersatu... Sebab itu mereka dengan segala upaya mereka berusaha untuk memecah belahkan umat Islam...

    ReplyDelete
    Replies
    1. umat Islam bersatu menghalau Rusia dari Aghanistan...bila bersatu timbul kekuatan..

      Delete

Syukran jazilan for your comments. Merci beaucoup!