Thursday 14 May 2020

Tadabbur Ringkas Juzuk 20

Assalamualaikum..jom tadabbur Juzuk 20..

Juzuk 20 - Surah An-Naml 56-93, Surah Al-Qasas 1-88 dan Surah Al-Ankabut 1-45
15 Points 

1. Juzuk ini mengandungi tiga surah iaitu bahagian kedua Surah An-Naml (Semut), Surah Al-Qasas (Kisah) secara lengkap dan bahagian awal Surah Al-'Ankabut (Labah-Labah). 

2. Ayat 65 Surah Al-Naml menjadi prinsip utama dalam ISLAM yang mana semua perkara ghaib mestilah berdasarkan dalil jelas dari Al-Quran dan As-Sunnah. Jika ada orang menceritakan perihal perkara ghaib tanpa mendatangkan dalil dan hujah yang nyata dari Al-Quran dan Hadith, maka tolaklah ia. Di dalam ayat 82 pula menceritakan kisah akan keluarnya sejenis binatang dari perut bumi yang boleh bercakap apabila dunia sudah menghampiri kiamat.

3. Ayat 88 mengisahkan tentang gunung-ganang yang bergerak. Ramai saintis mengatakan bahawa ayat ini bertepatan dengan Teori Pergerakan Plat Tektonik di dalam ilmu Geologi. Namun begitu, 'pergerakan' di dalam ayat ini sebenarnya bermaksud pergerakan ketika berlakunya kiamat nanti yang mana gunung-ganang ini akan bergerak seperti kapas (Ayat 5 Surah Al-Qari'ah). Jadi sangat tidak tepat menjadikan ayat ini sebagai sokongan kepada Teori Pergerakan Plat Tektonik.

4. Surah Al-Qasas banyak menceritakan tentang kisah Nabi Musa A.S. dan Firaun yang bermula dari ayat 4 sehingga ayat 48. Antara kisah di dalam surah ini adalah kisah bagaimana Musa A.S. tertumbuk orang tanpa sengaja sehingga menyebabkan kematian, lalu Baginda diburu dan lantas melarikan diri sehingga ke Madyan yang mana di sana Baginda terus menghulur bantuan kepada dua orang perempuan yang memerlukan pertolongan pada ketika itu (Ayat 15-23). Sikap itsar (mendahulukan orang lain) ini adalah akhlak mulia yang ditunjukkan oleh Baginda biarpun masih dalam keletihan.

5. Allah SWT merakamkan doa Nabi Musa A.S. di dalam ayat 24 ketika mana Baginda merasa berada di dalam kesulitan. Doa ini sangat baik untuk diamalkan dan ia membawa maksud, "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat memerlukan kebaikan-kebaikan yang Engkau turunkan kepadaku". Selepas Baginda berdoa dengan doa ini, Allah SWT menghantar bantuan kepada Nabi Musa satu persatu. Antaranya ialah Baginda dipanggil oleh bapa kepada dua perempuan yang dibantu tadi, kemudian diberikan kerja dan dijodohkan dengan salah seorang perempuan tersebut (Ayat 25-27). Perempuan tersebut adalah anak Nabi Syuaib.

6. Ayat 26 memberitahu bahawa benarnya firasat isteri Nabi Musa A.S. yang meminta ayahnya mengambil Baginda untuk bekerja kerana melihat dua karakter yang baik pada diri Baginda iaitu seorang yang kuat dan bertanggungjawab. Abdullah bin Mas'ud R.A. ketika menghuraikan ayat ini mengatakan jika ingin melihat firasat yang betul, maka lihatlah pada ayat 26 Surah Al-Qasas.

7. Ayat 29-35 pula menceritakan kisah Nabi Musa A.S. yang pulang semula ke Mesir dan ketika di dalam perjalanannya Baginda melihat terdapat cahaya api yang jauh di padang pasir yang sejuk. Di dalam ayat 29, Nabi Musa A.S. menunjukkan akhlak budiman yang menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan meminta keluarganya menunggu di situ dan beliau yang pergi melihat api tersebut secara lebih dekat. (untuk diambil supaya dapat memanaskan badan)

8.Di situlah Nabi Musa A.S. diberikan wahyu oleh Allah SWT yang didahului dengan pelbagai suruhan dari Allah SWT seperti mencampakkan tongkat dan menyeluk tangan sehingga keluar cahaya (Ayat 32). Sebagai manusia biasa, Baginda ketakutan menghadapi situasi ini.  Lantas di dalam ayat ini Allah SWT mengajar Baginda agar memekap tangan ke dada untuk menghilangkan rasa takut tersebut.

9. Allah SWT memuji ahli kitab di dalam ayat 52-55 yang mana mereka beriman dengan Nabi Musa A.S. dan Nabi Isa A.S. Kemudian para Ahli Kitab ini menyambung keimanan mereka kepada Kenabian Rasulullah SAW lalu diberikan kepada mereka dengan ganjaran pahala sebanyak dua kali ganda (Ayat 54) manakala di dalam ayat 56 memberitahu bahawa hidayah itu secara mutlaknya adalah milik ALLAH SWT. Dikatakan oleh para ulama' tafsir bahawa ayat ini ditujukan kepada Rasulullah SAW kerana Baginda SAW sangat berharap ayah saudara Baginda, Abu Talib memeluk agama ISLAM dan meninggal dunia dalam keadaan beriman.

10. Ayat 71-73 menceritakan nikmat yang jarang disyukuri iaitu nikmat siang dan malam. Allah SWT memberikan dua persoalan: 1) Apakah akan terjadi sekiranya malam berterusan sehingga hari Kiamat dan siapakah yang mampu membawa cahaya? 2) Apa akan terjadi sekiranya siang berterusan sehingga Kiamat dan siapa yang mampu membawa malam untuk berehat? Semoga dengan persoalan ini mampu menerbitkan rasa syukur kepada Allah SWT  diatas dua nikmat ini.

11. Kisah Qarun dan keangkuhannya diceritakan di dalam ayat 76-82. Allah SWT memberikan mesej bahawa pentingnya menjadi orang berilmu kerana tatkala orang awam sangat kagum dan mengharapkan agar memiliki kekayaan seperti Qarun, orang berilmu melihat perkara itu hanya perkara yang kecil jika dibandingkan dengan Akhirat. Ayat 82 menceritakan penyesalan dan kesedaran orang jahil tentang apa yang dikatakan oleh orang berilmu selepas kematian Qarun. Jelas berdasarkan ayat ini bahawa orang berilmu akan sentiasa melihat sesuatu itu beberapa langkah ke hadapan. Maka, berusahalah kita agar menjadi orang yang berilmu.

12. Ayat 85 merupakan motivasi dan janji yang diberikan kepada Rasulullah SAW  ketika mana Baginda berhijrah keluar dari Mekah dan menyebabkan timbul rasa rindu yang teramat kepada tanah kelahiran Baginda SAW. 

13. Dinamakan Surah Al-'Ankabut  kerana di dalamnya Allah SWT memberikan perumpamaan pegangan (Akidah) orang yang menyembah selain-Nya sangat rapuh seperti rapuhnya sarang labah-labah. Surah ini juga dikenali sebagai Surah Ujian kerana didalamnya terdapat dua kisah Nabi yang menerima ujian yang lebih berat berbanding ujian terhadap Rasulullah SAW.

14. Ayat 2-4 Surah Al-'Ankabut memberitahu bahawa ujian itu pasti akan dirasai oleh setiap dari kita semua.  Kisah pertama adalah ujian yang dihadapi oleh Nabi Nuh A.S. yang dihantar untuk bersama kaumnya selama 950 tahun (Ayat 14). Ini sangat banyak jumlahnya jika dibandingkan dengan 23 tahun Nabi Muhammad SAW diuji untuk menyempurnakan tugasan Baginda SAW. Kisah kedua adalah ujian yang menimpa Nabi Ibrahim A.S. yang dibakar lalu diselamatkan oleh Alla SWT (Ayat 24).

15. Ayat 45 merupakan suruhan Allah SWT supaya kita membaca Al-Quran dan mendirikan solat. Dua perkara ini perlulah bergerak seiring kerana solat itu mencegah perkara yang keji dan mungkar. JIka kita menjaga solat kita, InsyaAllah ia akan menjaga diri kita dari perbuatan mungkar. Allahu a'lam.

Sumber: Ustaz Abdullah Bukhari

23 comments:

  1. ALHAMDULILLAH TAFSIRAN APA YG TERSURAT DALAM ALQURAN

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah.. Terima kasih kak..

    ReplyDelete
  3. Penting ilmu pengetahuan. Tambah lagi kefahaman baru.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Semoga kita lbh memahami al-quran dgn bertadbur..

      Delete
  4. Assalamualaikum. Terima kasih atas perkongsian. Rasa jiwa terisi.

    ReplyDelete
  5. Datang ikut membaca dan komentar, kak Na :)

    ReplyDelete
  6. terima kasih di atas perkongsian ini.

    ReplyDelete
  7. ramadan semakin ke penghujung

    ReplyDelete
  8. Semoga sempat mengkhatamkan 30 juz al quran.

    ReplyDelete
    Replies
    1. InshaaAllah, berusaha! semoga Allah makbulkan..amiin..

      Delete
  9. Terima kasih atas perkongsian. Bagus baca AlQuran dengan terjemahan. Lebih faham cerita setiap juzuk.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sama2. ya betul, lebih faham jika baca terjemahan beserta kisah2nya..

      Delete
  10. Great sharing kak. Lebih seronpk baca quran kalau baca makna sekali

    ReplyDelete
    Replies
    1. semoga bermanfaat, memahami cerita disebalik turunnya ayat2 suci..

      Delete

Syukran jazilan for your comments. Merci beaucoup!